Thursday, August 18, 2011

Mufti Pulau Pinang kesal

KRONOLOGI ISU LARANGAN PENGGUNAAN PEMBESAR SUARA UNTUK BACAAN AL QURAN SEBELUM AZAN SUBUH

Perbincangan mengenai isu ini adalah di atas dasar pemerhatian dan realiti yang berlaku di kebanyakan masjid dan surau di negeri Pulau Pinang selain aduan melalui telefon dan email daripada orang awam bertanyakan hukum mengenainya.

2. Keputusan Mengenai Membaca Al Quran Sebelum Waktu Subuh Dengan Menggunakan Pembesar Suara adalah dibincang dan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2011 bertarikh 7 April 2011 dan disahkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 3/2011 bertarikh 16 Jun 2011.

3. Mesyuarat turut memutuskan agar keputusan tersebut dipanjangkan kepada qaryah-qaryah masjid seluruh negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP). Keputusan berkenaan telah dihantar kepada Pengarah JHEAIPP pada 12 Julai 2011 untuk tindakan selanjutnya kerana qaryah-qaryah masjid terletak di bawah pentadbiran JHEAIPP.

ASAS PERBINCANGAN DAN KUASA JABATAN MUFTI NEGERI PULAU PINANG

1. Perlu ditegaskan bahawa isu ini dibincang dan diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bukan atas arahan atau tekanan daripada mana-mana pihak sama ada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahupun mana-mana pertubuhan atau orang perseorangan.

2. Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang adalah satu jabatan yang bertanggungjawab menjawab dan menyelesaikan segala kemusykilan serta permasalahan berkaitan hukum Islam di negeri ini. Ia berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 45 Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 iaitu :-

Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Pulau Pinang selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini.

3. Jika merujuk kehendak Seksyen 48 (1), (2), (3), (4), (5), (6) dan (7) Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, berkaitan Tatacara pembuatan fatwa, keputusan ini bukanlah satu fatwa.

4. Keputusan mesyuarat tersebut TIDAK DIWARTAKAN dan keputusan ini adalah sebagai satu NASIHAT HUKUM yang sering diputuskan sama ada melalui jawapan terus daripada Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dari semasa ke semasa atau dipohon pandangan terlebih dahulu daripada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa. Ia merupakan suatu keputusan HUKUM sebagai panduan serta menjelaskan pandangan Islam tentang amalan tersebut kepada seluruh umat Islam di negeri Pulau Pinang untuk diikuti dan dipatuhi.

5. Tatacara pembuatan fatwa mengikut kehendak Seksyen 48 (1), (2), (3), (4), (5), (6) dan (7) Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 adalah seperti berikut :-

(1) Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat fatwa, Mufti boleh menyebabkan apa-apa kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.

(2) Apabila Jawatankuasa bercadang hendak membuat fatwa, Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang dicadangkan itu.

(3) Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.

(4) Apabila fatwa itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Jawatankuasa Fatwa hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang Fatwa itu dan selepas itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.

(5) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

(6) Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi, tetapi teks fatwa itu dalam tulisan jawi boleh juga disiarkan.

(7) Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subsyeksyen (4).

ULASAN SOHIBUS SAMAHAH DATO’ SERI MUFTI BERHUBUNG ISU BERKENAAN

1. S.S Dato’ Seri Mufti melahirkan kekesalan di atas segala kenyataan yang tidak professional dan tidak berhemah daripada semua pihak termasuk menuduh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang membuat keputusan secara melulu berkaitan isu tersebut.

2. Keputusan tersebut diputuskan adalah berdasarkan rasa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi menyatakan kebenaran dan ia bersandarkan dalil yang sohih.

3. Islam mensyariatkan untuk tidak mengangkat suara dengan kuat kecuali azan dan beberapa rutin ibadah lain seperti khutbah dan sebagainya. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad SAW. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain wajib dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

4. Walaupun bacaan Al-Quran dan zikir amatlah baik, namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri atau ingin membacanya pada waktu lain atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang sedang tidur atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan Islam dan lain-lain.

5. Rasulullah S.A.W melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu mereka yang lain yang sedang beribadah atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang sedang berada di dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi atau tumpuan terhadap solat mereka, mana mungkin untuk menguatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga mengganggu mereka yang sedang berada di luar masjid.

6. Larangan ini adalah keputusan yang berlaku pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana hanyalah bagi mereka yang berada di dalam masjid sahaja, bagaimana jika Rasulullah dan para sahabat serta para ulamak dahulu melihat keadaan pembesar suara pada zaman kita ini, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik, tetapi itu arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni.

