Wednesday, December 15, 2010

Pemaju diarah jangan roboh rumah penduduk


Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi amaran kepada Pemaju KL Metro Development agar tidak merobohkan rumah 15 penduduk Pekan Teluk Kumbar sehingga satu perbincangan dibuat untuk memastikan kedua-dua belah pihak mendapat keuntungan.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Dr Mansor Othman semasa sidang media di pejabatnya di aras 52 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) semalam berharap ia diselesaikan dengan baik dan tidak timbul pertelingkahan yang berpanjangan.

"Kerajaan Negeri memberi amaran kepada pemaju supaya tidak meroboh rumah di Pekan Teluk Kumbar kerana ia begitu hampir dengan Sambutan Tahun Baru Cina. Dulu kita sempat campurtangan kerana terlalu dekat dengan Hari Raya Aidil Adha, " tegasnya.

Katanya, KL Metro haruslah bertimbang rasa dan tidak bersikap rakus kerana penduduk yang ada bukan menolak pembangunan sebaliknya sekadar mahukan keadilan pampasan.

Pemaju jangan mengambil sebarang tindakan perobohan kerana Keraaan Negeri cuba berusaha mendapatkan jalan terbaik, tambah beliau.

Walaupun pemaju ada hak melaksanakan pembangunan di situ tetapi Kerajaan Negeri juga mempunyai hak menentukan mahu atau tidak pembangunan di situ.

Pada 20 Disember ini pemaju KL Metro sekali akan bertindak meroboh kediaman penduduk dengan alasan tanah tersebut sudah menjadi miliknya dan boleh melaksanakan apa pun projek di situ tanpa sebarang sekatan.

Berapa minggu lalu KL Metro telah dihalang daripada bertindak demikian oleh ramai pihak termasuk penduduk, campur tangan kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Ahli Majlis Perbandaran, Penyelaras Dun Bayan Lepas dan sebagainya.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Penyelaras Dun Bayan Lepas, Asnah Hashim, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dan Pembantu Khas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Martin Lim Huat Poh.

Selesai segera isu Tanjung Tokong

Sementara itu, Mansor memberi jaminan menyelesaikan permasalahan di Tanjung Tokong dengan segera setelah beberapa pertemuan dengan Pembadanan Kemajuan Bandar (UDA) dan persatuan penduduk dibuat agar isu ini tidak lagi menjadi bualan hangat golongan tertentu yang acapkali mengambil kesempatan.

Padahal isu Tanjong Tokong timbul pada tahun 2000 apabila pihak UDA membanci untuk tujuan pembangunan di situ.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat hanya bertindak sebagai penyambung usaha pertemuan dengan harapan menyelesaikan isu yang telah berlarutan.

"Kita cuba selesaikan secepat mungkin isu ini agar semua penduduk berpuas hati manakala UDA dapat meneruskan pembinaan projek yang bermanafaat kepada rakyat keseluruhanya," jelas beliau ketika sidang media di pejabatnya semalam.

Kerajaan Negeri akan wujudkan Jawatankuasa bersama antara UDA, Kerajaan Negeri dan Persatuan Penduduk sebagai langkah proaktif ke arah jalan penyelesaian.

Baru-baru ini UDA telah pun memperjelaskan tujuan pembangunan di situ dan kenapa rumah penduduk harus digantikan dengan plan pendudukan yang lebih tersusun.

Manakala pertemuan dengan penduduk telah pun dibuat untuk mendengar sendiri rintihan mereka sebagai penduduk terawal dan cadangan mereka membina perkampungan warisan.

Kerajaan mahukan isu ini selesai penghujung Februari 2011 sebelum proses pakej terbaru perumahan dilancarkan kepada penduduk.

"Kita pun mahu isu ini cepat diselesaikan. Tertubuhnya satu jawatankuasa mudah-mudahan selepas Februari 2011 ia dicapai dengan baik, " tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti.


No comments: