Showing posts with label PAC. Show all posts
Showing posts with label PAC. Show all posts

Monday, January 24, 2011

Surat terbuka daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen Malaysia (PAC)

21 Januari 2011

YB Datuk Seri Azmi Khalid,
Pengerusi,
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),
Parlimen Malaysia,
Kuala Lumpur.

Yang Berhormat Datuk Seri,

Meminta Segerakan Audit Khas Oleh Ketua Audit Negara Ke atas Skandal Kehilangan RM30 Juta Tropical Island Resort(TIR) Pulau Jerejak Demi Kepentingan Rakyat Pulau Pinang

Dengan segala hormatnya kami ingin merujuk kepada pengumuman YB selaku Pengerusi PAC mengenai perkara di atas baru-baru ini.

Kami amat berterima kasih atas arahan YB kepada Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit khas ke atas kehilangan RM 30 juta yang dialami oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dalam skandal penyerahan tanah dan operasi Tropical Island Resort(TIR) Pulau Jerejak sebelum 2008. YB telah menyatakan tidak ada had tempoh masa ditetapkan kepada Ketua Audit Negara untuk menyiapkan audit khas tersebut.

Demi kepentingan rakyat Pulau Pinang kami ingin meminta YB mengarahkan audit khas disegerakan dalam masa terdekat dan rumusan mutakhir dibuat agar menangani kehilangan RM 30 juta ini. Jumlah RM30 juta ini amat penting bagi rakyat negeri sebanyak 1.6 juta orang yang dapat menikmati banyak program sosial daripadanya. Lagipun demi masa depan TIR Pulau Jerejak, hala tuju muktamad amat diperlukan.

Isu TIR Pulau Jerejak dicetuskan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Koh Tsu Koon yang menuduh kerajaan baru kami tidak menguruskannya dengan baik. Ini ekoran bot yang ingin dinaiki oleh YB Tan Sri Koh ke Pulau Jerejak lambat dan terdapat ada ular dalam bilik stor dalam TIR.

Sebenarnya YB Tan Sri Koh telah menyerahkan TIR dimiliki 51% oleh Urban Development Authority(UDA) dan 49% oleh syarikat milikan kerajaan negeri, Penang Development Corporation(PDC), sejak 1992. Beliau juga membenarkan hampir semua tanah yang boleh digunakan di Pulau Jerejak diserahkan kepada UDA sejak 2001.

Pengurusan operasi TIR tidak berjalan dengan baik dan rugi setiap tahun. PDC tidak pernah terima sebarang dividen daripada TIR. Sehingga sekarang TIR mengalami kerugian terkumpul RM18 juta. Ini bermakna pelaburan PDC sebanyak 49% dalam TIR sebanyak RM15.435 juta dan pinjaman kepada TIR RM3.6 juta tidak boleh didapat balik.

Berdasarkan kepada akaun audit TIR, prestasi kewangan syarikat bagi lapan (5) tahun kebelakangan ini dari 2005 sehingga 2009 adalah seperti berikut :-
Tahun Keuntungan/(Kerugian) Selepas cukai(RM) Keuntungan/(Kerugian) Terkumpul (RM) Nilai Aset Ketara Bersih Sesaham (NTA Per Share) (RM)
2005 (3,375,008) (8,058,754) 0.74
2006 (3,471,944) (11,530,698) 0.63
2007 (2,286,178) (13,816,876) 0.56
2008 (1,873,345) (15,690,221) 0.50
2009 (2,344,672) (18,034,893) 0.43

Selain daripada kerugian RM 19 juta yang ditanggung oleh PDC, kerajaan negeri pun rugi bila RM10.6 juta kerana kegagalan membayar premium tanah oleh TIR kepada Pejabat Pentadbir Tanah Pulau Pinang untuk 80 ekar tanah di Pulau Jerejak yang diberikan. Sila lihat lampiran yang disertakan bersama.

Amatlah diharapkan tindakan yang sewajarnya harus dikenakan ke atas pihak yang bertanggungjawab atas skandal ini dan membolehkan kerajaan negeri mendapat wang balik daripada golongan yang berhutang. Itulah sebabnya audit khas ini harus disegerakan. Sekian terima kasih.

Yang benar,

LIM GUAN ENG
KETUA MENTERI PULAU PINANG


Lampiran:

RUMUSAN TENTANG KEHILANGAN RM 30 JUTA OLEH KERAJAAN NEGERI DALAM TROPICAL ISLAND RESORT SDN BHD (TIR)

Jumlah keseluruhan besar kerugian yang dihadapi oleh PDC dan Kerajaan Negeri (menerusi PTG) berkaitan dengan skandal kelulusan tanah Pulau Jerejak kepada TIR adalah sebanyak RM30 juta. Butiran adalah seperti berikut:

1. Isu Tanah RM10.6 Juta Untuk 80 Ekar Tanah di Pulau Jerejak

Kelulusan oleh Kerajaan Negeri pada 15 Januari 2001 dengan tempoh pajakan selama 60 tahun sehingga 10 Oktober 2062. Pada 3/1/2001, Exco telah membuat keputusan bahawa TIR diberikan geran hak milik sebaik sahaja ansuran pertama sungguhpun tidak dijelaskan dengan sepenuhnya. Ini berlawanan dengan amalan biasa di bawah seksyen 180 Kanun Tanah Negara bahawa Pentadbir Tanah hanya boleh keluarkan geran apabila bayaran premium dijelaskan dengan sepenuhnya.

Jumlah premium tanah ialah RM12.95 juta (iaitu RM3.72 skp) bagi tanah berkeluasan 80 ekar. Kadar faedah yang dikenakan ialah 4% setahun dan tempoh pembayaran balik ialah dari tahun 2004 sehingga 2013 (selama 10 tahun). Baki yang masih belum dijelaskan adalah sebanyak RM10.60 juta (termasuk faedah sebanyak RM1.81 juta). TIR tidak mampu membayar ansuran mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri disebabkan oleh prestasi kewangan syarikat yang tidak baik.

Sebagai rumusan geran tanah tidak sepatutnya dikeluarkan sehingga premium tanah dibayar penuh supaya tidak berlaku hutang bayaran premium. Keputusan Exco meluluskan geran tanah dikeluarkan tanpa bayaran penuh dikutip menyebabkan tunggakan hutang RM10.6 juta daripada TIR sejak tahun 2004. Kerajaan negeri telah kehilangan tanah sungguhpun premium tanah belum dibayar penuh.
2. Kehilangan Kos Pelaburan PDC RM 15.435 Juta

Modal berbayar TIR adalah sebanyak RM31.5 juta. Kos pelaburan PDC berdasarkan ekuiti 49% adalah sebanyak RM15.435 juta.
3. Kehilangan Pinjaman Pemegang Saham oleh PDC RM3.6 Juta

Pada 28 Disember 2007, PDC telah memberi pinjaman pemegang saham sebanyak RM3.41 juta kepada TIR untuk menampung kos operasi syarikat. Keseluruhan jumlah tersebut sebanyak RM3.60 juta (termasuk faedah sebanyak RM193,553 atas kadar faedah 3.5% setahun) masih belum dijelaskan.

*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

PAC diminta siasat projek Pulau Jerejak

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diminta menyiasat dengan segera akaun dan laporan terperinci projek pembangunan Pulau Jerejak bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa rakyat mengalami kerugian ekoran ketidaklancaran projek pembangunan di pulau tersebut.

Katanya, kerugian sepertimana yang dimaklumkan berikutan premium tanah sebanyak RM10.6 juta yang masih lagi belum dijelaskan oleh Syarikat Tropical Island Resort kepada Pejabat Pentadbir Tanah Pulau Pinang.

"Manakala Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pula terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM19 juta. Kerjasama antara PDC dan Uda Holdings Berhad sewajarnya dihentikan kerana ia merugikan kerajaan negeri.

"Uda juga bukannya pakar dalam bidang pembinaan tempat-tempat pelancongan. Mereka juga gagal menguruskan dengan baik resort yang terletak di Pulau Jerejak," katanya lagi.

Sim juga berkata, kerugian itu adalah kerana perancangan yang tidak komprehensif Uda bagi membangunkan pusat pelancongan Pulau Jerejak melalui pembinaan empat fasa projek yang merangkumi pembinaan ekopelancongan, rumah mewah dan juga marina di pulau tersebut.

"Dengan adanya siasatan terperinci, maka keadilan akan dapat dicapai sama ada terdapat atau tidak pihak yang terbabit dalam penyelewengan yang membabitkan projek pelancongan tersebut," ujarnya lagi.

Monday, July 19, 2010

PAC siasat kes curi pasir di Balik Pulau

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Pulau Pinang akan mengadakan inkuiri untuk menyiasat aktiviti mencuri pasir di Kampung Kenanga, Balik Pulau di Georgetown.

Pengerusinya, Jagdeep Singh Deo yang juga ADUN Datuk Keramat berkata PAC akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi menentukan pihak yang akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Antara pihak yang mungkin akan dipanggil ialah beberapa agensi kerajaan untuk membantu mencari pihak yang bertanggungjawab dalam aktiviti mencuri pasir itu," katanya kepada pemberita di Georgetown, hari ini.

Katanya PAC akan menyiapkan siasatan itu secepat mungkin bagi mengelak orang ramai membuat pelbagai spekulasi berhubung perkara itu.

Beliau berkata pihaknya akan turut melawat kawasan terlibat dan siasatan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Jagdeep berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai aktiviti mencuri pasir di kawasan lain di Pulau Pinang.

Minggu lalu, laporan akhbar mendedahkan tapak politeknik di Kampung Kenanga itu, diceroboh pencuri pasir.

Menurut laporan itu, setiap malam berpuluh lori keluar masuk ke kawasan itu mengambil pasir untuk dihantar ke lokasi yang tidak dipastikan.