Thursday, January 24, 2013

Ucapan Maulidur Rasul

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak sama ada orang perseorangan atau Masjid dan Kariah yang telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul s.a.w.

Sesungguhnya inilah antara cara kita membuktikan tanda kasih dan penghormatan kita atas segala perjuangan dan jasa baginda meninggalkan Agama Islam kepada kita.

Semoga dengan mengadakan majlis dan perarakan kita dapat berselawat dan mendengar tazkirah atau ceramah bagi mengingati dan mendalami ajaran baginda s.a.w.

Cuma nasihat saya supaya berati-hati dalam sambutan ini jangan keterlaluan sehingga terkeluar dari Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah, sabda baginda s.a.w.:
"Maka sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad , dan seburuk-buruk perkara dalam agama adalah yang di ada-adakan, setiap yang diada-adakan (dalam urusan agama) adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah kesesatan. (HR. Muslim, an-Nasa’i dan selain keduanya)
Dalam riwayat lain "..setiap kesesatan masuk neraka".

Merangkap Timbalan YDP. Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, saya juga ingin menyeru semua masjid dan surau supaya memperbanyakkan kuliah-kuliah pengajian kitab, masjid-masjid yang tidak mengadakan kuliah / kelas-kelas bacaan kitab akan menjahilkan Umat Islam khususnya Anak-Anak Kariah mereka. Anak-Anak Kariah yang jahil bukan sahaja tidak menghargai pengorbanan Rasulullah malah boleh terdedah kepada ajaran sesat.

Oleh itu di samping kita mendalami agama kita yang tercinta ini, kita juga perlu mengetahui siapa musuh agama kita. Hari ini sudah menjadi ancaman besar masyarakat Islam negara kita ialah pengaruh Syi'ah. Syi'ah adalah musuh tradisional Ahli Sunnah Waljama'ah sejak lebih seribu tahun yang lalu, mereka cuba mengaburi mata hati umat Islam yang jahil terhadap agamanya, mereka berselindung di sebalik label Islam.

Dan selain Syi'ah banyak lagi ajaran-ajaran sesat yang terdapat dalam negara kita. Kita pernah mendengar peringatan baginda s.a.w. lebih kurang seperti berikut "akhir zaman umatku akan berpecah kepada 73 kumpulan, hanya satu kumpulan yang selamat ... (ialah Ahli Sunnah Waljama'ah)

Akhir sekali saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan dengan firman Allah yang bermaksud :
"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” 

Wabillahi Taufiq Walhidayah, Wassalam