Thursday, November 19, 2009

PERDA diminta jaga kepentingan rakyat bawahan

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) supaya memberi perhatian yang lebih serius bagi membela nasib rakyat yang berpendapatan rendah daripada menjaga kepentingan golongan atasan.

Menurut beliau lagi, Perda kini sudah jauh tersasar daripada matlamat asal penubuhannya bagi menyediakan perumahan mampu milik kepada penduduk yang berpendapatan rendah.

"Kerajaan Negeri tidak pernah membantah atau menolak permohonan daripada PERDA bagi melaksanakan projek perumahan di Daerah Barat Daya sepertimana yang didakwa oleh mereka. Kita tegas dalam perkara ini supaya nasib rakyat yang berpendapatan rendah akan terus terbela dan mendapat peluang untuk memiliki rumah.

"Kerajaan Negeri juga akan memberi kelulusan pelan pembangunan sekiranya semua syarat dan peraturan yang telah ditetapkan dipatuhi oleh PERDA. Ini termasuklah memperbanyakkan lagi pembinaan rumah kos rendah kepada rakyat di negeri ini," kata Ketua Menteri.

Sebelum ini Pengerusi PERDA, Datuk Azhar Ibrahim mendakwa Kerajaan Negeri dengan sengaja cuba melengah-lengahkan projek pembangunan perumahan yang telah pun dikenal pasti untuk projek perumahan di Sungai Batu dan Teluk Bahang.

"Perda membeli tanah tersebut dengan harga yang rendah. Oleh kerana itu adalah wajar bagi mereka untuk membina lebih banyak rumah kos rendah dan menjualnya dengan harga yang mampu dimiliki oleh mereka yang berpendapatan rendah.

"Jika mereka mendapat tanah dengan harga yang murah dan membangunkan pula banglo, rumah kos tinggi dan hotel sudah pasti projek itu akan tertangguh kelulusan pembangunannya," kata Lim.

Sebelum ini Timbalan Ketua Menteri 1, Dr. Mansor Othman juga pernah menafikan dakwaan Azhar tersebut. Mansor juga meminta supaya PERDA mengkaji semula projek pembangunan perumahan yang hendak mereka laksanakan supaya ia memberi manfaat dan peluang kepada masyarakat berpendapatan rendah untuk turut memiliki rumah yang dibina.


No comments: