Showing posts with label MAINPP. Show all posts
Showing posts with label MAINPP. Show all posts

Monday, July 19, 2010

Dua tokoh tahfiz, syariah terima anugerah KITAB

Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) buat julung kalinya akan menganugerahkan 'tokoh ilmuan' kepada dua tokoh agama tempatan di atas sumbangan mereka dalam perkembangan Islam di negeri tersebut.

Anugerahkan tersebut akan disampaikan oleh Yang Terutama Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas sewaktu konvokesyen KITAB pada 27 Julai ini.

Penerima augerah tersebut ialah imam Masjid Kapitan Keling yang juga seorang guru tahfiz, Datuk Sheikh Abdullah Abdullah Bukhari yang banyak berjasa dalam bidang tahfiz al-Quran.

Manakala seorang lagi penerima anugerah tersebut ialah ahli Majlis Fatwa Pulau Pulau Pinang yang juga pensyarah di Universiti Islam
Antarabangsa, Datuk Mohd Salleh Ahmad yang menyumbangkan jasanya dalam bidang syariah.

"Apabila kita memberi sumbangan ini, mereka akan menjadi rujukan kepada masyarakat dan institusi lain," kata Rektor KITAB, Dr Mustapa Kassim ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengenai konvokesyen ketiga kolej tersebut, Dr Mustapa berkata 28 pelajar akan menerima diploma Syariah dan Tahfiz Al-Quran manakala 260 pelajar lagi menerima sijil dalam bidang bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

"Dua daripada pelajar diploma itu adalah pelajar antarabangsa, masing-masing dari Indonesia dan Singapura," katanya.

Manakala dalam bidang sijil pula, Mustafa berkata, dua orang pelajar dari Thailand juga bakal menerima sijil mereka pada hari bersejarah itu.

Mustafa berkata, setakat ini kolej tersebut yang mula beroperasi pada 12 Mei 2005, mempunyai 262 pelajar yang mengikuti lima bidang pengajian di peringkat diploma.

Selain menawarkan pengajian diploma Syariah dan Tahfiz Al-Quran, tiga bidang lagi yang ditawarkan adalah Diploma Kewangan, Perbankan dan Qiraat Al-Quran yang telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menurutnya, terdapat pelajar yang tamat pengajian dari kolej itu sebelum ini telah melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), antaranya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Univerisiti Multimedia (MMU), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Malah kata Mustafa, terdapat juga pelajarnya yang melanjutkan pelajar ke peringkat ijazah pertama di Univerisiti Islam Negeri (UIN) di Medan, Indonesia.

Di samping itu, kini terdapat 60 pelajar tempatan yang telah bekerja yang mengikuti pengajian hujung minggu di kolej tersebut - masing-masing 47 dalam bidang Diploma Syariah dan 13 orang dalam bidang Tahfiz Al-Quran.

Menurut Dr Mustafa, KITAB kini mempunyai 30 tenaga pengajar yang majoritinya anak tempatan dan telah mengikuti kursus pengajaran di
Univerisiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, kolej tersebut yang sebelum ini merupakan sebuah pusat pengajian tahfiz, adalah milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

"Kami menjangkakan dalam masa lima tahun lagi, kami mempunyai universiti sendiri," katanya sambil menambah MAINPP turut menyelia tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah yang diletak di bawah satu struktur.

Beberapa jawatankuasa dibentuk bagi memastikan KITAB beroperasi dalam keadaan yang mantap, teguh dan dipercayai, iaitu Jawatankuasa Merangka Kurikulum, Jawatankuasa Pakar Menyemak Kurikulum dan Lembaga Pengarah KITAB.

Jawatankuasa tersebut dianggotai pakar-pakar dalam pelbagai bidang di peringkat negeri dan kebangsaan.

Program Diploma Syariah, Diploma Tahfiz al-Quran dan Diploma Qira'at juga diiktiraf oleh universiti di Timur Tengah seperti di Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Maghribi untuk membolehkan pelajar kolej tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Friday, January 1, 2010

Ustaz Elyas Zakaria dilantik sebagai YDP MAINPP, Ustaz Salleh Man Timbalan

GEORGETOWN - Teka-teki mengenai calon sebenar daripada Pakatan Rakyat (PR) yang ditabalkan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (YDP MAINPP) bagi penggal 2010 hingga 2012 akhirnya terjawab apabila calon asal dari PR, Elyas Zakaria dikekalkan bagi menyandang jawatan untuk menggantikan bekas penyandang, Shabudin Yahaya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim berkata, Kerajaan Negeri juga turut memutuskan Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd Salleh Man dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua MAINPP, sekaligus menutup spekulasi yang cuba ditimbulkan oleh pihak pembangkang yang menuduh Kerajaan Negeri PR cuba melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong apabila cuba melantik Salleh sebagai YDP MAINPP sebelum ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memutuskan menerima nama-nama yang diperkenankan mengikut Seksyen 11(1) (a) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang Tahun 2004, setelah wakil Kerajaan Negeri menghadap Tuanku pada 18 November 2009.

“Dalam pada itu, saya ingin memperbetulkan beberapa fakta yang cuba diselewengkan pihak tertentu berhubung jawatan Timbalan YDP MAINPP iaitu jawatan berkenaan bukannya baru diwujudkan, sebaliknya telah termaktub dalam enakmen. Bahkan pada jawatankuasa yang lepas, jawatan itu disandang oleh Allahyarham Datuk Ibrahim Yahya.

“Selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), Kerajaan Negeri meminta pentadbiran baru MAINPP mengadakan audit luaran seperti mana yang dilakukan terhadap pentadbiran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sedikit masa lalu, bagi memudahkan proses pengambilalihan untuk mengetahui kedudukan sebenar agar pentadbiran baru MAINPP dapat menjalankan pentadbiran secara CAT,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Malek berkata, Kerajaan Negeri ini sebelum ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pelantikan Ahli Majlis Mainpp kerana tidak mahu dituduh melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong selain tidak mahu terpedaya dengan usaha pihak pembangkang yang cuba mengheret Kerajaan Negeri untuk mempolitikkan perkara ini melalui media.

“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Majlis Mainpp yang baru dilantik dan berharap mereka dapat menunaikan amanah Allah dan tanggungjawab serta sumbangan bakti ke arah kemajuan rakyat dan negeri Pulau Pinang selepas ini,” katanya.

Senarai penuh ahli MAINPP :

YANG DI-PERTUA

Y.Bhg. Ustaz Haji Elias bin Haji Zakaria

TIMBALAN YANG DI-PERTUA

Y.B Tuan Haji Mohd Salleh bin Man

Ex-OFFICIO

Y.B Dato’ Zainal Rahim bin Seman ( Setiausaha Kerajaan Negeri)

Y.B Dato’ Faiza binti Zulkifli (Penasihat Undang-undang Negeri P.P)

Y.B Dato. Haji Farizan bin Darus (Pegawai Kewangan Negeri P.P)

Y.Bhg Sahibus Samahah Dato’ Haji Hassan Haji Ahmad ( Mufti P.P)

Y.Bhg. DCP Dato’ Wira Ayob bin Haji Yaacob (Ketua Polis P.P)

AHLI

Y.B Tuan Abdul Malik bin Abul Kassim

Y.B Ustaz Maktar bin Shafee

Y.Bhg. Dato’ Haji Hashim bin Yahaya

Y.Bhg. Dr Danial bin Zainal Abidin

Y.Bhg. Ustaz Abd Aziz @ Aziz bin Che Yacob

Y.Bhg. Ustaz Rosidi bin Hussain

Y.Bhg. Haji Zainudin bin Hanif

Puan Norhayati Jaafar