Monday, January 24, 2011
PAC diminta siasat projek Pulau Jerejak
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diminta menyiasat dengan segera akaun dan laporan terperinci projek pembangunan Pulau Jerejak bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.
Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa rakyat mengalami kerugian ekoran ketidaklancaran projek pembangunan di pulau tersebut.
Katanya, kerugian sepertimana yang dimaklumkan berikutan premium tanah sebanyak RM10.6 juta yang masih lagi belum dijelaskan oleh Syarikat Tropical Island Resort kepada Pejabat Pentadbir Tanah Pulau Pinang.
"Manakala Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pula terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM19 juta. Kerjasama antara PDC dan Uda Holdings Berhad sewajarnya dihentikan kerana ia merugikan kerajaan negeri.
"Uda juga bukannya pakar dalam bidang pembinaan tempat-tempat pelancongan. Mereka juga gagal menguruskan dengan baik resort yang terletak di Pulau Jerejak," katanya lagi.
Sim juga berkata, kerugian itu adalah kerana perancangan yang tidak komprehensif Uda bagi membangunkan pusat pelancongan Pulau Jerejak melalui pembinaan empat fasa projek yang merangkumi pembinaan ekopelancongan, rumah mewah dan juga marina di pulau tersebut.
"Dengan adanya siasatan terperinci, maka keadilan akan dapat dicapai sama ada terdapat atau tidak pihak yang terbabit dalam penyelewengan yang membabitkan projek pelancongan tersebut," ujarnya lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment