Saturday, January 29, 2011

Pemberian hamper Tahun Baru Cina DUN Sungai Bakap & DUN Sungai Acheh

Program edaran limau di Pasar Awam Sg.Bakap dan Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara.

Kemudian terus menyampaikan hamper sempena Tahun Baru Cina di Pasar Awam Sg. Bakap, Dewan PPS Tmn Lima Kongsi, Dewan Fasa 2 Bandar Tasek Mutiara, Kepala Gajah, Dewan Sri Ampangan dan Kem Kebun Bunga Sg.Kechil.

Monday, January 24, 2011

Surat terbuka daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen Malaysia (PAC)

21 Januari 2011

YB Datuk Seri Azmi Khalid,
Pengerusi,
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),
Parlimen Malaysia,
Kuala Lumpur.

Yang Berhormat Datuk Seri,

Meminta Segerakan Audit Khas Oleh Ketua Audit Negara Ke atas Skandal Kehilangan RM30 Juta Tropical Island Resort(TIR) Pulau Jerejak Demi Kepentingan Rakyat Pulau Pinang

Dengan segala hormatnya kami ingin merujuk kepada pengumuman YB selaku Pengerusi PAC mengenai perkara di atas baru-baru ini.

Kami amat berterima kasih atas arahan YB kepada Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit khas ke atas kehilangan RM 30 juta yang dialami oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dalam skandal penyerahan tanah dan operasi Tropical Island Resort(TIR) Pulau Jerejak sebelum 2008. YB telah menyatakan tidak ada had tempoh masa ditetapkan kepada Ketua Audit Negara untuk menyiapkan audit khas tersebut.

Demi kepentingan rakyat Pulau Pinang kami ingin meminta YB mengarahkan audit khas disegerakan dalam masa terdekat dan rumusan mutakhir dibuat agar menangani kehilangan RM 30 juta ini. Jumlah RM30 juta ini amat penting bagi rakyat negeri sebanyak 1.6 juta orang yang dapat menikmati banyak program sosial daripadanya. Lagipun demi masa depan TIR Pulau Jerejak, hala tuju muktamad amat diperlukan.

Isu TIR Pulau Jerejak dicetuskan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Koh Tsu Koon yang menuduh kerajaan baru kami tidak menguruskannya dengan baik. Ini ekoran bot yang ingin dinaiki oleh YB Tan Sri Koh ke Pulau Jerejak lambat dan terdapat ada ular dalam bilik stor dalam TIR.

Sebenarnya YB Tan Sri Koh telah menyerahkan TIR dimiliki 51% oleh Urban Development Authority(UDA) dan 49% oleh syarikat milikan kerajaan negeri, Penang Development Corporation(PDC), sejak 1992. Beliau juga membenarkan hampir semua tanah yang boleh digunakan di Pulau Jerejak diserahkan kepada UDA sejak 2001.

Pengurusan operasi TIR tidak berjalan dengan baik dan rugi setiap tahun. PDC tidak pernah terima sebarang dividen daripada TIR. Sehingga sekarang TIR mengalami kerugian terkumpul RM18 juta. Ini bermakna pelaburan PDC sebanyak 49% dalam TIR sebanyak RM15.435 juta dan pinjaman kepada TIR RM3.6 juta tidak boleh didapat balik.

Berdasarkan kepada akaun audit TIR, prestasi kewangan syarikat bagi lapan (5) tahun kebelakangan ini dari 2005 sehingga 2009 adalah seperti berikut :-
Tahun Keuntungan/(Kerugian) Selepas cukai(RM) Keuntungan/(Kerugian) Terkumpul (RM) Nilai Aset Ketara Bersih Sesaham (NTA Per Share) (RM)
2005 (3,375,008) (8,058,754) 0.74
2006 (3,471,944) (11,530,698) 0.63
2007 (2,286,178) (13,816,876) 0.56
2008 (1,873,345) (15,690,221) 0.50
2009 (2,344,672) (18,034,893) 0.43

Selain daripada kerugian RM 19 juta yang ditanggung oleh PDC, kerajaan negeri pun rugi bila RM10.6 juta kerana kegagalan membayar premium tanah oleh TIR kepada Pejabat Pentadbir Tanah Pulau Pinang untuk 80 ekar tanah di Pulau Jerejak yang diberikan. Sila lihat lampiran yang disertakan bersama.

Amatlah diharapkan tindakan yang sewajarnya harus dikenakan ke atas pihak yang bertanggungjawab atas skandal ini dan membolehkan kerajaan negeri mendapat wang balik daripada golongan yang berhutang. Itulah sebabnya audit khas ini harus disegerakan. Sekian terima kasih.

