Thursday, November 18, 2010

Banjir: P Pinang terima jaminan MMC-Gamuda JV

Kerajaan Pulau Pinang hari ini menarik balik perintah berhenti kerja bagi projek landasan kereta api berkembar Ipoh-Padang Besar selepas kontraktornya, MMC Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MMC-Gamuda JV), memberi surat jaminan mengenai langkah-langkah mencegah banjir.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata bahawa selepas menerima jaminan itu hari ini, kerajaan negeri telah mengarahkan Majlis Perbandaran Seberang Perai supaya mengeluarkan surat kepada MMC-Gamuda JV bagi memberitahu bahawa larangan itu telah ditarik balik.

Perintah henti kerja itu dikeluarkan Jumaat lepas oleh kerajaan negeri dengan alasan projek itu boleh menyebabkan banjir.

Lim berkata syarikat itu telah memberi jaminan ia sedia merobohkan mana-mana landasan sedia ada untuk tujuan tebatan banjir dan juga akan bertanggungjawab memberi pampasan jika berlaku banjir disebabkan oleh projek itu.

MMC-Gamuda JV adalah kontraktor utama projek landasan elektrik sejauh 329 kilometer itu yang menelan belanja RM12.5 bilion dan dijangka siap pada 2013.


Pulau Pinang Ikut Jejak Langkah Selangor Bentang FOI


KUALA LUMPUR 17 Nov - Badan pro-demokrasi, 'The Coalition for Good Governance Penang (CGGP)' mengalu-alukan langkah kerajaan negeri Pulau Pinang membentang Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) yang membolehkan rakyat negeri itu mempunyai akses kepada maklumat
rasmi.

Inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang di ambil setelah Selangor mengorak langkah membuka ruang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat apabila membentangkan enakmen yang sama Julai lalu.

"Mekanisme sedemikian mempunyai peranan penting dalam usaha membantu individu serta komuniti membuat keputusan bermaklumat berhubung perkara yang memberi kesan kepada diri atau kehidupan mereka. Tambahan pula pembentangan FOI adalah langkah awal ke arah kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan dalam usur tadbir.

"Badan masyarakat madani dan parti pembangkang telah lama berjuang untuk memansuhkan Akta Rahsia Rasmi untuk digantikan dengan FOI yang menggariskan dengan jelas apa sebenarnyanyang didefinisi sebagai rahsia rasmi," kata wakil CGGP, Ng Eng Kiat.

CGGP berharap FOI yang dibentangkan oleh kerajaan Pulau Pinang selaras dengan standard antarabangsa agar ia dilihat sebagai satu rang undang-undang yang benar-benar progresif.

Disamping itu badan itu juga membangkitkan isu perbincangan awam dengan badan-badan sivil semasa proses membuat draf enakmen tersebut yang sehingga kini belum diadakan.

"Kami menjangka ini akan dilakukan oleh Jawatankuasa Khas dan dengan ini akan mempromosi iklim demokrasi yang sihat dalam masyarakat," ujar CGGP lagi.

Justeru itu satu forum akan dianjurkan oleh CGGP, Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Akhbar Cina Pulau Pinang (Pewaju) dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengenai Bil Enakmen FOI Pulau Pinang 2010 di Kolej Han Chiang, Pulau Pinang.

Panel penceramah termasuk Jagdeep Singh selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Bil Enakmen FOI Pulau Pinang 2010, Pengarah CIJ, Gayathry Venkiteswaran serta Ng Eng Kiat anggota Sekretariat, Suaram cawangan Pulau Pinang.

Wednesday, November 17, 2010

Salam Eid'ul Adha


Salam Aidul Adha kepada semua muslimin dan muslimat sekalian...Sama-samalah kita menghayati Hari Raya Aidul Adha ini dengan mengambil iktibar daripada kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS demi kemenangan di dunia dan akhirat.

Monday, November 15, 2010

Bajet 2011 P.Pinang, bajet memartabat rakyat

Kerajaan negeri Pulau Pinang menganggarkan bajet keseluruhan bagi tahun 2011 sebanyak RM900.35 juta iaitu peningkatan sebanyak RM186.56 juta atau 26.14% berbanding 2010 sebanyak RM713.79 juta.

Mereka turut menganggarkan hasil yang dikutip berjumlah RM385,326,170 iaitu peningkatan RM60.29 juta atau 18.55% berbanding anggaran semasa 2010 (RM325.04 juta).

