Thursday, February 19, 2009

Jadual 'Pusat Khidmat Rakyat' Bergerak DUN Sungai Bakap

Sila klik imej untuk paparan lebih jelas..

Wednesday, February 18, 2009

Lembu berkeliaran : diatasi secara berhemah

YB Hj. Maktar ketika mempengerusikan sessi dialog tersebut


Kepala Gajah - Pada awal bulan lalu, YB Hj. Maktar telah mengarahkan satu perbincangan perlu diadakan di antara MPSP, wakil penduduk dan pemilik lembu bagi mengelakkan masalah terus berpanjangan.

Hasilnya dapat dilihat apabila sessi dialog tersebut berjaya menghimpunkan pihak yang terlibat serta jalan penyelesaian terbaik dapat diterima oleh semua pihak. YB Hj. Maktar turut mempengerusikan sessi dialog yang diadakan di Dewan JKKK Taman Puteri Gunung.


Semasa membuat tinjauan setelah menerima aduan penduduk Flat Mutiara Jaya pada awal bulan lalu berkenaan masalah lembu yang berkeliaran di sekitar kediaman mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap itu memberi jaminan akan menyelesaikannya secepat mungkin.



Mengulas mengenai perkara tersebut, Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Mohd Zamri Yahya berkata, sebaik sahaja aduan dibuat, MPSP mengambil tindakan segera dengan membuat tinjauan dan pemantauan secara menyeluruh serta bakal menyelesaikan masalah yang hampir lapan tahun tidak dapat diselesaikan.


Seorang penduduk Nor Ashikin Ramli, berkata tindakan pantas PBT serta pemimpin di sini khasnya ADUN Sg. Bakap dalam memberi perhatian serius mengenai masalah yang diutarakan oleh rakyat harus dipuji.

"Kami sudah puas membuat aduan pada kerajaan dulu tetapi masalah berkenaan masih tidak dapat diselesaikan dan diharapkan kerajaan yang memerintah kini serius dalam menyelesaikannya," tambahnya lagi.

Saturday, February 14, 2009

Hak Milik Kekal : Speaker akan panjangkan kepada Kerajaan Negeri

Teluk Ipil - Masalah tanah yang berpanjangan sejak era pemerintahan Barisan Nasional, kini mendapat perhatian Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk dirujuk kepada Kerajaan Negeri, Abdul Halim Hussain (gambar).

Kebanyakan penduduk kampung tersebut masih menunggu untuk mendapatkan status hak milik kekal dan perkara tersebut akan diteliti dan perjumpaan selanjutnya akan diatur diantara penduduk dengan Exco terbabit.

Menurut Abdul Halim, segala masalah yang timbul haruslah disampaikan kepada pemimpin peringkat kampung dan kawasan seperti JKKK yang dilantik untuk tindakan lanjut Kerajaan Negeri.

"Sekiranya masyarakat menggunakan saluran yang betul untuk memberikan cadangan dan aduan kepada pimpinan atasan, ia akan melicinkan kerja penambahbaikan seterusnya segala masalah serta kerumitan yang dihadapi oleh masyarakat dapat diatasi oleh kerajaan", ujarnya ketika menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Kg. Che Isa, Teluk Ipil, Nibong Tebal.

"Kerajaan Negeri sentiasa mendengar masalah rakyatnya, dan dengan adanya JKKK di setiap kawasan akan membantu masyarakat bagi menyalurkan segala permasalahan yang dihadapi".

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah YB Tan Beng Huat (ADUN Jawi), Mustafa Kamal Mohd Yusoff (Setiausaha Perhubungan KeADILan Pulau Pinang), Hj. Mohd Kamil Abu Bakar (Setiausaha Politik ADUN Sg. Bakap) dan Penolong Pegawai Daerah serta Penghulu Mukim.

Orang ramai yang hadir mendengar taklimat

Wednesday, February 11, 2009

Perjumpaan dengan Penduduk Makau Suah

Sungai Bakap - Satu majlis dialog diadakan bagi mengatasi masalah penempatan semula yang berlanjutan sejak tahun 2000. Sebanyak 26 buah rumah terlibat dan sebilangan besar penduduk Kg. Makau Suah hadir ke majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

Masalah ini timbul berikutan waris pemilik tanah melalui peguamnya mengeluarkan notis pindah kepada penghuni rumah terbabit. Manakala para penduduk pula mendakwa mereka dipindahkan oleh kerajaan sejak berlakunya darurat dan di tempatkan di atas tanah tersebut.

Semasa perbincangan tersebut, waris pemilik tanah melalui peguamnya mengemukakan dua cadangan sama ada penduduk membayar sewa sebanyak RM 150 sebulan untuk setiap buah rumah ataupun membeli tanah kepadanya dengan kadar RM 9 sekaki.

Setelah cadangan tersebut tidak mendapat reaksi positif dari penduduk, YB Hj. Maktar mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik dan akhirnya diterima oleh kedua-dua pihak.

Cadangan daripada ADUN Sungai Bakap, Hj. Maktar ialah membuat sistem Sewa Beli agar tidak membebankan penduduk dengan harga yang berpatutan dan akan ditentukan kelak.

Selain daripada YB Hj. Maktar dan Setiausaha Politiknya yang juga Ahli Majlis MPSP, Hj. Mohd Kamil, turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah; Hj. Jusni, Pegawai Pejabat Tanah serta Pengerusi JKKK Sungai Bakap (S).

Tuesday, February 10, 2009

Stor haram diarah tutup



Kg. Padang Lalang - Akibat tidak tahan dengan bau busuk, pencemaran dan wabak penyakit akibat daripada kewujudan 'stor kitar semula' berdekatan, penduduk kampung telah mengadu masalah tersebut ke Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sungai Bakap.

Setelah meninjau ke kawasan terbabit beberapa hari yang lalu, YB Hj. Maktar memanggil Jabatan-jabatan berkaitan dan penduduk kampung untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian.

Stor haram terbabit menjalankan aktiviti memproses habuk besi dan mengitar semula bahan plastik tanpa lesen. Pencemaran udara, saliran yang tercemar dan habuk menjadi igauan masyarakat setempat.

Ketika pemilik premis tersebut dihubungi untuk hadir dalam perbincangan, beliau enggan bekerjasama.

Oleh itu, tindakan yang akan diambil oleh Pejabat Daerah SPS ialah mengenal pasti no.lot tanah terbabit untuk diserahkan kepada Pegawai Perlesenan MPSP supaya menyaman tuan tanah. Selain itu juga Pegawai Perlesenan akan mengeluarkan notis tutup dan pindah operasi.

Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah; Puan Asmah, Ketua Polis Daerah; Chif Inspektor Zakaria, Pengarah Perbandaran dan Kesihatan MPSP; Dr. Ramli, Ahli Majlis MPSP; Hj. Mohd Kamil , Penghulu Mukim; Tg. Zaki, wakil Jabatan Perlesenan MPSP, wakil Pegawai Kesihatan Daerah serta JKKK Padang Lalang dan Kepala Gajah.

Terdahulu, dalam kejadian berasingan Pegawai Penguatkuasa MPSP, En. Mohd Nor telah megeluarkan notis kepada pemilik lori yang meletakkan kenderaan mereka di kawasan penempatan awam.

Ini berikutan aduan penduduk Taman Puteri Gunung yang tidak berpuas hati kerana kawasan terbabit sering dijadikan tempat menyimpan lori dan menggangu lalulintas. Notis tersebut telah diserahkan kepada pemandu lori terbabit dan sekiranya masih engkar Bahagian Penguatkuasa MPSP akan menyita kenderaan itu.

Monday, February 9, 2009

Masalah sampah selesai


Bandar Tasek Mutiara - Rungutan penduduk taman perumahan di Fasa 7 tentang sampah yang tidak dikutip oleh MPSP akhirnya diselesaikan segera oleh YB Hj. Maktar.

Sebelum ini penduduk di sini melalui Persatuan Penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab, tetapi tidak diendahkan.

YB Hj. Maktar bersama ahli majlis MPSP, Hj. Mohd Kamil turun ke kawasan terbabit untuk melihat sendiri dan mendengar luahan penduduk terbabit.

Tindakan segera diambil dengan mengarahkan Setiausaha MPSP menghantar lori sampah ke tempat terbabit pada hari ini juga. Selain itu, YB meminta Pengarah Kebersihan dan Kesihatan MPSP, Dr. Ramli supaya mengeluarkan jadual kutipan sampah (schedule) dan menyemak senarai penyelia/kontraktor yang terlibat untuk rujukan.

Sunday, February 1, 2009

Program GEMPADAH meriah


Puteri Gunung - Majlis Perasmian Gerak Gempur Dadah "Gempadah" peringkat daerah Seberang Perai Selatan anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah dihadiri oleh pelbagai golongan masyarakat.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah, Hj. Jusni Hj. Ismail dan turut diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Tuan Hj. Maktar Hj. Shapee.

"Saya amat mengalu-alukan dan berterima kasih kepada AADK kerana melancarkan program Gempadah ini. Program ini amat penting kerana dapat menyedarkan masyarakat serta memberi maklumat yang tepat tentang ancaman najis dadah.

Penglibatan NGO-NGO serta seluruh masyarakat amat penting dalam memerangi gejala dadah ini," ujar YB Tuan Hj. Maktar.

Sukan rakyat dan pameran turut menggamit pengunjung yang terdiri dari penduduk sekitar Taman Puteri Gunung dan Kg. Kepala Gajah.

Menurut Pengerusi JKKK Kepala Gajah, En. Wahid Darus, program tersebut mencapai sasaran dan mencadangkan agar turut diadakan di kawasan lain supaya orang ramai lebih peka tentang masalah sosial ini.