Thursday, June 25, 2009

Ketua Hakim Syarie PP individu pertama terima ganjaran

Georgetown - Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Yusof Musa, dipilih sebagai pemenang pertama Hadiah Integriti Pulau Pinang, kerana berjaya membongkar penyelewengan oleh seorang kakitangan Mahkamah Syarie negeri itu membabitkan RM500,000.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata penyelewengan itu, yang membabitkan bayaran balik bon jaminan, dikesan selepas Yusof meneliti fail sebaik dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie awal Februari lalu.

"Selepas meneliti beberapa fail, beliau mengesyaki berlaku penyelewengan dan terus melaporkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah itu kepada Yusof sempena majlis perhimpunan ahli perkhidmatan awam Pulau Pinang di sini, hari ini.

Anugerah itu berbentuk sijil penghargaan dan wang tunai RM10,000.

Lim berkata, laporan sudah dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala kakitangan berkenaan dilarang oleh Yusof daripada menjalankan tugas kewangan jabatan.

"Bagaimanapun, kakitangan terbabit sudah menghilangkan diri," katanya.

Lim memuji Yusof kerana berani mendedahkan penyelewengan dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab selain berlaku telus terhadap perkara yang tidak betul.

Yusof, 52, berkata pendedahan penyelewengan itu bukanlah kerana mengharapkan anugerah tetapi menjadi tanggungjawabnya sebagai ketua jabatan untuk memerangi penyelewengan dan rasuah.

"Saya bersyukur kerana diberi anugerah ini. Ini bukanlah kerana wang tetapi sebagai sikap tanggungjawab seorang ketua jabatan yang diharapkan menjadi contoh kepada kakitangan lain," katanya.

Monday, June 15, 2009

Kerajaan Negeri tubuh Majlis Syura

Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Exco Hal Ehwal Agama, YB Tuan Hj. Abdul Malik Kassim telah memaklumkan untuk menubuhkan Majlis Syura dan berfungsi sebagai penasihat kepada Kerajaan Negeri berhubung hal-hal berkaitan Agama Islam.

Majlis Syura amat penting di dalam sesebuah institusi dan organisasi yang berupaya bertindak sebagai check and balance agar selari dengan tuntutan Agama.

Dengan tertubuhnya Majlis Syura ini, dapatlah direalisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin mengamalkan corak pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Friday, June 12, 2009

Kerajaan Negeri peruntuk RM213 ribu untuk masjid

Georgetown - Kerajaan negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM213,000 kepada semua masjid di sekitar negeri sempena bulan Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim, berkata peruntukan ini bertujuan mengimarah dan menghidupkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti yang akan meningkatkan syiar Islam khususnya di negeri ini.

"Jumlah peruntukan yang dicadangkan adalah sebanyak RM5,000 untuk kegunaan masjid negeri, RM2,000 untuk setiap masjid daerah dan RM1,000 kepada masjid kariah," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sumbangan kerajaan negeri ini akan membolehkan masjid menjalankan pelbagai aktiviti dan akan mengeratkan hubungan perpaduan masyarakat khususnya umat Islam melalui masjid.

Abdul Malik berkata, antara aktiviti yang akan dijalankan itu termasuk majlis berbuka puasa dan tadarus al-Quran.

Di Pulau Pinang, terdapat satu masjid negeri, empat masjid daerah dan 200 masjid kariah.

Thursday, June 4, 2009

Kerajaan Negeri tawar RM10,000 untuk maklumat rasuah

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memulakan kempen anti rasuah pentadbiran kerajaannya dengan menawarkan wang tunai RM10,000 kepada kakitangan awam yang bersedia dan mampu memberikan maklumat mengenai kegiatan rasuah di negeri itu.

"Saya mahu menggalakkan orang ramai tampil ke hadapan," kata ketua menteri itu kepada Malaysian Insider dalam satu wawancara melalui telefon.


Dengan menggelarkan skim pemberi maklumat itu sebagai "i-Awards" (Anugerah Integriti), Lim memberitahu beliau telah menerima beberapa laporan tanpa nama daripada kakitangan kerajaan sebelum membuat tawaran tersebut 2 Jun lalu.


Lim bagaimanapun enggan menyatakan berapakah jumlah laporan yang telah diterimanya. Tetapi beliau menambah bahawa beliau akan memberikan ganjaran tersebut "tidak lama lagi".


Selain insentif wang tunai, beliau berkata, mereka yang membantu pentadbirannya dengan memberikan maklumat akan diberi prioriti untuk kenaikan pangkat.