Thursday, January 22, 2009

Ketua Menteri rasmi pembukaan kilang



Sungai Bakap - Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah merasmikan pembukaan kilang Uni-Vessel Engineering (Butterworth) Sdn Bhd pagi tadi. Ini menunjukkan pelabur merasa yakin untuk terus melabur di negeri ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 2, Prof. P. Ramasamy; ADUN Sg. Bakap, Hj. Maktar Shapee; ADUN Jawi, Tan Beng Huat; ADUN Bukit Tambun, Law Choo Kiang; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan juga barisan exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Wednesday, January 21, 2009

Negeri Pakatan Tubuh Majlis MB dan KM

Bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama sesama kerajaan Pakatan Rakyat, kelima-lima kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat bersepakat membentuk Majlis Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat.


Majlis berkenaan ditubuhkan setelah satu mesyuarat yang dihadiri lima ketua kerajaan bagi negeri yang diperintah Pakatan Rakyat di Kediaman Menteri Besar Kedah di Mentaloon.


Ketika memberikan kenyataan penuhnya Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, Majlis Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat itu turut dikenali sebagai Pengisytiharan Mentaloon


Tambah Azizan yang menjadi pengerusi mesyuarat berkenaan, majlis tersebut juga bertujuan menyelaraskan agenda, program dan aktiviti di kalangan negeri-negeri yang diterajui pakatan pembangkang.


“Perbincangan hari ini telah mencapai beberapa persetujuan berhubung apa yang perlu dibuat oleh Pakatan Rakyat bagi meningkatkan kerjasama dan mengemas kini beberapa kekurangan yang perlu diambil tindakan segera,” katanya pada sidang akhbar 18 Januari lalu.


Kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri turut hadir dalam mesyuarat berkenaan iaitu, Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim; Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat; Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.


Sementara itu, Guan Eng berkata, majlis tersebut dibentuk kerana Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri Pakatan Rakyat yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja sering didiskriminasikan.

Thursday, January 15, 2009

Tabung Modal Pusingan Peniaga dan Penjaja Kecil Negeri Pulau Pinang

Kerajaan Negeri berhasrat membantu golongan rakyat miskin dan miskin tegar menceburi bidang perniagaan sebagai peniaga dan penjaja kecil sebagai usaha membasmi kemiskinan.

Modal pusingan tersebut diberi menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan kepada pemohon yang layak. Selanjutnya..

Sunday, January 4, 2009

Timbalan Ketua Menteri bidas OIC 'peluk tubuh'

Georgetown - Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin membidas Persidangan Negara-negara Islam (OIC) yang tidak tegas langsung membantu tangani serangan Israel terhadap Palestin malahan sekadar melihat dan berpeluk tubuh.


Beliau menyelar OIC sampai saat ini belum bertindak sesuatu untuk membantu sumber kewangan khususnya bagi meringgankan kesenggsaraan Umat Islam di sana yang rata-ratanya daif.


"OIC hanya pandang saja dan tidak lagi menghulurkan bantuan sebagaimana yang diperlukan. Sikap inilah yang membuat Israel bertambah ghairah melakukan kekejaman kerana mereka tahu Umat Islam tidak satu hati, " ujarnya.


Menurut beliau lagi, keengganan Mesir dan Jordan membuka pintu sempadan kepada rakyat Palestin juga menjadi faktor utama kenapa Israel bersikap megah dan berani bertindak sedemikian rupa.


Beliau pasti rakyat Pulau Pinang juga tidak dapat menerima tindakan jahat dan bacul rejim Yahudi yang membunuh Umat Islam di saat-saat menjelangnya Maal Hijrah 1430 semata-mata kerana mahu memburu kepimpinan Hammas.


Bagi mencapai hasrat penentangan itu maka rakyat Pulau Pinang seharusnya memboikot semua barangan Amerika yang terang-terangan memberi keuntungan ekonomi pada Israel.


"Boikot barangan Amerika bererti membunuh ekonomi Israel maka laksanakanlah untuk menyelamatkan umat Islam di Palestin, " tegasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Pembangunan, Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri Pulau Pinang.

Saturday, January 3, 2009

Kerajaan Negeri mahu hapus premium tukar hak milik

Bayan Baru - Kerajaan negeri mengumumkan pemansuhan bayaran premium bagi proses pertukaran pajakan kepada hak milik kekal untuk rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah di Pulau Pinang.


Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pemilik hanya perlu membayar duit pemprosesan sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan berikutan keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak dapat dilaksanakan lagi kerana terpaksa menunggu keputusan mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) akan datang kerana didapati bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MTN memaklumkan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menukar taraf tanah dari pajakan kepada hak milik kekal.


Ia merujuk kepada keputusan kerajaan Perak yang meluluskan cadangan memberi taraf hak milik kekal kepada pemilik tanah kampung tersusun dan kampung baru.


Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Pengerusi Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah negeri berkata, perkara itu akan dirujuk dalam mesyuarat MTN untuk mendapatkan pandangan.


“Kita akan melalui proses pentadbiran yang ditetapkan, tetapi tidak akan terikat kepada apa-apa keputusannya.


“Kita akan dengar cakap penduduk Pulau Pinang. Kalau mereka setuju dengan cadangan kerajaan negeri, kita akan teruskan. Jika mereka menolak, kita akur,” katanya ketika berucap pada majlis dialog dengan penduduk pangsapuri kos rendah dan kos sederhana rendah PDC di Rumah Pangsa Mahsuri di sini, semalam.


Turut hadir, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Mohd Zaharin Hashim; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Abul Kasim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dan ADUN Pantai Jerejak, Sim Tzin Sin.


Menurut Guan Eng, kerajaan negeri mengambil langkah itu untuk memastikan pemilik rumah pangsa mendapat harga pasaran lebih baik jika hendak menjualnya berbanding rumah pangsa bertaraf pajakan.


“Apa salahnya kerajaan negeri mahu membantu rakyat miskin memiliki rumah yang mereka duduki sekarang untuk selama-lamanya, bukan untuk tempoh sementara atau 99 tahun seperti amalan sekarang,” katanya.


Menjawab pertanyaan penduduk, beliau berkata, pemansuhan premium hanya tertakluk kepada rumah pangsa yang berharga RM75,000 ke bawah, manakala rumah teres, banglo atau kondominium tidak diberi pengecualian itu.


Bagaimanapun, katanya, mereka boleh membuat rayuan dan kerajaan negeri mungkin menimbang dengan memberi diskaun pada kadar tertentu.


Menurutnya, Bayan Baru sebagai lokasi pertama untuk berdialog dengan penduduk mengenai isu kerana ia mempunyai bilangan rumah pangsa yang terbesar yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) iaitu kira-kira 20,000 unit.


“Pengecualian bayaran premium ini adalah untuk seluruh negeri dan tidak terhad kepada Bayan Baru kecuali beberapa kawasan seperti Paya Terubong dan Farlim yang mempunyai masalah teknikal,” katanya.