SAHIBUS SAMAHAH DATO’ SERI HAJI HASSAN BIN HAJI AHMAD
MUFTI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

(15 Ogos 2011)

Friday, August 12, 2011

Kenyataan Media Exco Hal Ehwal Agama Islam P.Pinang isu pembesar suara sebelum Subuh

PIMPINAN KERAJAAN NEGERI TIDAK CAMPUR TANGAN KEPUTUSAN MAJLIS FATWA NEGERI BERHUBUNG ISU LARANGAN PENGGUNAAN PEMBESAR SUARA SEBELUM SUBUH

Pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah campur tangan dalam sebarang keputusan Majlis Fatwa Negeri yang dipengerusikan oleh Mufti Negeri Sahibul Samahah Datuk Seri Haji Hassan Ahmad dan dianggotai oleh para ulamak, professional agama, serta wakil daripada istana.

Saya hanya mengetahui keputusan Majlis Fatwa berhubung larangan menggunakan pembesar suara sebelum subuh, berdasarkan laporan akhbar yang disiarkan pada hari ini.
Justeru, saya menolak dengan sekeras-kerasnya tohmahan pihak yang mengaitkan pimpinan kerajaan negeri terlibat dengan keputusan Majlis Fatwa tersebut.

Namun begitu, kerajaan Negeri Pulau Pinang menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bil. 2/2011 yang bersidang pada 7 April 2011, mengenai hukum membaca Al-Quran sebelum subuh dengan menggunakan pembesar suara.

Mesyuarat Majlis Fatwa Bilangan 2/2011, yang dipengerusikan Mufti Negeri Pulau Pinang kemudiannya telah disahkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bil.3/2011 pada 6 Jun 2011 memutuskan bahawa bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara dari surau dan masjid
sebelum waktu subuh adalah dilarang menurut Hukum Syara'.

Namun, kerajaan negeri berpendirian pentadbiran masjid dan surau boleh
mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan tradisi dan amalan sedia ada atau sebaliknya, setelah menerima pemberitahuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam ( JHEAIPP) tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa.

Sungguhpun begitu, sebagai pentadbir institusi agama, mereka sewajarnya menghormati keputusan Majlis Fatwa yang membuat keputusan berdasarkan hukum Islam, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Majlis Fatwa memutuskan bahawa perbuatan tersebut boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam atau di luar masjid demi maslahah ummah. Ini berdasarkan hadis dan dalil yang berkaitan, bermaksud…

"Daripada Abi Sa'id al-Khudri berkata ia : ketika Nabi s.a.w beriktikaf ( beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda : Ketahuilah setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain dan jangan kamu mengangkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat." ( sunan Abi Daud, hadis ke 1332, juzuk 2, cet. Dar al Hadis)

Keputusan tersebut kemudiannya telah dimaklumkan kepada JHEAIPP pada 12 Julai 2011 untuk tindakan selanjutnya.

Saya yakin, demi kepentingan politik sempit pihak-pihak tertentu akan mengambil peluang mengekploitasi keputusan majlis fatwa tersebut. Pihak berkenaan pastinya akan menabur fitnah kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang anti-Islam.

Dalam semangat Ramadan Al-Mubarak ini, demi kepentingan umat Islam, kerajaan negeri sentiasa membuka pintu rundingan dan mengalu-alukan muzakarah dan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi memartabatkan Islam di negeri bertuah ini.

Malah, saya mengalu-alukan pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa bermuzakarah dengan pihak terbabit dalam semangat saudara seagama.

YB Abdul Malik Kassim
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pulau Pinang
12 Ogos 2011

Thursday, August 11, 2011

Bonus minimum RM600 bagi kakitangan awam Pulau Pinang

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengumumkan pemberian bonus minimum RM600 untuk kakitangan awan negeri itu.

Kira-kira 7,800 kakitangan awam daripada badan berkanun, majlis tempatan dan jabatan kerajaan di Pulau Pinang, akan menerima bonus tersebut.

NONELim berkata guru Kafa (al-Quran dan Fardhu Ain) pula akan dibayar minimum RM300 duit raya.

Menurutnya, jumlah tersebut adalah bersamaan dengan setengah bulan bonus bagi mereka yang berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan. (Mereka yang bergaji lebih, akan mendapatkan bonus yang lebih tinggi.)

Kerajaan negeri itu akan membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk bayaran bonus, kata Lim, yang juga setiausaha agung DAP.

Ini berikutan pengumuman kerajaan persekutuan dua hari lalu bahawa kakitangan awam akan mendapat minimum RM500 'duit raya'.