Yang benar,

LIM GUAN ENG
KETUA MENTERI PULAU PINANG


Lampiran:

RUMUSAN TENTANG KEHILANGAN RM 30 JUTA OLEH KERAJAAN NEGERI DALAM TROPICAL ISLAND RESORT SDN BHD (TIR)

Jumlah keseluruhan besar kerugian yang dihadapi oleh PDC dan Kerajaan Negeri (menerusi PTG) berkaitan dengan skandal kelulusan tanah Pulau Jerejak kepada TIR adalah sebanyak RM30 juta. Butiran adalah seperti berikut:

1. Isu Tanah RM10.6 Juta Untuk 80 Ekar Tanah di Pulau Jerejak

Kelulusan oleh Kerajaan Negeri pada 15 Januari 2001 dengan tempoh pajakan selama 60 tahun sehingga 10 Oktober 2062. Pada 3/1/2001, Exco telah membuat keputusan bahawa TIR diberikan geran hak milik sebaik sahaja ansuran pertama sungguhpun tidak dijelaskan dengan sepenuhnya. Ini berlawanan dengan amalan biasa di bawah seksyen 180 Kanun Tanah Negara bahawa Pentadbir Tanah hanya boleh keluarkan geran apabila bayaran premium dijelaskan dengan sepenuhnya.

Jumlah premium tanah ialah RM12.95 juta (iaitu RM3.72 skp) bagi tanah berkeluasan 80 ekar. Kadar faedah yang dikenakan ialah 4% setahun dan tempoh pembayaran balik ialah dari tahun 2004 sehingga 2013 (selama 10 tahun). Baki yang masih belum dijelaskan adalah sebanyak RM10.60 juta (termasuk faedah sebanyak RM1.81 juta). TIR tidak mampu membayar ansuran mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri disebabkan oleh prestasi kewangan syarikat yang tidak baik.

Sebagai rumusan geran tanah tidak sepatutnya dikeluarkan sehingga premium tanah dibayar penuh supaya tidak berlaku hutang bayaran premium. Keputusan Exco meluluskan geran tanah dikeluarkan tanpa bayaran penuh dikutip menyebabkan tunggakan hutang RM10.6 juta daripada TIR sejak tahun 2004. Kerajaan negeri telah kehilangan tanah sungguhpun premium tanah belum dibayar penuh.
2. Kehilangan Kos Pelaburan PDC RM 15.435 Juta

Modal berbayar TIR adalah sebanyak RM31.5 juta. Kos pelaburan PDC berdasarkan ekuiti 49% adalah sebanyak RM15.435 juta.
3. Kehilangan Pinjaman Pemegang Saham oleh PDC RM3.6 Juta

Pada 28 Disember 2007, PDC telah memberi pinjaman pemegang saham sebanyak RM3.41 juta kepada TIR untuk menampung kos operasi syarikat. Keseluruhan jumlah tersebut sebanyak RM3.60 juta (termasuk faedah sebanyak RM193,553 atas kadar faedah 3.5% setahun) masih belum dijelaskan.

*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

PAC diminta siasat projek Pulau Jerejak

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diminta menyiasat dengan segera akaun dan laporan terperinci projek pembangunan Pulau Jerejak bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa rakyat mengalami kerugian ekoran ketidaklancaran projek pembangunan di pulau tersebut.

Katanya, kerugian sepertimana yang dimaklumkan berikutan premium tanah sebanyak RM10.6 juta yang masih lagi belum dijelaskan oleh Syarikat Tropical Island Resort kepada Pejabat Pentadbir Tanah Pulau Pinang.

"Manakala Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pula terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM19 juta. Kerjasama antara PDC dan Uda Holdings Berhad sewajarnya dihentikan kerana ia merugikan kerajaan negeri.

"Uda juga bukannya pakar dalam bidang pembinaan tempat-tempat pelancongan. Mereka juga gagal menguruskan dengan baik resort yang terletak di Pulau Jerejak," katanya lagi.

Sim juga berkata, kerugian itu adalah kerana perancangan yang tidak komprehensif Uda bagi membangunkan pusat pelancongan Pulau Jerejak melalui pembinaan empat fasa projek yang merangkumi pembinaan ekopelancongan, rumah mewah dan juga marina di pulau tersebut.

"Dengan adanya siasatan terperinci, maka keadilan akan dapat dicapai sama ada terdapat atau tidak pihak yang terbabit dalam penyelewengan yang membabitkan projek pelancongan tersebut," ujarnya lagi.

Pulau Pinang tubuh Yayasan Islam

Kerajaan negeri meluluskan penubuhan Yayasan Islam Negeri Pulau Pinang tetapi lokasinya belum dipastikan lagi, kata Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman.

Jelasnya, namun berapa peruntukan belum lagi dinyatakan dengan jelas kerana ia dalam proses mengenal pasti tanah dan perbelanjaan keseluruhan.

"Masyarakat Islam sekali lagi menerima berita gembira apabila Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Yayasan Islam Negeri Pulau Pinang. Penubuhan itu sekaligus boleh meningkatkan syiar Islam selepas Kerajaan Pakatan Rakyat memberikan kenaikan peruntukan untuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) berbanding di era pentadbiran Barisan Nasional (BN), " ujarnya ketika ditemui di majlis penyampaikan anak kunci rumah kepada warga emas Encik Taha Daud di Tanah Liat, Bukit Mertajam pagi tadi.

Menurut beliau, pembentukan Yayasan Islam Pulau PInang akan melaksanakan mana-mana tugas yang tidak dimainkan oleh Maipp mahupun Jabatan Agama Islam Pulau PInang (Jaipp).

Golongan profesional akan dipanggil mengendalikan Yayasan Islam Pulau Pinang ini selain mencari perbagai kaedah untuk diketengahkan sebagai cadangan peranan yayasan itu kelak.

"Yayasan itu nanti bukan menjalankan tanggungjawab yang bertindih dengan Maipp dan Jaipp sebaliknya menjalankan aktiviti yang lain asalkan ia melibatkan kepentingan umat Islam sejagat," tegasnya.

Sebelum itu, Yang Dipetua Maipp, Ustaz Elias Zakaria berkata, Pusat Urus Zakat (PUZ) telah pun memperuntukan RM15 ribu untuk membina rumah Taha Daud yang sebelum ini tinggal keseorangan di rumah usang di Kampung Tanah Liat.

Dengan bantuan itu menjadikan pada tahun 2010 PUZ telah membina 30 buah rumah yang menelan belanja RM900 ribu.

Manakala kerja baik pulih rumah pula melibatkan 164 rumah keseluruhan Pulau Pinang dengan kos RM1.7 juta di tahun yang sama.

"Memandangkan kita tidak mahu ada lagi individu Islam hidup melarat maka PUZ akan membantu bagi meningkatkan emej Islam agar dipandang tinggi oleh masyarakat bukan Islam," terangnya.

Hadir sama dalam program itu ialah Timbalan YDP Maipp, Ustaz Saleh Man, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Hasan Ahmad dan Pengarah PUZ, Dr Azman Samat.

Saturday, January 15, 2011

Ziarah


Menziarahi rakan kita dari masyarakat India yang telah meninggal dunia di Taman Puteri Gunung. Turut menyampaikan sumbangan di bawah peruntukan pengurusan jenazah DUN Sungai Bakap.


Monday, January 3, 2011

Banjir di Sungai Kechil





Menziarahi mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terlibat bersama Pegawai Daerah, Penghulu, Ketua Polis Daerah, JPS dan JKKK.

Pulau Pinang negeri hijau pertama di Malaysia

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Ahad, 2hb Januari 2011:

Adakah BN dan Gerakan Pulau Pinang sedia menyokong penuh inisiatif Kerajaan Negeri PR tanpa beg plastik percuma setiap hari sepanjang tahun serta menolak kempen pro-plastik oleh Malaysian Plastic Manufacturers Association (MPMA)?

Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadikan Pulau Pinang negeri hijau pertama di Malaysia dan mengurangkan tapak kaki karbon(carbon footprint), inisiatif "Tanpa Beg Plastik Percuma Setiap Hari" telah dimulakan pada 1.1.11. Kerajaan negeri harap boleh dapat kerjasama daripada semua pihak termasuk pihak kerajaan persekutuan untuk menjayakan inisiatif ini yang diadakan buat pertama kali di Malaysia.

Tidak hairanlah dengan bantahan kuat daripada MPMA ke atas inisiatif tanpa beg plastik percuma kerana menjejaskan perniagaan mereka. Tetapi kerajaan negeri hairan mengapa BN dan Gerakan Pulau Pinang enggan menyokong inisiatif hijau kerajaan negeri Pulau Pinang dan berdiri bersama dengan MPMA.

Adakah BN dan Gerakan Pulau Pinang sedia menyokong penuh inisiatif kerajaan negeri PR tanpa beg plastik percuma setiap hari sepanjang tahun serta menolak kempen pro-plastik oleh MPMA?

Sebenarnya inisiatif ini membolehkan keadaan "3kali menang" yang menguntungkan pengguna, kerajaan negeri dan alam sekitar. Contohnya bila Sunway Carnival Mall menubuhkan "Recycling Buy Back Centre" atau Pusat Kitar Semula ESH dan berjaya mengumpul lebih 100 tan bahan kitar semula dalam satu tahun, pengguna akan untung contohnya lebih kurang RM400 untuk satu tan surat khabar lama bila dijual. Pada masa yang sama, kerajaan negeri menjimatkan kos bayaran pelupusan sisa pepejal yang perlukan RM50 setan atau RM5000 untuk 100 tan.

Dengan kata lain, pengguna akan menang dengan untung RM5,000 dan kerajaan negeri akan menang dengan jimatkan kos RM5,000 sedangkan masyarakat akan menang secara umum dengan pelihara alam sekitar dan selamatkan bumi.

Harus diingati bahawa rakyat Malaysia membuang sumber kitar semula dalam bentuk plastik bernilai RM 163 juta dalam 2 tahuni ini. Setiap individu gunakan lapan helai plastik seminggu yang mengambil masa 500 thaun unutk diuraikan (decompose).

Pengurangan penggunaan beg plastik ini adalah terpakai kepada semua hypermarket, supermarket, departmental stores, farmasi, restoran makanan segera, rangkaian nasi kandar, kedai serbaneka (termasuk kiosk stesen minyak). Manakala pasar mini dan premis perniagaan tunggal juga perlu mematuhi syarat baru semasa pembaharuan lesen iaitu melaksanakan Hari Tanpa Beg Plastik 3 hari seminggu iaitu setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu. Penjaja dan pasar adalah dikecualikan daripada peraturan baru tersebut.

Untuk mereka yang hendak beg plastik, perlu bayar sebanyak 20 sen sekeping, yang akan disalurkan kepada akaun Rakan Anti- Kemiskinan Negeri Pulau Pinang (RAK). Sejak Julai 2009 hingga Ogos 2010, sebanyak RM174,280 telah disalurkan kepada Tabung RAK.

Kerajaan negeri percaya bahawa semua 1.6 juta inginkan anak-anak dan cucu-cucu kita mewarisis alam sekitar dan bumi dalam keadaan yang elok daripada kita. Oleh itu sungguhpun inisiatif kerajaan negeri akan bawa kesulitan, adalah diharapkan warga Pulau Pinang boleh menolak kempen pro-beg plastik MPMA bersama dengan Gerakan dan BN Pulau Pinang.

Lim Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang

Pulau Pinang akan bina universiti di Penanti

Sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mewujudkan sebuah universiti di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti dalam tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman berkata demikian selepas menyerahkan bantuan keperluan persekolahan kepada golongan yang tidak berkemampuan di Yayasan Aman, Penanti pagi tadi.

Ketika ditemui beliau berkata, adalah menjadi aspirasi utama kerajaan negeri memberi peluang pendidikan yang terbaik bagi masyarakat negeri ini untuk meningkatkan taraf pendidikan mereka.

"Lokasi kawasan telah pun dikenal pasti. Segala perkara berkaitan dengan penubuhan insititusi tersebut sudah pun berada pada peringkat terakhir. Kita sekarang berada dalam proses pembangunan sahaja.

"Selain dari universiti dalam kawasan Penanti yang juga berada dalam Parlimen Permatang Pauh, kerajaan negeri juga akan mewujudkan sebuah lagi institusi yang akan memberi fokus kepada pembangunan ummah yang dikenali sebagai Yayasan Islam Pulau Pinang," tegasnya lagi.

Tambahnya, dengan kewujudan institusi tersebut, ia membuktikan kerajaan negeri tidak meminggirkan nasib orang Melayu di Pulau Pinang.

Difahamkan, yayasan yang akan beroperasi awal tahun ini, akan memberi penekanan kepada keperluan masyarakat Islam seperti pendidikan, ekonomi dan sosial.

“Kita bukan saja mahu masjid berperanan sebagai tempat ibadah, tetapi juga merangkumi semua aspek kehidupan masyarakat yang menitikberatkan ilmu agama semata-mata, tetapi juga membuka ruang sebagai tempat untuk meningkatkan ekonomi dan membentuk peribadi atau pembangunan insan, " katanya lagi.

Beliau yang juga Adun Penanti, optimis apa yang termaktub dalam manifesto pilihan raya yang lalu bagi mewujudkan institusi ini ternyata berjaya direalisasikan sepertimana yang dinyatakan dalam pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.