Thursday, February 3, 2011

Kerajaan Negeri tetap bongkar isu tanah Pulau Jerejak


Skandal penyerahan tanah di Pulau Jerejak oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu sebelum peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat (PR) akan tetap dibongkar bagi memberi pendedahan sebenar kepada rakyat.

Mengulas mengenainya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerugian yang mencecah RM30 juta adalah satu skandal yang melibatkan kerugian kepada rakyat dan juga kerajaan negeri.

"Rakyat mengalami kerugian bersama-sama dengan kerajaan negeri. Wang premium tanah yang sepatutnya bernilai RM10.6 juta untuk 32 hektar tidak dibayar. Pulau Jerejak tidak kita perolehi. Pulangan pun tiada. Ia kerugian semata-mata.

"Kini sudah tiba masanya bagi kita mendapatkan semula Pulau Jerejak dan jumlah wang yang begitu banyak telah diberikan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang kepada mereka," ujarnya lagi.

Isu skandal penyerahan tanah Pulau Jerejak kepada Perbadanan Pembangunan Bandar atau UDA dan operasi perjalanannya kepada Tropical Island Resort telah berlaku semasa zaman pemerintahan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Ekoran dari kerugian tersebut, kerajaan negeri telah membuat keputusan akan mengedarkan sebanyak 300 ribu risalah mengenai penyelewengan tersebut semasa zaman BN dahulu bagi menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat negeri ini.

Risalah yang diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan juga Mandarin itu telah mula diedarkan.

Ia juga bagi memberi peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian mengenai pentadbiran yang berlaku dizaman BN dengan kerajaan negeri sedia ada dari PR.


1 comment:

Anonymous said...

kalau isu ini kerajaan & rakyat rugi maka memang patut ia diberitahu kepada rakyat, inilah yg di canangkan demokrasi kerajaan adalah untuk rakyat.