"Kita bagi tambahan RM100," kata Lim dalam sidang akhbar hari ini.

"Ini sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada kakitangan awam dam guru Kafa," katanya.

Tuesday, August 9, 2011

MPSP amal 'menang-menang' atasi masalah peniaga

Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengamalkan sikap 'menang-menang' dalam usaha mengatasi masalah para peniaga di up town, Bandar Perda, kata yang dipertuanya, Maimunah Sharif (gambar).

Usaha itu dibuat supaya para peniaga bazar Ramadhan, peniaga premis kekal serta orang ramai mengecapi keselesaan lalu lintas terutamanya menjelang petang dan malam sepanjang Ramadhan.

Justeru itu tambahnya, kepada para peniaga bazar Ramadhan yang masih enggan mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh MPSP khasnya mereka yang mendirikan khemah (kanopi) kekal di kawasan yang bukan dibenarkan akan diroboh menjelang Isnin ini.

"Pihak MPSP telah pun mengeluarkan notis amaran dan tarikhnya pun dah tamat tetapi kita tidak mahu bertindak melulu melainkan berhemah. Saya mahukan semua pihak sama-sama bertolak ansur supaya tidak ada sesiapa yang terinaya dalam masalah itu," ujarnya kepada media di Pejabat MPSP pagi tadi.

Para peniaga tegas beliau, masih boleh menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa dengan mendirikan kanopi kecil yang oleh dibawa pulang, memastikan kenderaan mereka tidak menjadi stor atau mengikat alatan perniagaan mereka di pokok berhampiran.

Perbuatan tersebut jelas Maimunah, mencacatkan pemandangan ekoran langkah MPSP yang mementingkan persekitaran yang bersih, aman dan harmoni.

Setiausaha MPSP, Rozali Mohamud berkata, kawasan yang dibenarkan mendirikan kanopi kekal ialah di tapak letak kereta di hadapan Nasi Kandar Nasymir manakala di kawasan lain mesti memunggah barang perniagaan mereka setelah selesai berniaga pada tengah malam agar kawasan berkenaan boleh diguna oleh orang ramai untuk meletak kenderaan.

Setakat hari ini, tinggal 16 peniaga lagi yang masih tidak merobohkan kanopi manakala 3 daripadanya telah berbuat demikian.

Pembinaan kanopi kekal di luar kawasan up town menyebabkan lalu lintas senantiasa sesak, pelanggan premis sedia ada tidak dapat masuk ke lokasi dan menyebabkan tempat letak kereta tidak dapat digunakan pada siang hari.

"Para peniaga dari susur Petronas sehingga ke jalan hujung Lorong Perda Utama 1 hendaklah memunggah kanopi selepas berniaga agar pemandangan di situ cantik dan indah," ujarnya pada majlis yang sama.


Tuesday, August 2, 2011

Kerajaan Negeri lulus bina 11 ribu rumah mampu milik


Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan bahawa ia gagal membina rumah kos rendah dan sederhana sejak mengambil teraju pemerintahan negeri pada 2008. Sebaliknya, menurut ketua menteri, Lim Guan Eng sejak menumbangkan BN, kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah membina 11,596 rumah yang berharga antara RM42,000 (kos rendah) dan RM72,500 (kos sederhana).
NONE
Pada sidang akhbarnya hari ini, Lim berkata kerajaan negeri juga bercadang membangunkan semula beberpa projek perumahan yang akan membabitkan 992 rumah kos rendah dan 192 rumah kos sederhana.

"Setakat ini kami amat bersabar dengan dakwaan pembangkang (BN) yang menuduh kami tidak meluluskan rumah mampu milik dan rumah kos sederhana. "Di sini, kami ingin mengemukakan bukti bahawa selepas 2008, kita telah meluluskan pembinaan rumah-rumah itu walaupun dana kita terhad kerana tidak murah bagi membina rumah-rumah berkenaan,” kata Lim.

Beliau kemudian mengedarkan risalah dan gambarajah bagi membuktikan hujahnya dan berkata perkara tersebut juga telah dijelaskan di dewan undangan negeri. "Ini adalah fakta.

Kenyataan pembangkang bersifat fitnah menuduh kami tidak membina sebuah pun rumah ( kos rendah dan sederhana) amat jahat,” katanya.

Beliau merujuk kenyataan ketua perhubungan Umno Pulau Pinang Zainal Abidin Osman yang membidas kerajaan negeri kerana didakwa tidak membina sebarang rumah mampu milik untuk golongan miskin sejak tahun 2008.