Sunday, March 8, 2009

Pulau Pinang bertekad sebagai Halal Hub Global

Georgetown - Pembukaan pejabat Halal Industri Development Corporation Sdn Bhd (HDC) dan Penang International Halal Hub Sdn Bhd (Halal Penang) di tingkat 49 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 4 Mac lepas merupakan detik bersejarah setahun pemerintah Pakatan Rakyat di negeri ini kata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Penubuhan yang dianggotai oleh lima orang Exco Kerajaan Negeri dan juga 35 ahli lain yang mewakili Kerajaan Negeri dan agensinya dipengerusikan oleh Abdul Malik Kasim selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.

Justeru itu, gandingan bersama antara Kerajaan Pusat dan Negeri harus digerakkan segera untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab halal antarabangsa yang berjaya dan sekaligus sebagai 'global player' yang terkemuka menjelang tahun 2010.

"Produk halal telah melangkau agama dan bangsa 'It has gone beyond religion and race'. Halallan Toiyiban ialah konsep yang perlu kita berpegang kuat bagi menembusi persepsi masyarakat Malaysia dan dunia berkenaan produk berlebel halal, " katanya.

Menurutnya, di era globalisasi ini kesedaran terhadap hukum halal dan haram di dalam penggunaan barangan oleh pengguna telah meningkat secara drastik dan telah memberi kesan positif kepada industri produk halal seluruh dunia.

Maka katanya, tidak hairanlah potensi terhadap permintaan produk serta perkhidmatan halal terus meningkat dari tahun ke tahun dengan jumlah dagangan yang mencapai nilai 2.1 Trilion Dolar Amerika.

"Melihatkan perkembangan inilah membuatkan Pulau Pinang bertekad untuk menuju ke arah itu dengan merebut peluang yang ada tambahan lagi Pulau Pinang mempunyai kelengkapan terutamanya pelabuhan yang sesuai, " tegasnya.

Lim dalam ucapannya juga bersetuju kenapa Malaysia tidak boleh bangun untuk menjadi negara maju di bidang industri halal berbanding Thailand yang terlebih dahulu mempunyai kesedaran yang tinggi walaupun negara tersebut merupakan negara majoriti bukan Islam.

Kita menyedari katanya, walaupun pasaran makanan halal dunia hari ini masih dikuasai empat negara bukan Islam seperti China, Thailand, Australia dan Brazil namun ia harus menjadi cabaran untuk negara Islam agar jangan terlalu terbelakang dalam usaha mempekenalkan industri berteraskan halal di arena antarabangsa.

Oleh itu Kerajaan Negeri telah merangka beberapa strategi untuk mencapai matlamat pembangunan itu antaranya menyediakan tanah seluas 131 ekar di kawasan perindustrian di Bukit Minyak, Seberang Perai sebagai Halal Park untk industri baru.

Selain itu, juga mengenal pasti kawasan di Balik Pulau sebagai kawasan pelancongan dan pelancongan kesihatan berkonsep antarabangsa, penubuhan pasukan khas, mengumpul dan mendaftarkan semua pengeluar produk halal, perkhidmatan dan logistik industri halal sedia ada.

Bukan itu sahaja malahan mempromosikan Pulau Pinang sebagai hab halal dunia dan menjemput pelabur antarabangsa untuk melabur di sini dalam bidang pengeluaran, perkhidmatan, logistik dan lain-lain.

Menyediakan pemasaran produk halal di dalam dan luar negeri, bekerjasama dengan pengusaha produk halal dari Selatan Thailand dan bekerjasama dengan penguasa produk halal dari utara Sumatera dan Acheh menjadi sasaran utama perancangan itu.

"Untuk mencapai matlamat tersebut memang memerlukan perancangan rapi kerana bidang ini begitu mencabar terutamanya bagaimana menarik pelabur luar seperti Dubai, Riyadh dan bank- bank komesial luar negara. Bagaimanapun mereka menunjukan minat yang mendalam bila Kerajaan Negeri berjaya membawa mereka berbincang mengenai beberapa projek besar, " tambahnya.

Menyentuh mengenai pelabuhan Pulau Pinang yang hendak dijadikan pusat tukar barang bila perancangan menjadi kenyataan Lim berkata, ia dalam proses mengarahkan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mencari kawasan sesuai seperti yang dibuktikan kejayaan Singapura, Dubai dan Emiriyah Arab Bersatu.

"Saya yakin semua itu boleh berjaya sepertimana Pelabuhan Roterdam di Belanda kerana Pulau Pinang terletak di laluan utama perairan antarabangsa yang menghubungkan perhentian utama kapal dari China dan India tambahan lagi ia adalah agenda memperkukukan kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), " ujarnya.

Selepas berucap, Lim dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menandatangani plak perjanjian bersama ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai hub halal dan mempromosi perdagangan dan industri antarabangsa.

No comments: