Monday, March 23, 2009

Ketua Menteri tekad ikut acuan Khalifah Umar Abdul Aziz

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berbangga dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz kerana beliau seorang pemimpin Islam yang adil dan berjiwa rakyat.

Ketika merasmikan Wacana Pemikiran Khalifah Saidina Umar Abdul Aziz “Islam dan Kenegaraan” di Auditorium A, Tingat 5 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) semalam beliau sekali lagi bertekad untuk meniru usaha yang dilaksanakan oleh pemerintahan Khalifah berkenaan.

Ini katanya bagi memastikan pentadbiran negeri bebas daripada penyalahguna kuasa, kezaliman, merombak semula jentera pentadbiran dengan memecat pada pegawai yang tidak cekap dan sebagainya.

Ujar Lim, sikap sedemikian merupakan puncak tertinggi dalam agama Islam ekoran prinsip Khalifah Umar untuk membangunkan negara dengan nilai-nilai kebajikan dalam semua bidang melibatkan kegiatan kenegaraan.

“Saya berbangga dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang mempunyai sikap adil, telus dan berjiwa rakyat.

“Khalifah Umar Abdul Aziz mempunyai prinsip membangunkan negara menerusi nilai-nilai kebajikan dalam bidang kenegaraan dan masyarakat di samping membasmi segala kemungkaran yang melekat sebagai kuman penyakit yang merosakan seluruh masyarakat dan negara, ” katanya.

Melihatkan contoh tersebut membuatkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengambil langkah berusaha menjadikan negeri pertama bebas daripada miskin tegar.

Selain itu katanya kerajaan juga mengiktiraf pelajar cemerlang termasuk para Huffaz serta inisiatif Wi-Fi percuma untuk mengurangkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar serta golongan berada dan kurang kemampuan.

Pelaksanaan cara itu, akan dilakukan tanpa mengira apa latar belakang agama dan kaum kerana yang penting ialah hasil kejayaan.

“Ada cacatan yang meriwayatkan bahawa anak Khalifah Umar pernah mendesak bapanya supaya menggunakan kekerasan untuk menjayakan reformasi pemerintahan.

“Dengan tenang Khalifah memberi jawapan ‘Wahai anak ku, apa yang engkau maksudkan seolah-olah pembaharuan hanya boleh dicapai dengan pedang. Tetapi tidak akan ada apa-apa kebaikan dalam pembaharuan jika ia memerlukan kuasa pedang, ” tegas Lim penuh semangat dalam program anjuran Penyelaras Umat Pulau Pinang (Forum) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Lim juga mengakui model pemerintahan Umar Abdul Aziz boleh digunapakai sepanjang zaman kerana konsepnya berlandaskan amar ma’ruf dan nahi mungkar serta memperjuangkan nasib rakyat jelata.

Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Puteh berkata, menyedari betapa sukarnya mencontohi langkah-langkah yang dilaksanakan dalam pemerintahanya.

Namun, perjalanan yang jauh harus bermula dengan langkah pertama iaitu inisiatif menjadikan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) digunapakai oleh kerajaan hari ini supaya dapat membersihkan rasuah, memerangi mereka yang menyalahgunakan kuasa dan sebagainya.

” Keindahan pemerintah itu saya yakin dapat menyinari semula negeri yang dikenali sebagai Pulau Mutiara ini daripada anasir-anasir negatif seperti rasuah, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa, ” jelas beliau.

Program yang membicarakan dua kertas kerja turut mengundang Naib Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia Pulau Pinang (PUMPP), Prof Madya Dr Fadlullah Jamel bertajuk ‘Sejarah, Ibarah dan Keagungan Generasi Khalifah Umar Abdul Aziz dan Prof Madya Badli Hashi Mohd Nasir dengan kertas kerja bertajuk ‘ Khalifah Umar Abdul Aziz dalam Aspek Kenegaraan Masakini’.

Turut berucap dalam wacana itu ialah Wakil Forum merangkap YDP Angkatan Belia Islam Malaysia Pulau Pinang, Ustaz Zayd Zahari dan Exco Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Kasim.

Sunday, March 8, 2009

Pulau Pinang bertekad sebagai Halal Hub Global

Georgetown - Pembukaan pejabat Halal Industri Development Corporation Sdn Bhd (HDC) dan Penang International Halal Hub Sdn Bhd (Halal Penang) di tingkat 49 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 4 Mac lepas merupakan detik bersejarah setahun pemerintah Pakatan Rakyat di negeri ini kata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Penubuhan yang dianggotai oleh lima orang Exco Kerajaan Negeri dan juga 35 ahli lain yang mewakili Kerajaan Negeri dan agensinya dipengerusikan oleh Abdul Malik Kasim selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.

Justeru itu, gandingan bersama antara Kerajaan Pusat dan Negeri harus digerakkan segera untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab halal antarabangsa yang berjaya dan sekaligus sebagai 'global player' yang terkemuka menjelang tahun 2010.

"Produk halal telah melangkau agama dan bangsa 'It has gone beyond religion and race'. Halallan Toiyiban ialah konsep yang perlu kita berpegang kuat bagi menembusi persepsi masyarakat Malaysia dan dunia berkenaan produk berlebel halal, " katanya.

Menurutnya, di era globalisasi ini kesedaran terhadap hukum halal dan haram di dalam penggunaan barangan oleh pengguna telah meningkat secara drastik dan telah memberi kesan positif kepada industri produk halal seluruh dunia.

Maka katanya, tidak hairanlah potensi terhadap permintaan produk serta perkhidmatan halal terus meningkat dari tahun ke tahun dengan jumlah dagangan yang mencapai nilai 2.1 Trilion Dolar Amerika.

"Melihatkan perkembangan inilah membuatkan Pulau Pinang bertekad untuk menuju ke arah itu dengan merebut peluang yang ada tambahan lagi Pulau Pinang mempunyai kelengkapan terutamanya pelabuhan yang sesuai, " tegasnya.

Lim dalam ucapannya juga bersetuju kenapa Malaysia tidak boleh bangun untuk menjadi negara maju di bidang industri halal berbanding Thailand yang terlebih dahulu mempunyai kesedaran yang tinggi walaupun negara tersebut merupakan negara majoriti bukan Islam.

Kita menyedari katanya, walaupun pasaran makanan halal dunia hari ini masih dikuasai empat negara bukan Islam seperti China, Thailand, Australia dan Brazil namun ia harus menjadi cabaran untuk negara Islam agar jangan terlalu terbelakang dalam usaha mempekenalkan industri berteraskan halal di arena antarabangsa.

Oleh itu Kerajaan Negeri telah merangka beberapa strategi untuk mencapai matlamat pembangunan itu antaranya menyediakan tanah seluas 131 ekar di kawasan perindustrian di Bukit Minyak, Seberang Perai sebagai Halal Park untk industri baru.

Selain itu, juga mengenal pasti kawasan di Balik Pulau sebagai kawasan pelancongan dan pelancongan kesihatan berkonsep antarabangsa, penubuhan pasukan khas, mengumpul dan mendaftarkan semua pengeluar produk halal, perkhidmatan dan logistik industri halal sedia ada.

Bukan itu sahaja malahan mempromosikan Pulau Pinang sebagai hab halal dunia dan menjemput pelabur antarabangsa untuk melabur di sini dalam bidang pengeluaran, perkhidmatan, logistik dan lain-lain.

Menyediakan pemasaran produk halal di dalam dan luar negeri, bekerjasama dengan pengusaha produk halal dari Selatan Thailand dan bekerjasama dengan penguasa produk halal dari utara Sumatera dan Acheh menjadi sasaran utama perancangan itu.

"Untuk mencapai matlamat tersebut memang memerlukan perancangan rapi kerana bidang ini begitu mencabar terutamanya bagaimana menarik pelabur luar seperti Dubai, Riyadh dan bank- bank komesial luar negara. Bagaimanapun mereka menunjukan minat yang mendalam bila Kerajaan Negeri berjaya membawa mereka berbincang mengenai beberapa projek besar, " tambahnya.

Menyentuh mengenai pelabuhan Pulau Pinang yang hendak dijadikan pusat tukar barang bila perancangan menjadi kenyataan Lim berkata, ia dalam proses mengarahkan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mencari kawasan sesuai seperti yang dibuktikan kejayaan Singapura, Dubai dan Emiriyah Arab Bersatu.

"Saya yakin semua itu boleh berjaya sepertimana Pelabuhan Roterdam di Belanda kerana Pulau Pinang terletak di laluan utama perairan antarabangsa yang menghubungkan perhentian utama kapal dari China dan India tambahan lagi ia adalah agenda memperkukukan kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), " ujarnya.

Selepas berucap, Lim dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menandatangani plak perjanjian bersama ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai hub halal dan mempromosi perdagangan dan industri antarabangsa.

Sunday, February 22, 2009

Ibu tunggal terharu....

Sungai Baong - Hasil sumbangan YB Hj. Maktar, JKKK dan orang ramai, sebuah rumah untuk menempatkan warga emas berjaya didirikan.

Siti Kalsom Darus, 66, yang tinggal di sini sejak tahun 1954, kehilangan tempat berteduh berikutan pemilik tanah tidak lagi membenarkan beliau dan anak-anaknya menetap di situ. Beliau terpaksa merobohkan rumahnya dan membina di tanah pusaka peninggalan ibubapanya.

Di atas keprihatinan, YB Hj. Maktar mengambil tindakan segera dengan menghulurkan bantuan membina kembali rumah berkenaan dan berharap Siti Kalsom sekeluarga dapat hidup selesa dan tenteram.

Serba boleh : Hj. Maktar membancuh simen sambil diperhatikan Hj. Wan

Gotong-royong di Ladang Sempah

YB Hj. Maktar bergambar bersama penduduk kampung sebelum bermulanya program


Ladang Sempah - Gotong-royong yang dianjurkan oleh JKKK Sg. Duri dengan kerjasama penduduk kampung berkenaan telah menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Hj. Maktar bin Hj. Shapee.

YB bukan sahaja melawat, malah turut serta membersih kawasan kampung. Beliau menyeru orang ramai supaya menjadikan budaya gotong-royong sebagai amalan, seterusnya dapat menghindar diri dan keluarga dari wabak penyakit yang dibawa oleh nyamuk, lalat, tikus dan sebagainya.

"Amalan menjaga kebersihan bermula dari rumah, sekiranya setiap orang ada rasa tanggungjawab ini dan mengekalkannya secara tidak langsung seluruh kampung dan kawasan akan menjadi bersih," ujarnya.

Friday, February 20, 2009

Lawatan ke Muda Paper Mills Sdn Bhd


Tasek - Rombongan ADUN Sg. Bakap telah melawat kilang tersebut setelah mendapat jemputan dari pihak pengurusan Muda Paper Mills Sdn Bhd.

Pertemuan tersebut hanyalah merupakan majlis suai kenal dan ramah mesra di antara Lembaga Pengarah dengan kakitangan Pejabat ADUN.

Turut serta di dalam rombongan tersebut ialah Setiausaha Politik ADUN; Hj. Wan, Pembantu Khas ADUN; Md Arop Yahya, Pegawai Perkhidmatan Masyarakat; Pn Rajaletchimee serta Pengerusi JKKK Tasek; Mohamad Said Mohd Zain.

Thursday, February 19, 2009

Pusat Khidmat Rakyat bergerak dapat sambutan

Tempat : Padang Awam, Taman Puteri Gunung

Orang ramai yang menunggu giliran dengan penuh sabar


Semua kaum mendapat perhatian sewajarnya


Petugas Pusat Khidmat Rakyat, Pn. Norjuliana sedang mendengar masalah penduduk

Akibat iri hati - Tanaman diracun

Tasek - Akibat terdapat perselisihan pendapat dan ketidakpuasan hati di kalangan jiran tetangga, tanaman menjadi mangsa perbuatan khianat pihak tertentu.

Menurut mangsa yang enggan dikenali, ini berpunca dari perselisihan faham antaranya dengan individu terbabit.

Ketika meninjau ke kawasan ladang nenas yang diracun itu, YB Hj. Maktar yang ditemani oleh Pengerusi JKKK Tasek, Mohamad Said Mohd Zain berkata masyarakat perlu mengamalkan musyawarah dalam apa-apa masalah yang dihadapi khususnya dalam hal-hal kemasyarakatan bagi mengelakkan perpecahan, pergaduhan dan kerugian.

"Jika berlaku masalah, kita ada jawatankuasa yang boleh mempertemukan mereka yang berselisih pendapat iaitu JKKK atau boleh terus membuat aduan ke Pusat Khidmat Rakyat DUN Sg. Bakap. Kita sedia menerima apa-apa sahaja aduan dan rungutan rakyat tanpa mengira latarbelakang mereka."

"Musyawarah dan perbincangan adalah perkara yang amat penting dalam kita menyelesaikan segala masalah yang dihadapi, janganlah merosakkan tanaman atau binatang. Jika kelak masyarakat mengetahui bahawa siapa yang melakukannya, ini secara tidak langsung merosakkan imej seseorang itu," katanya.

YB Hj. Maktar bersama Hj. Wan dan Mohamad Said meninjau kebun terbabit