Showing posts with label Maulidur Rasul. Show all posts
Showing posts with label Maulidur Rasul. Show all posts

Friday, February 11, 2011

Pulau Pinang anjur perarakan Maulidur Rasul

Seperti biasa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan Majlis Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1432H/2011M bertempat di Padang Kota Lama pada 15 Februari ini bermula jam 7.00 pagi.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata, sebagaimana tahun lalu temanya tetap sama iaitu 'Wasattiyah Tunggak Kecemerlangan Ummah' yang menjurus kepada maksud melahirkan kesederhanaan dalam Islam.

Menurutnya, memandangkan program ini merupakan kesinambungan kepada program tahun lepas kebanyakan pengisianya tidak berubah, cuma individu yang terbabit sahaja yang berganti contohnya ceramah Maulidur Rasul akan disampaikan oleh Sheikh Faisol Omar dari Jabatan Agama Islam Kedah dan persembahan nasyid dari Jabatan Penjara Pulau Pinang iaitu johan Festival Nasyid Peringkat Negeri Pulau Pinang 2010.

Katanya lagi, bacaan kitab Bidayat As-Sul Fi Tafdil Rasul selama dua hari berturut-turut di Masjid Negeri tetap disampaikan oleh Ahli Majlis Fatwa dan Ahli Majlis Syura Negeri Pulau Pinang, Rosli Othman bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang pada 12 dan 13 Februari.

Ia, tambahnya akan diikuti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil pada 14 Februari di Masjid Negeri bermula jam 7.00 malam yang diketuai oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, seramai 4,000 peserta pembarisan dijangka akan mengambil bahagian pada perarakan tahun ini yang melibatkan Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, badan berkanun, badan bukan kerajaan serta lain-lain.

Pada hari yang sama juga, katanya diadakan Perhimpunan Ummah di Dewan Sri Pinang di mana antara pengisiannya ialah anugerah khas Maulidur Rasul kepada personaliti yang mencipta nama peringkat negara dan antarabangsa, pelancaran Dana Wakaf oleh Yang Dipertua Negeri, ceramah Maulidur Rasul serta persembahan nasyid.

Katanya, kali ini juga Radio Pulau Pinang (Mutiara FM) telah mengadakan jalinan kerjasama untuk menyiarkan ceramah agama dari tokoh agama dari negeri atau kebangsaan selama 10 siri yang bertemakan Maulidur Rasul bermula dari 10 hingga 20 Februari di samping memperkenalkan Pameran Tamadun Islam pada 15 Februari di tempat yang sama.

"Dengan pemberitahuan ini tiada lagi mana-mana pihak mengambil peluang menghentam kerajaan negeri kononnya tidak menganjurkan perarakan Maulidur Rasul sepertimana kekecuhan di tahun lepas," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung.


Monday, February 15, 2010

Pulau Pinang sambut Maulidur Rasul tiga hari

Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah membatalkan perarakan sempena Maulidur Rasul malah sambutan pada tahun ini akan diadakan tiga hari berturut-turut bermula 25 hingga 27 Februari, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim.

Abdul Malik berkata, laporan sebuah akhbar yang mendakwa Kerajaan Negeri membatalkan perarakan itu adalah tidak benar.

“Ia (perarakan) akan berjalan seperti biasa. Kerajaan tidak pernah umum nak batal perarakan Maulidur Rasul. Saya tidak faham mengapa laporan seperti ini dikeluarkan,” katanya.

Abdul Malik berkata, keputusan untuk mengadakan perarakan Maulidur Rasul sudah dibincangkan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri sejak tiga bulan dahulu, bagaimanapun hanya baru-baru ini sahaja keputusan muktamad dibuat setelah jawatankuasa itu mengambil kira beberapa opsyen yang dicadangkan.

Menurutnya, tindakan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Jaipp) menyiarkan atur cara Majlis Perhimpunan Ummah Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri yang tidak menyertakan acara perarakan di laman sesawang jabatan itu sebelum ini, tidak menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.

“Sebagai Kerajaan Negeri yang masih baru, kami perlu meneliti beberapa opsyen tambahan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad.

“Memandangkan isu sama ada hendak mengadakan perarakan atau tidak masih tidak diputuskan pada masa itu, Jaipp tidak boleh menunggu sehingga keputusan dicapai untuk menyiarkan atur cara itu sebagai hebahan kepada umum. Tindakan Jaipp tidak menyertakan acara perarakan dalam tentatif program bukan sebab dibatalkan Kerajaan Negeri,”katanya.

Mengenai isi program sambutan Maulidur Rasul pada kali ini, Abdul Malik berkata, ia akan dimulakan dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil di semua masjid di seluruh negeri pada malam 25 Februari.

Pada keesokan harinya, acara sambutan akan dimulakan dengan perarakan kontinjen Kerajaan Negeri yang bakal diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, diikuti perhimpunan ummah di Dewan Sri Pinang.

“Buat pertama kali juga, Kerajaan Negeri mengadakan Majlis Bacaan Kitab Sirah Rasulullah SAW pada 27 dan 28 Februari di Masjid Negeri.

“Kerajaan Negeri juga akan mengadakan pameran ketamadunan Islam dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Mufti Pulau Pinang di foyer Dewan Sri Pinang. Program ini julung kali diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul di negeri ini.

“Dengan penganjuran sambutan Maulidur Rasul selama tiga hari berturut-turut, Kerajaan Negeri berharap tiada lagi pihak tidak bertanggungjawab menfitnah kami dengan tuduhan anti Melayu dan anti Islam,”katanya.