Dalam usaha menjaga kebajikan rakyat, sejumlah RM20 juta diperuntukkan untuk permberian RM100.00 kepada semua warga emas melebihi 60 tahun yang bermastautin di negeri itu.

Antara kebajikan lain yang turut diberi perhatian termasuk pembayaran RM1,000.00 kepada waris warga emas yang telah meninggal dunia pada atau selepas 1 Januari 2010, bantuan tahunan RM100 kepada warga kurang upaya OKU dan kepada ibu tunggal yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri dan berumur kurang 60 tahun.

Selain itu, sejumlah RM20 juta duiperuntukkan untuk pengambilan balik tanah bagi pembesaran tapak perkuburan Islam berhampiran Masjid Jelutong.

Bagi melicinkan urusan berkaitan hal ehwal agama Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama diperuntukkan RM24.76 juta mencakupi pembangunan RM7.05 juta, mengurus RM13.38 juta dan RM4.33 juta untuk elaun pegawai masjid dan guru kelas KAFA, pemberian para Huffaz, sumbangan Ehya’ Ramadhan, kerja-kerja pembaikan Masjid Negeri dan program-program sambutan kebesaran Islam.

Agenda utama kerajaan dalam bajet 2011 adalah ke arah memartabatkan rakyat dengan berkonsepkan 3P iaitu perkasakan rakyat, perkuasakan rakyat dan perkayakan rakyat.

Selain itu, kerajaan negeri juga memberi fokus untuk merancakkan lagi sektor pelancongan, meningkatkan kualiti alam sekitar dan landskap, kemudahan infrastruktur dan utiliti, memperkasa sektor pertanian dan penternakan serta menggalakkan sektor perdagangan dan memantapkan kepentingan hal ehwal pengguna.

Dalam bidang pendidikan pula, sebuah Hab Pendidikan Cemerlang di Pondok Upeh dan Genting, Balik Pulau akan didirikan atas tanah seluas 201.4 ekar dengan anggaran kos keseluruhan RM165 juta.

RM12.0 juta pula diperuntukkan untuk Program Bantuan Pendidikan yang akan dimanfaatkan oleh 172 buah sekolah, meliputi Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dan Sekolah Mubaligh.

Kemudahan bantuan juga disediakan melalui Tabung Amanah Biasiswa Kecil Negeri bagi membantu pelajar-pelajar miskin di tingkatan 1 hingga 5.

Arah henti bina landasan berkembar demi rakyat

Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan MMC Gamuda menghentikan serta merta pembinaan landasan keretapi berkembar di negeri ini kerana lebih sayangkan rakyat yang berkemungkinan besar terpaksa mengharungi banjir teruk sepertimana di Kedah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, bagaimana pun arahan itu akan ditarik balik jika syarikat berkenaan memberi jaminan bertulis bahawa mereka akan mengorek laluan air serta membayar pampasan kepada rakyat yang ditenggelami air.

Baginya, kepentingan rakyat perlu diutamakan daripada syarikat kroni Barisan Nasional (BN) yang meneruskan kerja pembinaan tanpa membina sebarang laluan untuk air mengalir dengan baik.

"Biarpun saya dihentam oleh orang yang berkepentingan dalam projek berkenaan biarkanlah sebab bagi saya dan kerajaan ialah menjaga kebajikan rakyat. Buat apa pembangunan yang berlipat kali ganda tapi rakyat merana kerana terpaksa tanggung kesan pembangunan terbabit," jelasnya.

Beliau tidak menafikan terpaksa berhadapan dengan kritikan termasuk pimpinan BN ekoran arahan itu walhal mereka sepatutnya mengambil iktibar kejadian banjir teruk dalam sejarah Kedah baru-baru ini yang berpunca daripada halangan timbunan yang tinggi tanpa ada saluran air keluar.

Pada mulanya beliau hairan kenapa setiap kebajikan yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat demi rakyat ada sahaja kritikan yang menggunung daripada Umno dan BN.

"Kini BN nak kata apa pun katalah kami dah sebati. Kita akan terus memberikan perkhidmatan terbaik pada masa depan," katanya.

Sebagai contoh sambungnya, pada tahun depan kerajaan akan membayar tambang bas percuma pergi balik kepada rakyat yang bekerja di beberapa lokasi khususnya di Bayan Baru semata-mata untuk mengelak daripada kesesakan di jambatan mahupun jalan utama.

