Wednesday, July 2, 2008

Setinggi-tinggi Penghargaan Kepada Pengundi Parti KeADILan Rakyat

Terima kasih tidak terhingga kepada para pengundi dan penyokong dalam DUN Sungai Bakap. Saya mohon maaf kerana tidak dapat berkunjung ke serata tempat dalam DUN ini selepas pilihanraya kerana terlalu banyak urusan-urusan mesyuarat rasmi yang dianjurkan oleh kerajaan negeri ( seperti sedia maklum Pakatan Rakyat baru mendapat mandat sebagai kerajaan ), banyak yang perlu dipelajari.

Namun kita telah banyak menghadiri jemputan-jemputan kenduri dan menziarahi mayat / kematian orang-orang Melayu, India dan Cina dalam DUN ini. Melawat tempat-tempat berlakunya bencana seperti banjir, kebakaran dan kerosakan akibat ribut serta lawatan kerja ke Jabatan-jabatan kerajaan, swasta, NGO dan sebagainya.

Keadaan ini agak kurang lancar disebabkan proses perlantikan JKKK belum selesai. InsyaAllah apabila selesai perlantikan ini ianya akan berjalan lancar dengan pelbagai program yang akan diatur melalui Jentera JKKK antaranya seperti Pertandingan Desa dan Kampung Cemerlang ( PDKC ) dan penubuhan Badan Kebajikan Masyarakat Nibong Tebal, Pulau Pinang ( BKMPP ).

Melalui program PDKC setiap pelusuk kampung dan taman perumahan di dalam DUN ini dilawati dan diperbaiki. Dan dalam tempoh setahun InsyaAllah dengan pertolongan semua pihak terutamanya Ketua-ketua Jabatan dari agensi-agensi kerajaan dalam daerah ini khususnya, seluruh DUN Sungai Bakap akan jadi benar-benar cemerlang.

Selain dari itu, Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Bakap telah menerima berbagai aduan daripada rakyat setiap hari. Laporan dan aduan yang diterima bukan hanya dari dalam DUN Sungai Bakap sahaja, bahkan dari seluruh Parlimen Nibong Tebal terutamanya dari kawasan DUN Sungai Acheh (yang dimenangi pembangkang).

Akhir sekali selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diamanahkan oleh tuan-tuan dan puan-puan, saya merayu sokongan dan tunjuk ajar yang berterusan daripada pihak tuan dan puan supaya seluruh DUN ini khususnya dan Negeri/Negara kita amnya mencapai kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat. Terima Kasih.

No comments: