Monday, July 19, 2010

PAC siasat kes curi pasir di Balik Pulau

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Pulau Pinang akan mengadakan inkuiri untuk menyiasat aktiviti mencuri pasir di Kampung Kenanga, Balik Pulau di Georgetown.

Pengerusinya, Jagdeep Singh Deo yang juga ADUN Datuk Keramat berkata PAC akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi menentukan pihak yang akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Antara pihak yang mungkin akan dipanggil ialah beberapa agensi kerajaan untuk membantu mencari pihak yang bertanggungjawab dalam aktiviti mencuri pasir itu," katanya kepada pemberita di Georgetown, hari ini.

Katanya PAC akan menyiapkan siasatan itu secepat mungkin bagi mengelak orang ramai membuat pelbagai spekulasi berhubung perkara itu.

Beliau berkata pihaknya akan turut melawat kawasan terlibat dan siasatan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Jagdeep berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai aktiviti mencuri pasir di kawasan lain di Pulau Pinang.

Minggu lalu, laporan akhbar mendedahkan tapak politeknik di Kampung Kenanga itu, diceroboh pencuri pasir.

Menurut laporan itu, setiap malam berpuluh lori keluar masuk ke kawasan itu mengambil pasir untuk dihantar ke lokasi yang tidak dipastikan.

Dua tokoh tahfiz, syariah terima anugerah KITAB

Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) buat julung kalinya akan menganugerahkan 'tokoh ilmuan' kepada dua tokoh agama tempatan di atas sumbangan mereka dalam perkembangan Islam di negeri tersebut.

Anugerahkan tersebut akan disampaikan oleh Yang Terutama Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas sewaktu konvokesyen KITAB pada 27 Julai ini.

Penerima augerah tersebut ialah imam Masjid Kapitan Keling yang juga seorang guru tahfiz, Datuk Sheikh Abdullah Abdullah Bukhari yang banyak berjasa dalam bidang tahfiz al-Quran.

Manakala seorang lagi penerima anugerah tersebut ialah ahli Majlis Fatwa Pulau Pulau Pinang yang juga pensyarah di Universiti Islam
Antarabangsa, Datuk Mohd Salleh Ahmad yang menyumbangkan jasanya dalam bidang syariah.

"Apabila kita memberi sumbangan ini, mereka akan menjadi rujukan kepada masyarakat dan institusi lain," kata Rektor KITAB, Dr Mustapa Kassim ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengenai konvokesyen ketiga kolej tersebut, Dr Mustapa berkata 28 pelajar akan menerima diploma Syariah dan Tahfiz Al-Quran manakala 260 pelajar lagi menerima sijil dalam bidang bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

"Dua daripada pelajar diploma itu adalah pelajar antarabangsa, masing-masing dari Indonesia dan Singapura," katanya.

Manakala dalam bidang sijil pula, Mustafa berkata, dua orang pelajar dari Thailand juga bakal menerima sijil mereka pada hari bersejarah itu.

Mustafa berkata, setakat ini kolej tersebut yang mula beroperasi pada 12 Mei 2005, mempunyai 262 pelajar yang mengikuti lima bidang pengajian di peringkat diploma.

Selain menawarkan pengajian diploma Syariah dan Tahfiz Al-Quran, tiga bidang lagi yang ditawarkan adalah Diploma Kewangan, Perbankan dan Qiraat Al-Quran yang telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menurutnya, terdapat pelajar yang tamat pengajian dari kolej itu sebelum ini telah melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), antaranya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Univerisiti Multimedia (MMU), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Malah kata Mustafa, terdapat juga pelajarnya yang melanjutkan pelajar ke peringkat ijazah pertama di Univerisiti Islam Negeri (UIN) di Medan, Indonesia.

Di samping itu, kini terdapat 60 pelajar tempatan yang telah bekerja yang mengikuti pengajian hujung minggu di kolej tersebut - masing-masing 47 dalam bidang Diploma Syariah dan 13 orang dalam bidang Tahfiz Al-Quran.

Menurut Dr Mustafa, KITAB kini mempunyai 30 tenaga pengajar yang majoritinya anak tempatan dan telah mengikuti kursus pengajaran di
Univerisiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, kolej tersebut yang sebelum ini merupakan sebuah pusat pengajian tahfiz, adalah milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

"Kami menjangkakan dalam masa lima tahun lagi, kami mempunyai universiti sendiri," katanya sambil menambah MAINPP turut menyelia tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah yang diletak di bawah satu struktur.

Beberapa jawatankuasa dibentuk bagi memastikan KITAB beroperasi dalam keadaan yang mantap, teguh dan dipercayai, iaitu Jawatankuasa Merangka Kurikulum, Jawatankuasa Pakar Menyemak Kurikulum dan Lembaga Pengarah KITAB.

Jawatankuasa tersebut dianggotai pakar-pakar dalam pelbagai bidang di peringkat negeri dan kebangsaan.

Program Diploma Syariah, Diploma Tahfiz al-Quran dan Diploma Qira'at juga diiktiraf oleh universiti di Timur Tengah seperti di Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Maghribi untuk membolehkan pelajar kolej tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Friday, July 9, 2010

Majlis Penyerahan Wang Penghargaan Warga Emas


A) Kadun Sungai Bakap
Tarikh : 13 Julai 2010
Masa : 9.00 pagi - 12.30 tengahari
Tempat : Dewan JKKK Tasek

B) Kadun Sungai Acheh
Tarikh : 14 Julai 2010
Masa : 9.00 pagi - 12.30 tengahari
Tempat : Dewan JKKK Simpang Tiga, Nibong Tebal

Seramai lebih 1000 orang warga emas akan menerima sumbangan di kedua-dua tempat berkenaan.

Tuesday, July 6, 2010

Jumlah pelancong ke Pulau Pinang meningkat

Pulau Pinang yang sememangnya merupakan sebuah destinasi menarik dan popular bagi pelancong tempatan dan luar negara telah berjaya meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan Negeri, Law Heng Kiang, pelancong dari Timur Tengah menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi menarik mereka untuk dikunjungi mulai Jun hingga September.

Law juga berkata, terdapat beberapa tarikan yang menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi kunjungan mereka setiap tahun.

Katanya, tarikan dari pihak hotel juga menjadi salah satu peranan penting apabila mereka mempelbagaikan aktiviti dan program bagi menarik pelancong dari negara yang telah dikenal pasti mengunjungi negeri ini.

Promosi seperti 'Arabian Night' yang diperkenalkan itu menarik perhatian mereka di samping promosi lain yang membolehkan mereka mengunjungi Pulau Pinang, ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan pihak hotel membuat penajaan dari segi tarian kebudayaan dan mengatur acara khas untuk pelancong khususnya dari Timur Tengah.

Sebagai bukti, ujarnya jumlah pelancong yang mendiami hotel-hotel seperti Rasa Sayang dan Golden Sands di Batu Ferringhi meningkat kepada 15 peratus pada bulan Jun yang lalu.

"Manakala pada bulan Julai ia meningkat mendadak kepada 40 peratus. Ini adalah kerana tarikan yang dilakukan dengan mempelbagaikan budaya Timur Tengah sepertimana yang pernah dilakukan oleh hotel Shangri La dan hotel-hotel yang lain," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lanchang berkata, jumlah keseluruhan pelancong meningkat sebanyak 35 peratus jika dibandingkan mulai Januari hingga Mac 2009 apabila hanya 318,912 pelancong yang masuk ke Pulau Pinang.

Manakala dalam tempoh yang sama pada tahun 2010 seramai 430,355 pelancong berjaya dibawa masuk ke negeri ini,” katanya.
"Usaha gigih yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong akan diteruskan supaya ia bukan saja dapat memberi peluang meningkatkan ekonomi kepada penduduk negeri ini tetapi juga kepada pihak kerajaan," katanya lagi.

Kempen Pengurangan Penggunaan Plastik


Program yang diadakan pada 3 Julai lalu, dimulakan dengan pemberian bakul dan beg bagi menggantikan plastik kepada orang ramai di pasar awam Sungai Bakap. Seterusnya majlis penerangan serta pameran oleh MPSP dan Pejabat Kesihatan berlangsung di Dewan Chong Kuang.

Pelancaran kempen peringkat daerah Seberang Perai Selatan ini dirasmikan oleh YB Ustaz Maktar Hj. Shapee.

Turut hadir ialah YDP MPSP; Tuan Hj. Mokhtar b. Mohd Jait, Pegawai Kesihatan Daerah; Dr. Rafidah binti Mohd Nor dan ahli-ahli majlis MPSP;Abdul Rahman b. Ramjan, Goh Choon Aik, Teoh Seang Hooi, Hj. Mohd Kamil b. Abu Bakar serta Loh Joo Huat.


YDP MPSP menyampaikan ucapan