"Pekerja di sebelah tanah besar akan meninggalkan kereta mereka di tempat letak kereta, contohnya di Seberang Jaya dan menaiki bas yang disediakan. Cuma mereka bayar caj parkir saja, " tambah beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih.


Wednesday, November 3, 2010

Dakwaan UMNO disangkal Ketua Menteri

Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang

Y.A.B. Lim Guan Engdi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

pada 1 Nov 2010

Kumpulan Wang Amanah Kebajikan membolehkan Kerajaan Negeri menerima sumbangan dari orang awam, syarikat, persatuan dan sebagainya. Kumpulan Wang Amanah Kebajikan mengandungi dua (2) Sub Lejar iaitu Sub Lejar Kebajikan dan Sub Lejar Kemiskinan.

Bagi Sub Lejar Kebajikan, sejak tahun 2004 adalah tidak aktif (dormant) dengan baki berjumlah RM 394,281.20. Sub Lejar ini diaktifkan semula setelah Kerajaan Negeri menerima sumbangan RM 1.5 juta pada 12 Mei 2010 dan RM 0.5 juta pada 23 Julai 2010 dari Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang. Ini menjadikan baki terkumpul sub lejar kebajikan berjumlah RM 2.39 juta sehingga kini. Akaun ini masih tidak digunakan dan wang RM 2.39 juta belum disentuh lagi.

Perlu ditegaskan bahawa sistem perakaunan Kerajaan Negeri mengikut Akta Tatacara Kewangan 1957 yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Bukan seperti Kerajaan Persekutuan yang masuk semua hasil cukai judi kepada satu akaun yang kemudiannya digunakan untuk membayar gaji anggota pentadbiran, keagamaan dan pembangunan.

Manakala Sub Lejar untuk Kemiskinan yang diaktifkan pada tahun 2009 mula menerima sumbangan dari individu, syarikat dan Kerajaan Negeri dan sehingga Sept 2010 jumlah sumbangan yang diterima ialah RM 3,450,300.00. Jumlah yang dibelanjakan / pengeluaran kepada penerima bantuan kemiskinan sehingga akhir Sept 2010 ialah RM 3,418,070.00 menjadikan baki Sub lejar kemiskinan berjumlah RM 32,230.00.

Sub lejar kemiskininan inilah yang digunakan untuk membasmi miskin tegar untuk orang Islam dan bukan Islam. Tidak benar sekali dakwaan UMNO bahawa Kerajaan Negeri membayar duit judi sumbangan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang kepada orang Islam. Inipun disahkan oleh Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Farizan Bin Darus.

LIM GUAN ENG


Pulau Pinang catat hasil paling tinggi


Pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang mencatatkan hasil pendapatan paling tinggi buat dua kali berturut-turut - ia berjaya memungut RM1.1 bilion dalam dana terkumpul bagi seluruh tahun 2009.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009, Pulau Pinang adalah negeri tunggal Pakatan Rakyat yang menerima penarafan 'baik'berhubung kedudukan kewangannya - mereka juga mengumpul 29.1 peratus dalam pendapatan sebenar, membawa jumlah keseluruhan kepada RM376.51 juta.

Pada 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang memecahkan rekod apabila dana terkumpulnya mencecah RM1.025 bilion seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini. Di bawah pentadbiran kerajaan negeri BN, dana terkumpul Pulau Pinang adalah RM847.45 juta bagi 2007.

Dana terkumpul itu adalah kombinasi pendapatan akaun, pinjaman dan juga dana saham amanah. Pungutan hasil juga naik dengan ketara daripada RM296 juta pada 2007 kepada RM371 juta pada 2008. Hasil bagi 2009 pula adalah pada RM376 juta. Laporan Audit itu juga mendedahkan bahawa Dana Amanah Perumahan Bumiputera telah buat kali pertama ditubuhkan dengan RM12.65 juta disalurkan untuk tujuan berkenaan.

Tiga agensi negeri menerima penarafan 'sangat baik' berbanding hanya dua pada 2008. Agensi berkenaan adalah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, jabatan kewangan negeri dan pejabat daerah bahagian barat daya.

Dua lagi negeri yang dikuasai oleh Pakatan - Kedah dan Kelantan, mencatatkan peningkatan dalam dana terkumpulnya pada 2009 berbanding tahun sebelum itu.


Kelantan mencatatkan pertumbuhan besar 252 peratus kepada RM97.23 juta berbanding RM27.58 juta pada tahun 2008.


Hasil di Selangor pula, pada masa yang sama jatuh 7.3 peratus kepada RM1.32 bilion berbanding RM1.42 bilion pada 2008. Pada RM1.32 bilion, ia juga adalah jauh lebih rendah daripada dana terkumpul RM1.39 bilion yang diperolehi semasa pentadbiran BN pada 2007. Pentadbiran negeri Kedah pula menunjukkan peningkatan 5.1 peratus dana terkumpulnya kepada RM265.52 juta bagi tahun 2009.

Laporan Ketua Audit Negara 2009 juga mendedahkan Perlis sebagai satu-satunya negeri yang diklasifikasikan sebagai kurang memuaskan dari segi sistem penyampaian, terutama selepas gagal memastikan semua agensi negeri diaudit sebelum tarikh tamat 30 April.


Berdasarkan laporan itu, hanya tiga agensi iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyerahkan penyata kewangan untuk diaudit sebelum tarikh tutup, manakala baki enam lagi dilaporkan gagal.


Sementara itu, Bernama melaporkan Laporan Ketua Audit Negara 2009 menyatakan lapan projek pembinaan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak disiapkan melewati tempoh kontrak, sementara satu projek terbengkalai.

Lapan projek itu kelewatan antara 144 hingga 629 hari. Projek-projek itu ialah Rumah Rehat Kampar, Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping, Pusat Rehat dan Rekreasi Changkat Jering, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Kompleks Pusat Penjaja Glutton Square Teluk Intan, Padang Seri Iskandar, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), dan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar.


"Semakan mendapati empat daripada lapan projek telah disiapkan setelah mendapat Perakuan Kelewatan dan Lanjutan Masa (PLKM) dan tempoh masa berdenda antara RM60,000 hingga RM214,220.

"Manakala tiga projek telah siap setelah diberikan PLKM dan satu lagi projek iaitu Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar masih belum disiapkan dan dalam tempoh masa berdenda. "Kelulusan PLKM kedua tanpa sebab telah diberikan kepada kontraktor untuk pembinaan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar," kata laporan itu.

Laporan itu berkata punca kelewatan menyiapkan projek disebabkan oleh kelewatan kerja-kerja ujian tanah, kelewatan pihak kontraktor menerima arahan perubahan kerja, perubahan skop kerja dan kerja-kerja tambahan.

Menurut laporan itu, kelewatan telah menyebabkan kos projek Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping meningkat sejumlah RM168,152 atau 3.5 peratus daripada RM4.91 juta kepada RM5.08 juta. "Kos projek Bangunan Kompleks Pejabat MPTI meningkat sejumlah RM2.21 juta atau 39.9 peratus daripada RM5.54 juta kepada RM7.75 juta.

Manakala kos projek Bangunan Kompleks Perniagaan dan Pejabat MPKK meningkat daripada RM3.98 juta kepada harga kontrak baru berjumlah RM5.33 juta atau 33.9 peratus kerana penamatan kontraktor pertama," menurut laporan itu. Dalam pada itu, projek Pembinaan Dewan Serba Guna Padang Bandaran Kuala Kangsar bernilai RM6.7 juta yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Perak sebagai agensi pelaksana dan dibina oleh Serata Johor Sdn Bhd terbengkalai dan tidak disiapkan mengikut jadual asal kontrak.

Peruntukan membiayai pembinaan diterima daripada kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan berjumlah RM10 juta dan berdasarkan kontrak, tempoh projek selama 52 minggu itu bermula Mac 2008 dan dijangka siap Jun tahun lepas. "Berdasarkan laporan kemajuan kerja, pelaksanaan kerja telah mencapai 63 peratus siap. Surat penamatan dikeluarkan terhadap kontraktor pada 30 Jun 2009 kerana tiada kerja dilakukan semenjak 25 Mei 2009," kata laporan itu.

Menurut laporan itu juga prestasi pelaksanaan projek adalah lemah kerana kurang pemantauan oleh PBT dan Jabatan Kerja Raya terhadap perunding dan kontraktor. Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mencadangkan kerajaan negeri Perak dan PBT membuat pemantauan terhadap projek pembinaan secara berterusan supaya siap mengikut jadual bagi mengelakkan kelewatan dan peningkatan kos serta menyenaraihitamkan kontraktor berkenaan.