Tuesday, September 30, 2008

Perutusan Hari Raya Aidilfitri


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Para pimpinan Parti, penyokong serta muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian.

Terlebih dahulu marilah kita sama-sama rafa’kan kesyukuran kita kehadrat Allah s.w.t kerana telah memberikan kekuatan kepada kita menunaikan ibadah puasa dengan sempurna pada tahun ini.

Allahuakbar..
Allahuakbar..
Allahuakbar… walillahil hamd

Seterusnya marilah kita sama-sama meletakkan harapan yang tinggi kepada para pemimpin kita untuk melakukan segala macam perubahan di peringkat parti mahupun negara bagi merealisasikan matlamat perjuangan kita iaitu ke arah negara Malaysia yang lebih maju dan bermaruah serta yang lebih penting diredhai Allah s.w.t.

Di samping itu juga tidak harus melupai perancangan dan taktik kotor yang sentiasa dimainkan oleh musuh-musuh kita.

Harapan yang tinggi untuk masa depan yang lebih baik adalah suatu kewajipan yang dituntut oleh Islam. Sentiasa bersikap terbuka dan berbaik sangka sesama kita, di samping cukup berhati-hati terhadap musuh yang sentiasa mencari kesempatan untuk menggagalkan segala perancangan kita.

Akhir sekali saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada tuan/puan, saudara/saudari sekalian.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah sentiasa memberi hidayah, kesihatan dan kelapangan kepada kita untuk melakukan ibadah kepadaNya.

“Kullu ‘Am Waantum Bikhair…”

Wassalam.


Hj. Maktar bin Hj. Shapee
ADUN Sungai Bakap
merangkap
Ketua PKR
Bahagian Nibong Tebal

Tuesday, September 16, 2008

Mencari LailatulQadar

PESAN JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD (S.A.W) ADALAH MALAM QADAR BERLAKU PADA SATU MALAM DARIPADA 10 MALAM TERAKHIR (HARI GANJIL) BULAN RAMADHAN.

PETUA OLEH IMAM GHAZALI DAN LAIN-LAIN ULAMA’ UNTUK CARI MENCARI LAILATUL QADAR

JIKA AWAL RAMADHAN JATUH PADA HARI:

I) AHAD ATAU RABU – MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 29 RAMADHAN;

II) ISNIN - MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 21 RAMADHAN;

III) SELASA ATAU JUMAAT - MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 27 RAMADHAN;

IV) KHAMIS- MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 25 RAMADHAN;

V) SABTU- MALAM QADAR DIJANGKA BERLAKU PADA MALAM 23 RAMADHAN

Kata Sheikh Abu Hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan Lailatul Qadar pada malam yang tepat mengikut petua di atas.

Berdasar petua di atas, insyaAllah malam qadar akan jatuh pada malam ke 21 Ramadhan bersamaan dengan malam selepas siang 20 September 2008.

Walau bagaimanapun, janganlah ibadat pada malam ini sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga!!!!

Tanda malam Qadar ialah :

1) malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
2) siangnya cahaya matahari warnanya pucat;
3) pada malam itu malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.

MARILAH KITA BERAMAI-RAMAI MEMERIAHKAN SUASANA 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN DENGAN BERIBADAH KEPADA ALLAH SWT DENGAN IKHLAS DAN PENUH KEIMANAN, MUDAH-MUDAHAN KITA DAPAT KURNIAAN ALLAH YANG KELEBIHANNYA PAHALANYA MELEBIHI - 1000 BULAN ATAU 83 TAHUN UMUR KITA.

Sunday, August 31, 2008

Perutusan Ramadhan Al-Mubarak

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Saudara saudari para Pimpinan Peringkat Bahagian dan Cawangan,
Para Ahli dan Penyokong Parti Keadilan Rakyat,
Muslimin dan Muslimat yang di Rahmati Allah sekelian.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua kaum Muslimin dan Muslimat dalam bahagian ini khususnya dan seluruh dunia amnya.

Marilah sama-sama kita tunaikan fardhu ini dengan penuh keikhlasan dan ketertiban mengikut Sunnah Rasulallah s.a.w. semoga dengan itu akan tercapai semua maksud ketakwaan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Sesungguhnya ibadah puasa ini adalah sebahagian daripada ibadah pokok yang mampu mengangkat martabat seorang Muslim keperingkat yang paling tinggi kemuliaannya di kalangan manusia di sisi Allah s.w.t. iaitu TAQWA. Oleh itu marilah kita mengambil kesempatan dengan ibadah ini untuk meningkatkan martabat diri masing-masing.

Orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang lengkap dan teguh diri peribadinya, berprinsip dan mampu memerdekakan diri, masyarakat dan negaranya daripada segala macam unsur kemaksiatan, jenayah dan pengaruh timur dan barat. Mereka hanya berpegang kepada prinsip MARDHATILLAH yakni segala sesuatu yang diredhai Allah dan TAKUTKAN Allah semata-mata.

Akhir sekali saya berharap di samping berpuasa kita tidak melupakan tugas-tugas harian kita untuk berkhidmat kepada masyarakat dan rakyat tanpa mengira anutan agama dan keturunan bangsa. Semoga puasa kita benar-benar memperlihatkan ibadah seorang Khalifah Allah di atas muka bumi.

Sehingga berjumpa lagi di kesempatan yang lain, wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selamat Berpuasa, Merdeka ! Merdeka !! Merdeka !!!

Tuesday, July 22, 2008

Membahas Ucapan TYT Yang Di-Pertua Negeri bagi Sidang DUN (Teks Ucapan)

Saya bersyukur kehadrat Allah s.w.t. kerana hasrat yang saya kemukakan dalam masa kempen pilihanraya dahulu, iaitu “Sokonglah saya, Insya Allah saya akan mengetengahkan Fikrah-Fikrah Islamiah dalam Dewan Undangan Negeri”.

Petikan Ucapan saya adalah seperti berikut :

YB. Tuan Speaker, saya mohon menyokong cadangan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun kerana berkenan melafazkan ucapannya dalam Dewan yang mulia, kali ini.

YB. Tuan Speaker, banyak perkara yang boleh disentuh dalam ucapan Tuan Yang Terutama Tun, apa yang dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sejak kelmarin dan insya Allah besok juga adalah mengenai benda, projek itu dan ini, program itu dan ini, semuanya adalah benda. Tetapi saya ingin bercakap mengenai orang, kerana orang yang mengurus benda. Kalau orang tidak sempurna sudah tentu perkara dan urusan yang dibuat juga tidak akan sempurna.

Mari kita ingat semula petikan seruan terakhir dari ucapan Tuan Yang Terutama Tun, iaitu

“Saya sekali lagi menyeru semua Ahli-Ahli Yang Berhormat agar menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat dengan ikhlas, jujur dan behemah demi kepentingan negeri yang kita cintai”.

Seruan ini merupakan seruan kepada semua kita, tidak kira pihak kerajaan mahupun pembangkang, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta ketua-ketua jabatan yang terdapat dalam dewan ini.

Perkhidmatan harus diberi kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, pegangan agama dan fahaman politik. Kerana mereka adalah rakyat negeri ini dan kita dipilih oleh sebahagian besar daripada mereka.

Perkhidmatan yang diberi haruslah terbit dari hati yang IKHLAS, terbit dari hati yang suci, secara JUJUR dan BERHEMAH yakni berbudi pekerti yang tinggi.

Untuk mencapai saranan tersebut, juga sesuai dengan minat YAB Ketua Menteri yang ingin menerapkan nilai-nilai pentadbiran Umar Abd Aziz dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang ini. Maka pendekatan utama yang perlu diambil oleh setiap orang dari kita ialah :

Pertama : Saling tolong menolong
Kedua : Saling nasihat menasihati.

Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Al Maidah ayat 2 : (dengan izin)

".... وتعاونوا على البر واتقوا ولا تعاونوا على الاثم والعدوان واتقوا الله ان الله شديد العقاب"

“….. Hendaklah kamu bertolong-tolongan atas kebaikan dan kebaktian, dan jangan kamu bertolong-tolongan atas dosa dan permusuhan. Dan hendaklah takut kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah itu sangat keras seksanya”.

Marilah kita saling tolong menolong dalam melaksanakan projek-projek yang membawa faedah kepada rakyat. Jangan tolong dalam perkara-perkara yang merosakkan negeri dan rakyat.

Tolonglah kita bila kita mengharapkan pertolongan Ahli-Ahli yang berhormat, secara jujur dan ikhlas demi kemajuan negeri dan rakyat. Sentiasalah ingat dengan firman Allah yang disebutkan tadi. Di mana ada kebaikan, kita tolong di sana. Di mana ada kerosakan kita tolong juga, dengan cara MENASIHATI. Iaitu pendekatan yang kedua. Jangan mengambil sikap biarlah, lingkup pi lah, nanti yang rosak bukan negeri lain, negeri kita juga, dan begitu bangsa kita dan rakyat kita juga. Secara JUJUR dan IKHLAS.

Tentang Nasihat; Perkataan nasihat adalah suatu perkataan yang memang sebati dengan Islam, sebab itu baginda Muhammad s.a.w. menyebut Ad Dinun Nasihah (dengan izin) ertinya Agama itu adalah Nasihat. Yakni hendak mencapai kejayaan sesuatu urusan dalam Islam, perlu menggunakan pendekatan Nasihat. Jika diabaikan pasti gagal dan rugi. Seperti mana firman Allah dalam surah Al Asr:

“Demi masa manusia sentiasa dalam kerugian, kecuali … antara lain… nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”

Oleh itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru pihak pembangkang membantu pentadbiran kerajaan negeri sekarang ini dengan pendekatan Nasihat, bukan pendekatan Membangkang semata-mata. Kerana membangkang semata-mata adalah jelas tidak baik dan tidak pernah tercatat dalam mana-mana sejarah sama ada pendidikan, mahupun pentadbiran, malah apa jua berjaya melakukan sebarang kejayaan. Kerana ramai di kalangan mereka terdiri dari orang-orang yang berpengalaman.

Bercakap tentang pengalaman, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyokong tindakan YAB Ketua Menteri yang telah melantik tokoh daripada Gerakan menganggotai Jawatankuasa kerja Invest Penang. Kerana beliau ada kepakaran dalam bidang tersebut dan kita perlukan kepakarannya, kita jemput dan beliau bersedia membantu kita, maka kita dengan berlapang dada mengalu-alukan semua pihak membantu demi kepentingan negeri yang tercinta ini.

Sikap keterbukaan kita, kita tunjukkan lagi, apabila YB. Batu Maung merangkap Exco Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan projek Consumer Watch atau Pemantau Pengguna dan melantik ahli-ahlinya terdiri dari semua Ahli-Ahli yang berhormat seluruh negeri, tak kira kerajaan atau pembangkang. Tetapi di kalangan kita ada yang tidak sanggup bekerjasama apakan daya. Sedangkan projek ini adalah projek yang baik bertujuan membantu pengguna-pengguna dalam mengawal harga barang mengikut pendekatan baru iaitu secara perbincangan dan Nasihat bersama pekedai-pekedai.

Akhir sekali, jika kita dapat membentuk sebuah pasukan pentadbiran negeri yang saling bantu membantu dan nasihat menasihati dalam semua bidang demi kebaikan rakyat, maka kita akan melihat Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang cukup cemerlang dan mendapat Rahmat daripada Allah s.w.t. dunia dan akhirat.

Sunday, July 20, 2008

Perasmian Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sg. Bakap


Sungai Bakap, 19hb Julai : Satu majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat serta Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Sungai Bakap telah diadakan di perkarangan Pusat Khidmat tersebut. Aturcara bermula dari 4.30 petang hingga 7.00 petang.

Tetamu yang hadir adalah dari kalangan ahli-ahli baru Parti Keadilan Rakyat Bahagian Nibong Tebal, manakala jemputan-jemputan khas terdiri daripada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan jabatan-jabatan kerajaan yang berdekatan. Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sg. Bakap ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Zahrain Mohd Hashim, ahli parlimen Bayan Baru merangkap Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pulau Pinang.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Encik Mustafa Kamal (Pengarah Pilihanraya Negeri), Dr. Mansor (Ahli MPT Keadilan Pusat), YB Tuan Haji Abdul Malik (Exco Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna), YB Tan Beng Huat (ADUN Jawi) dan YB Tan Tee Beng (Ahli Parlimen Nibong Tebal).

Para hadirin telah disajikan jamuan ringan dengan laksa, bubur kacang dan sedikit kuih muih. Juga diadakan cabutan bertuah sebagai pelengkap majlis.

Saya selaku ADUN Sg. Bakap bersama Jawatankuasa Penganjur Program ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada para jemputan yang hadir memeriahkan majlis tersebut terutamanya kepada Unit Keselamatan dan Urusetia yang bertungkus lumus menjayakan Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat serta Perasmian Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sg. Bakap.

Sunday, July 13, 2008

Sekalung Tahniah Buat Presiden


Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah s.w.t. dengan penganugerahan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) kepada YB Presiden yang membawa gelaran Dato' Seri. Kami di Nibong Tebal amat berbangga kerana darah keturunan Dato' Seri tertumpah di Sungai Bakap di bawah Parlimen Nibong Tebal. Seluruh rakyat Nibong Tebal tersenyum girang dengan anugerah ini. Mereka tumpang gembira, apatah lagi bagi kepimpinan bahagian.

Dengan rasa penuh kesyukuran Kami Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat Bahagian Nibong Tebal mengucapkan Sekalung Tahniah Buat Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail kerana dikurniakan darjah kebesaran DPPN dari TYT Pulau Pinang Tun Dato' Seri Utama (Dr) Hj Abdul Rahman Bin Hj Abas, sempena Hari Jadi Yang Ke 70.

Dari: Kepimpinan PKR Nibong Tebal

Wednesday, July 2, 2008

Setinggi-tinggi Penghargaan Kepada Pengundi Parti KeADILan Rakyat

Terima kasih tidak terhingga kepada para pengundi dan penyokong dalam DUN Sungai Bakap. Saya mohon maaf kerana tidak dapat berkunjung ke serata tempat dalam DUN ini selepas pilihanraya kerana terlalu banyak urusan-urusan mesyuarat rasmi yang dianjurkan oleh kerajaan negeri ( seperti sedia maklum Pakatan Rakyat baru mendapat mandat sebagai kerajaan ), banyak yang perlu dipelajari.

Namun kita telah banyak menghadiri jemputan-jemputan kenduri dan menziarahi mayat / kematian orang-orang Melayu, India dan Cina dalam DUN ini. Melawat tempat-tempat berlakunya bencana seperti banjir, kebakaran dan kerosakan akibat ribut serta lawatan kerja ke Jabatan-jabatan kerajaan, swasta, NGO dan sebagainya.

Keadaan ini agak kurang lancar disebabkan proses perlantikan JKKK belum selesai. InsyaAllah apabila selesai perlantikan ini ianya akan berjalan lancar dengan pelbagai program yang akan diatur melalui Jentera JKKK antaranya seperti Pertandingan Desa dan Kampung Cemerlang ( PDKC ) dan penubuhan Badan Kebajikan Masyarakat Nibong Tebal, Pulau Pinang ( BKMPP ).

Melalui program PDKC setiap pelusuk kampung dan taman perumahan di dalam DUN ini dilawati dan diperbaiki. Dan dalam tempoh setahun InsyaAllah dengan pertolongan semua pihak terutamanya Ketua-ketua Jabatan dari agensi-agensi kerajaan dalam daerah ini khususnya, seluruh DUN Sungai Bakap akan jadi benar-benar cemerlang.

Selain dari itu, Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Bakap telah menerima berbagai aduan daripada rakyat setiap hari. Laporan dan aduan yang diterima bukan hanya dari dalam DUN Sungai Bakap sahaja, bahkan dari seluruh Parlimen Nibong Tebal terutamanya dari kawasan DUN Sungai Acheh (yang dimenangi pembangkang).

Akhir sekali selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diamanahkan oleh tuan-tuan dan puan-puan, saya merayu sokongan dan tunjuk ajar yang berterusan daripada pihak tuan dan puan supaya seluruh DUN ini khususnya dan Negeri/Negara kita amnya mencapai kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat. Terima Kasih.

Tuesday, July 1, 2008

Salam Ukhwah, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan...

Assalamualaikum & Salam sejahtera..
Kepada rakan taulan, sahabat handai dan teman-teman seperjuangan sekalian.. Di atas kepesatan ilmu IT dan jaringan liputan yang meluas.. Bahan bacaan alternatif kini mulai mendapat sambutan yang menggalakkan dengan bercambahnya blogger-blogger yang bagaikan cendawan tumbuh sesudah hujan..
Di sini saya juga terpanggil untuk turut sama-sama berkongsi pandangan dan memberikan maklumat terkini mengenai isu-isu semasa, dunia, ekonomi, politik, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.. Serta yang lebih utama ialah berdakwah selagi hayat dikandung badan...