Tuesday, March 31, 2009

Pulau Pinang capai miskin tegar sifar

Georgetown - Pulau Pinang kini mencapai status miskin tegar sifar. Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam satu majlis di Dewan Sri Pinang di sini semalam.

Beliau berkata, dengan pencapaian itu, tiada lagi penduduk Pulau Pinang yang memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM500 atau pendapatan perkapita kurang RM100.

“Ini bermakna kerajaan negeri akan menampung dengan bantuan kewangan kepada mereka yang gagal memperoleh jumlah itu pada setiap bulan.

“Jika mereka hanya mendapat RM300 sebulan, kerajaan negeri akan menambah lagi RM200 agar pendapatan mereka mencecah RM500,” katanya kepada media selepas majlis pengumuman itu.

Pada majlis itu, Guan Eng turut menerima kembali baucar bantuan daripada lima pegawai daerah.

Sebelum ini Pulau Pinang mempunyai 728 keluarga miskin tegar iaitu 303 keluarga di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (186), Seberang Perai Selatan (48), Daerah Timur Laut (41) dan daerah Barat Daya (150).

Menurutnya, kerajaan negeri akan memberi bantuan kewangan untuk tempoh tiga bulan sebelum mengkaji dan semula keadaan penerima. Jika masih memerlukan, kerajaan akan meneruskan bantuan.

Sebagai permulaan, bantuan kewangan sebanyak RM213,385 diberikan kepada semua keluarga miskin tegar yang terlibat.

Bagi keluarga yang produktif, kerajaan negeri akan mencari peluang pekerjaan atau perniagaan serta menganjurkan kursus motivasi bagi peralihan minda untuk mengeluarkan mereka daripada kumpulan miskin tegar.

Dengan keadaan ekonomi yang meleset sekarang ini, ada pekerja yang diberhentikan kerja dan mereka mungkin akan termasuk ke dalam golongan miskin tegar.

“Melalui kajian yang dijalankan setiap tiga bulan, nama mereka boleh dimasukkan sebagai penerima yang layak mendapat bantuan kerajaan untuk tempoh tertentu sehingga berjaya mendapat pendapatan yang melebihi RM500 sebulan,” katanya.

Menurutnya, sasaran kerajaan negeri selepas ini ialah mencapai kemiskinan sifar iaitu penduduk yang berpendapatan kurang RM700 sebulan.

Monday, March 23, 2009

Ketua Menteri tekad ikut acuan Khalifah Umar Abdul Aziz

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berbangga dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz kerana beliau seorang pemimpin Islam yang adil dan berjiwa rakyat.

Ketika merasmikan Wacana Pemikiran Khalifah Saidina Umar Abdul Aziz “Islam dan Kenegaraan” di Auditorium A, Tingat 5 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) semalam beliau sekali lagi bertekad untuk meniru usaha yang dilaksanakan oleh pemerintahan Khalifah berkenaan.

Ini katanya bagi memastikan pentadbiran negeri bebas daripada penyalahguna kuasa, kezaliman, merombak semula jentera pentadbiran dengan memecat pada pegawai yang tidak cekap dan sebagainya.

Ujar Lim, sikap sedemikian merupakan puncak tertinggi dalam agama Islam ekoran prinsip Khalifah Umar untuk membangunkan negara dengan nilai-nilai kebajikan dalam semua bidang melibatkan kegiatan kenegaraan.

“Saya berbangga dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang mempunyai sikap adil, telus dan berjiwa rakyat.

“Khalifah Umar Abdul Aziz mempunyai prinsip membangunkan negara menerusi nilai-nilai kebajikan dalam bidang kenegaraan dan masyarakat di samping membasmi segala kemungkaran yang melekat sebagai kuman penyakit yang merosakan seluruh masyarakat dan negara, ” katanya.

Melihatkan contoh tersebut membuatkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengambil langkah berusaha menjadikan negeri pertama bebas daripada miskin tegar.

Selain itu katanya kerajaan juga mengiktiraf pelajar cemerlang termasuk para Huffaz serta inisiatif Wi-Fi percuma untuk mengurangkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar serta golongan berada dan kurang kemampuan.

Pelaksanaan cara itu, akan dilakukan tanpa mengira apa latar belakang agama dan kaum kerana yang penting ialah hasil kejayaan.

“Ada cacatan yang meriwayatkan bahawa anak Khalifah Umar pernah mendesak bapanya supaya menggunakan kekerasan untuk menjayakan reformasi pemerintahan.

“Dengan tenang Khalifah memberi jawapan ‘Wahai anak ku, apa yang engkau maksudkan seolah-olah pembaharuan hanya boleh dicapai dengan pedang. Tetapi tidak akan ada apa-apa kebaikan dalam pembaharuan jika ia memerlukan kuasa pedang, ” tegas Lim penuh semangat dalam program anjuran Penyelaras Umat Pulau Pinang (Forum) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Lim juga mengakui model pemerintahan Umar Abdul Aziz boleh digunapakai sepanjang zaman kerana konsepnya berlandaskan amar ma’ruf dan nahi mungkar serta memperjuangkan nasib rakyat jelata.

Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Puteh berkata, menyedari betapa sukarnya mencontohi langkah-langkah yang dilaksanakan dalam pemerintahanya.

Namun, perjalanan yang jauh harus bermula dengan langkah pertama iaitu inisiatif menjadikan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) digunapakai oleh kerajaan hari ini supaya dapat membersihkan rasuah, memerangi mereka yang menyalahgunakan kuasa dan sebagainya.

” Keindahan pemerintah itu saya yakin dapat menyinari semula negeri yang dikenali sebagai Pulau Mutiara ini daripada anasir-anasir negatif seperti rasuah, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa, ” jelas beliau.

Program yang membicarakan dua kertas kerja turut mengundang Naib Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia Pulau Pinang (PUMPP), Prof Madya Dr Fadlullah Jamel bertajuk ‘Sejarah, Ibarah dan Keagungan Generasi Khalifah Umar Abdul Aziz dan Prof Madya Badli Hashi Mohd Nasir dengan kertas kerja bertajuk ‘ Khalifah Umar Abdul Aziz dalam Aspek Kenegaraan Masakini’.

Turut berucap dalam wacana itu ialah Wakil Forum merangkap YDP Angkatan Belia Islam Malaysia Pulau Pinang, Ustaz Zayd Zahari dan Exco Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Kasim.

Sunday, March 8, 2009

Pulau Pinang bertekad sebagai Halal Hub Global

Georgetown - Pembukaan pejabat Halal Industri Development Corporation Sdn Bhd (HDC) dan Penang International Halal Hub Sdn Bhd (Halal Penang) di tingkat 49 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 4 Mac lepas merupakan detik bersejarah setahun pemerintah Pakatan Rakyat di negeri ini kata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Penubuhan yang dianggotai oleh lima orang Exco Kerajaan Negeri dan juga 35 ahli lain yang mewakili Kerajaan Negeri dan agensinya dipengerusikan oleh Abdul Malik Kasim selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.

Justeru itu, gandingan bersama antara Kerajaan Pusat dan Negeri harus digerakkan segera untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab halal antarabangsa yang berjaya dan sekaligus sebagai 'global player' yang terkemuka menjelang tahun 2010.

"Produk halal telah melangkau agama dan bangsa 'It has gone beyond religion and race'. Halallan Toiyiban ialah konsep yang perlu kita berpegang kuat bagi menembusi persepsi masyarakat Malaysia dan dunia berkenaan produk berlebel halal, " katanya.

Menurutnya, di era globalisasi ini kesedaran terhadap hukum halal dan haram di dalam penggunaan barangan oleh pengguna telah meningkat secara drastik dan telah memberi kesan positif kepada industri produk halal seluruh dunia.

Maka katanya, tidak hairanlah potensi terhadap permintaan produk serta perkhidmatan halal terus meningkat dari tahun ke tahun dengan jumlah dagangan yang mencapai nilai 2.1 Trilion Dolar Amerika.

"Melihatkan perkembangan inilah membuatkan Pulau Pinang bertekad untuk menuju ke arah itu dengan merebut peluang yang ada tambahan lagi Pulau Pinang mempunyai kelengkapan terutamanya pelabuhan yang sesuai, " tegasnya.

Lim dalam ucapannya juga bersetuju kenapa Malaysia tidak boleh bangun untuk menjadi negara maju di bidang industri halal berbanding Thailand yang terlebih dahulu mempunyai kesedaran yang tinggi walaupun negara tersebut merupakan negara majoriti bukan Islam.

Kita menyedari katanya, walaupun pasaran makanan halal dunia hari ini masih dikuasai empat negara bukan Islam seperti China, Thailand, Australia dan Brazil namun ia harus menjadi cabaran untuk negara Islam agar jangan terlalu terbelakang dalam usaha mempekenalkan industri berteraskan halal di arena antarabangsa.

Oleh itu Kerajaan Negeri telah merangka beberapa strategi untuk mencapai matlamat pembangunan itu antaranya menyediakan tanah seluas 131 ekar di kawasan perindustrian di Bukit Minyak, Seberang Perai sebagai Halal Park untk industri baru.

Selain itu, juga mengenal pasti kawasan di Balik Pulau sebagai kawasan pelancongan dan pelancongan kesihatan berkonsep antarabangsa, penubuhan pasukan khas, mengumpul dan mendaftarkan semua pengeluar produk halal, perkhidmatan dan logistik industri halal sedia ada.

Bukan itu sahaja malahan mempromosikan Pulau Pinang sebagai hab halal dunia dan menjemput pelabur antarabangsa untuk melabur di sini dalam bidang pengeluaran, perkhidmatan, logistik dan lain-lain.

Menyediakan pemasaran produk halal di dalam dan luar negeri, bekerjasama dengan pengusaha produk halal dari Selatan Thailand dan bekerjasama dengan penguasa produk halal dari utara Sumatera dan Acheh menjadi sasaran utama perancangan itu.

"Untuk mencapai matlamat tersebut memang memerlukan perancangan rapi kerana bidang ini begitu mencabar terutamanya bagaimana menarik pelabur luar seperti Dubai, Riyadh dan bank- bank komesial luar negara. Bagaimanapun mereka menunjukan minat yang mendalam bila Kerajaan Negeri berjaya membawa mereka berbincang mengenai beberapa projek besar, " tambahnya.

Menyentuh mengenai pelabuhan Pulau Pinang yang hendak dijadikan pusat tukar barang bila perancangan menjadi kenyataan Lim berkata, ia dalam proses mengarahkan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mencari kawasan sesuai seperti yang dibuktikan kejayaan Singapura, Dubai dan Emiriyah Arab Bersatu.

"Saya yakin semua itu boleh berjaya sepertimana Pelabuhan Roterdam di Belanda kerana Pulau Pinang terletak di laluan utama perairan antarabangsa yang menghubungkan perhentian utama kapal dari China dan India tambahan lagi ia adalah agenda memperkukukan kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), " ujarnya.

Selepas berucap, Lim dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menandatangani plak perjanjian bersama ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai hub halal dan mempromosi perdagangan dan industri antarabangsa.