Saturday, May 22, 2010

Perasmian Karnival Rakyat Harmoni SPS




Bersama ADUN Jawi, YB Tan Beng Huat menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim di sekitar daerah SPS

Monday, May 17, 2010

Tilawah Al-Quran Peringkat Zon 3

15 Mei 2010, Kepala Gajah - Pejabat Agama Seberang Perai Selatan dan Tengah telah bergabung untuk menjayakan program Majlis Tilawah Peringkat Zon 3 yang telah dipengerusikan Jawatankuasanya oleh Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan. Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah juga terlibat sebagai urusetia untuk bahagian persiapan pentas dan intisari ayat-ayat Al-Quran sempena Majlis Tilawah tersebut yang melibatkan para peserta dari Daerah Seberang Perai Selatan dan Tengah.

Al-Qari Mawardi Bin Jamaludin, Johan Peringkat Zon 3 sedang memperdengarkan bacaan Al-Quran

Majlis ini telah diadakan di Masjid Jamek Kampung Kepala Gajah, Simpang Empat Seberang Perai Selatan, dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Yang Berbahagia Tuan Haji Ellias Bin Zakaria. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Berhormat Tuan Haji Makhtar Bin Haji Shafie Adun Kawasan Sungai Bakap, Encik Zulkifli Bin Long wakil kepada Puan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, Ustaz Shafie Bin Abd. Wahab, Pegawai Tadbir Agama Daerah SPS, Ustaz Mohamad Bin Jamaluddin Pegawai Tadbir Agama Daerah SPU yang juga selaku ketua Jemaah Hakim, Ustaz Hj Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim, Imam Utama Masjid Daerah SPS serta para tetamu jemputan dari ketua-ketua Jabatan setiap agensi di daerah Seberang Perai Selatan.

Dalam majlis ini 3 orang qari dan 2 orang qariah telah memperdengarkan bacaan mereka. Secara keseluruhannya Majlis Tilawah peringkat Zon 3 pada tahun ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dianggarkan hampir 1000 orang para hadirin dan hadirat telah membanjiri perkarangan Masjid Jamek Kampung Kepala Gajah.

YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang sedang menyampaikan hadiah kepada pemenang Al-Qariah Hajjah Habsah Binti Osman

Majlis Tilawah kali ini telah diungguli dan dimenangi oleh Al-Qari Mawardi Bin Jamaludin peserta yang mewakili Daerah Seberang Perai Selatan serta telah menewaskan johan menunggu peringkat zon iaitu Al-Qari Encik Mohd Fadzil Bin Ismail. Manakala bagi peringkat wanita pula telah disandang dan dimenangi oleh Puan Hajjah Habsah Binti Osman mewakili Daerah Seberang Perai Tengah. Diakhir program Tuan Haji Ellias Bin Zakaria telah sudi menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada para peserta. Program sebegini diharapkan dapat mencungkil minat para jemaah kepada Al-Quran serta tarannum disamping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara semua.

Sumber : Masjid Daerah Seberang Perai Selatan


Gotong royong di Pekan Sungai Bakap


Anjuran Pusat Khidmat Rakyat ADUN dengan kerjasama JKKK Sungai Bakap Selatan, Pejabat Kesihatan Daerah SPS dan MPSP.

Thursday, April 29, 2010

Guru Takmir akan diperkasa

Kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyediakan bahan terkini untuk memperkasakan guru-guru takmir agar selari dengan cabaran semasa umat Islam yang semakin hebat, kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Saleh Man.

Beliau ketika merasmikan majlis Ijtimak Guru-Guru Takmir Seluruh Pulau Pinang di sebuah hotel di sini pagi tadi menambah, pada masa kini dua buku telah pun diberikan kepada guru-guru berkenaan untuk digunakan terutamanya berhadapan dengan permasalahan masyarakat berpandukan al-Quran.

Buku tersebut ialah Ayat Suruhan dan Ayat Larangan yang mana, katanya, secara ringkas merungkaikan apa jua masalah yang dihadapi oleh masyarakat terutamanya membabitkan keluarga.

"Jaipp dan Jakim telah bersedia dengan kelengkapan berhadapan dengan karenah masyarakat apabila menyediakan dua buku iaitu Ayat Suruhan dan Ayat Larangan kepada guru takmir supaya dapat menyampaikan maklumat berhubung masalah yang berlaku masa kini," jelasnya yang juga Adun Permatang Pasir.

Tujuannya, kata beliau utama pendekatan yang diambil untuk memantapkan masyarakat yang kini dijangkit penyakit serta membina semula generasi muda di segenap bidang.

Ini, katanya memandangkan generasi muda merupakan pelapis kepada generasi akan datang maka segala penyakit wajar disembuhkan sesuai dengan cabaran globalisasi yang semakin meresahkan umat Islam.

"Penyakit yang dihadapi oleh umat Islam sekarang ini harus di sembuhkan. Antara elemen yang boleh membantu menyelesaikan masalah itu ialah dengan memperkenalkan subjek seperti Tafsir, Hadith, Tasawuf, Feqah, Sirah dan Akhlak kerana mendidik jiwa masyarakat khasnya golongan muda mudi untuk menjadi bangsa yang berilmu dan berahklak mendekati masjid," tambahnya di hadapan 100 orang guru takmir yang datang dari lima daerah.

Program bertemakan 'Memantapkan Ukhwah Memperkasakan Ummah' juga mengajak masyarakat supaya tidak terjebak dengan fahaman khilafiah yang mengundang perpecahan di beberapa buah masjid.

Justeru itu, beliau menasihati walaupun berbeza pendapat namun untuk berpecah jangan sekali-kali demi agama yang suci kerana masjid adalah tempat yang mulia untuk beribadat, tidak disalahgunakan dengan program yang tidak bersesuaian dengan suasana masyarakat sekarang.

"Tugas kita semua untuk memperbetulkan keadaan dan mengimarahkan masjid seterusnya memelihara penyatuan masjid agar tidak berpecah belah," tegasnya.

Menurut beliau lagi, pada tahun 2009, Jakim telah menyediakan peruntukan sebanyak RM639,180 bagi urusan pembayaran elaun guru-guru takmir iaitu RM40 untuk sekali mengajar dan peruntukan khas RM25,000 bagi pelaksanaan kelas 'Tafaqquh Fiddin' untuk setiap daerah.

Manakala Pusat Urus Zakat (PUZ) pula, sejumlah RM174.890 telah diperuntukkan pada tahun 2009 di mana aktiviti yang digunakan untuk membayar elaun tambahan mengajar guru takmir sebanyak RM10 untuk satu kelas.

Menyentuh mengenai usaha mendapatkan tauliah di Pulau Pinang terutamanya guru baru yang berhajat, boleh mendapatkanya di pejabat Jaipp bagi mengelak daripada timbul berbagai prasangka yang tidak baik.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarah Jaipp, Haji Sazali Husain, wakil Ketua Pengarah Jakim, Ustazah Latifah Said, Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Masjid dan Surau, Ustaz Ayob Yaacob dan Penyelaras Program Unit Takmir, Ustaz Imran Ibrahim.


Saturday, April 3, 2010

Sumbangan RM100 untuk kenderaan jenazah

Berita gembira untuk pengundi-pengundi di DUN Sungai Bakap apabila YB Ustaz Maktar telah mengumumkan bahawa mereka akan dibantu dari segi kewangan untuk pengurusan kenderaan jenazah.

Pengumuman itu dibuat semasa ucapan perasmian YB Ustaz Maktar pada Majlis Pelancaran Penyerahan Sumbangan Warga Emas Peringkat KADUN Sungai Bakap dan Sungai Acheh.

Memandangkan pada masa kini apabila berlakunya kematian, mahu tidak mahu kenderaan jenazah terpaksa digunakan dan sedikit sebanyak membebankan keluarga simati. Di atas keprihatinan itu sumbangan sebanyak RM100 akan diberikan tanpa mengira bangsa dan agama mahupun fahaman politik.


Majlis Pelancaran Penyerahan Sumbangan untuk Warga Emas Peringkat KADUN Sungai Bakap dan KADUN Sungai Acheh

Tarikh : 30 Mac 2010
Masa : 3.00 petang
Tempat : Dewan Besar Sungai Bakap

Menziarahi mangsa kebakaran

24 Mac 2010, Taman Jawi Indah - Bersama Penghulu dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat menziarahi rumah anggota Polis yang terlibat dalam kebakaran.

Meninjau kerosakan yang dialami

Menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa