Tuesday, December 7, 2010

Salam Maal Hijrah


“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”
( Surah Ar-Ra’ad, ayat 11 )

Pengajaran yang dapat kita pelajari dan dimanfaatkan daripada ayat di atas ialah hijrah iaitu sebagai hamba kita perlu berusaha meninggalkan sebarang unsur keburukan yang ada dalam diri kepada nilai-nilai kebaikan seperti yang dituntut oleh Islam melalui konsep “amal ma’aruf nahi munkar’, yakni melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Maksudnya Hijrah seharusnya dihayati dalam konteks merubah sifat – sifat negatif dalam diri kepada sifat – sifat positif. Jelasnya ia perlu disuburkan menjadi budaya yang mengakar dalam sendi kehidupan setiap muslim.

Selain itu, hijrah juga membawa erti meninggalkan suasana kesempitan dan kegelapan kepada satu keadaan keluasan dan cahaya yang terang. Hal ini boleh dikaitkan dengan usaha menambah ilmu pengetahuan dan mempelajari perkara-perkara baru yang bermanfaat bukan sahaja untuk diri sendiri malahan, agama dan negara. Faedah atau manfaat bagi hijrah ini amat besar. Dengan berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan, kita dapat mengubah hidup kepada yang lebih baik dan selesa dan seterusnya menjadi umat Islam yang kuat dan khalifah Allah yang tahu peranannya setiap masa.

Akhir sekali, Islam amat menuntut umatnya berhijrah dari kelemahan kepada kekuatan terutama aspek keimanan, kerana keimanan kepada Allah s.w.t akan melahirkan masyarakat Islam yang kukuh dari aspek ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan sebagainya. Hijrah yang sebegini harus dilakukan dengan sempurna dan sepenuh hati kerana ia menjanjikan kehidupan yang sempurna dan bahagia di dunia dan akhirat.

Salam Maal Hijrah 1432H


HJ MAKTAR BIN HJ SHAPEE
ADUN Sungai Bakap

No comments: