Wednesday, January 21, 2009

Negeri Pakatan Tubuh Majlis MB dan KM

Bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama sesama kerajaan Pakatan Rakyat, kelima-lima kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat bersepakat membentuk Majlis Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat.


Majlis berkenaan ditubuhkan setelah satu mesyuarat yang dihadiri lima ketua kerajaan bagi negeri yang diperintah Pakatan Rakyat di Kediaman Menteri Besar Kedah di Mentaloon.


Ketika memberikan kenyataan penuhnya Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, Majlis Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat itu turut dikenali sebagai Pengisytiharan Mentaloon


Tambah Azizan yang menjadi pengerusi mesyuarat berkenaan, majlis tersebut juga bertujuan menyelaraskan agenda, program dan aktiviti di kalangan negeri-negeri yang diterajui pakatan pembangkang.


“Perbincangan hari ini telah mencapai beberapa persetujuan berhubung apa yang perlu dibuat oleh Pakatan Rakyat bagi meningkatkan kerjasama dan mengemas kini beberapa kekurangan yang perlu diambil tindakan segera,” katanya pada sidang akhbar 18 Januari lalu.


Kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri turut hadir dalam mesyuarat berkenaan iaitu, Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim; Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat; Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.


Sementara itu, Guan Eng berkata, majlis tersebut dibentuk kerana Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri Pakatan Rakyat yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja sering didiskriminasikan.

No comments: