Showing posts with label Pulau Jerejak. Show all posts
Showing posts with label Pulau Jerejak. Show all posts

Wednesday, February 23, 2011

Skandal Pulau Jerejak: Guan Eng desak Tsu Koon bayar balik RM30 juta

GEORGETOWN, 22 Feb: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap mendesak mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon supaya bertanggungjawab terhadap skandal Pulau Jerejak yang menyebabkan kerugian sebanyak RM30 juta kepada rakyat dan kerajaan negeri.

Mengulas isu yang semakin meruncing ini, Lim menggesa Tsu Koon supaya membayar balik wang yang telah merugikan rakyat semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan beliau dahulu.

Lim berkata, kini telah tiba masanya bagi kerajaan negeri pimpinan beliau menuntut kembali wang rakyat yang telah hilang tanpa memberi apa-apa manfaat kepada rakyat maupun kerajaan negeri ini.

"Kerajaan negeri telah membuat keputusan meminta Tsu Koon supaya menebus kembali nilai kerugian yang dialami sebanyak RM30 juta demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Sebagai seorang menteri kabinet yang bertanggungjawab terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) yang profesional maka adalah tanggungjawab beliau untuk mengarahkan syarikat UDA untuk memulangkan kembali wang skandal Pulau Jerejak kepada rakyat negeri ini, " tegas Lim.

Sebelum ini isu penyelewengan skandal penyerahan tanah Pulau Jerejak kepada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan operasi perjalanannya kepada Tropical Island Resort (TIR) telah berlaku semasa Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Manakala nilai kerugian melibatkan premium tanah berjumlah RM10.6 juta bagi 32 hektar tanah di Pulau Jerejak tidak dibayar kepada kerajaan negeri walaupun Tsu Koon telah memberikan geran tanah.

Selain dari itu, kos pelaburan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejumlah RM15.44 juta kepada TIR tidak mendapat pulangan kerana syarikat tersebut tidak mendapat keuntungan.

Pinjaman oleh PDC berjumlah RM3.6 juta kepada TIR antara tahun 1992 sehingga 2007 selepas penyerahan Pulau Jerejak kepada UDA juga belum dijelaskan sehingga kini.

Skandal yang dibongkar ini sepatutnya mendapat perhatian SPRM dan juga pihak berkuasa supaya penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku sentiasa memberi keadilan kepada mereka yang menjadi mangsa.


Thursday, February 3, 2011

Kerajaan Negeri tetap bongkar isu tanah Pulau Jerejak


Skandal penyerahan tanah di Pulau Jerejak oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu sebelum peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat (PR) akan tetap dibongkar bagi memberi pendedahan sebenar kepada rakyat.

Mengulas mengenainya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerugian yang mencecah RM30 juta adalah satu skandal yang melibatkan kerugian kepada rakyat dan juga kerajaan negeri.

"Rakyat mengalami kerugian bersama-sama dengan kerajaan negeri. Wang premium tanah yang sepatutnya bernilai RM10.6 juta untuk 32 hektar tidak dibayar. Pulau Jerejak tidak kita perolehi. Pulangan pun tiada. Ia kerugian semata-mata.

"Kini sudah tiba masanya bagi kita mendapatkan semula Pulau Jerejak dan jumlah wang yang begitu banyak telah diberikan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang kepada mereka," ujarnya lagi.

Isu skandal penyerahan tanah Pulau Jerejak kepada Perbadanan Pembangunan Bandar atau UDA dan operasi perjalanannya kepada Tropical Island Resort telah berlaku semasa zaman pemerintahan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Ekoran dari kerugian tersebut, kerajaan negeri telah membuat keputusan akan mengedarkan sebanyak 300 ribu risalah mengenai penyelewengan tersebut semasa zaman BN dahulu bagi menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat negeri ini.

Risalah yang diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan juga Mandarin itu telah mula diedarkan.

Ia juga bagi memberi peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian mengenai pentadbiran yang berlaku dizaman BN dengan kerajaan negeri sedia ada dari PR.