Wednesday, February 23, 2011

Skandal Pulau Jerejak: Guan Eng desak Tsu Koon bayar balik RM30 juta

GEORGETOWN, 22 Feb: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap mendesak mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon supaya bertanggungjawab terhadap skandal Pulau Jerejak yang menyebabkan kerugian sebanyak RM30 juta kepada rakyat dan kerajaan negeri.

Mengulas isu yang semakin meruncing ini, Lim menggesa Tsu Koon supaya membayar balik wang yang telah merugikan rakyat semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan beliau dahulu.

Lim berkata, kini telah tiba masanya bagi kerajaan negeri pimpinan beliau menuntut kembali wang rakyat yang telah hilang tanpa memberi apa-apa manfaat kepada rakyat maupun kerajaan negeri ini.

"Kerajaan negeri telah membuat keputusan meminta Tsu Koon supaya menebus kembali nilai kerugian yang dialami sebanyak RM30 juta demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Sebagai seorang menteri kabinet yang bertanggungjawab terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) yang profesional maka adalah tanggungjawab beliau untuk mengarahkan syarikat UDA untuk memulangkan kembali wang skandal Pulau Jerejak kepada rakyat negeri ini, " tegas Lim.

Sebelum ini isu penyelewengan skandal penyerahan tanah Pulau Jerejak kepada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan operasi perjalanannya kepada Tropical Island Resort (TIR) telah berlaku semasa Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Manakala nilai kerugian melibatkan premium tanah berjumlah RM10.6 juta bagi 32 hektar tanah di Pulau Jerejak tidak dibayar kepada kerajaan negeri walaupun Tsu Koon telah memberikan geran tanah.

Selain dari itu, kos pelaburan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejumlah RM15.44 juta kepada TIR tidak mendapat pulangan kerana syarikat tersebut tidak mendapat keuntungan.

Pinjaman oleh PDC berjumlah RM3.6 juta kepada TIR antara tahun 1992 sehingga 2007 selepas penyerahan Pulau Jerejak kepada UDA juga belum dijelaskan sehingga kini.

Skandal yang dibongkar ini sepatutnya mendapat perhatian SPRM dan juga pihak berkuasa supaya penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku sentiasa memberi keadilan kepada mereka yang menjadi mangsa.


Saturday, February 12, 2011

Iktibar daripada kejatuhan

Kejatuhan sesebuah pemerintahan harus menjadi iktibar dan peringatan kepada semua penguasa terutamanya mereka yang zalim.

Allah S.W.T Maha Mendengar malahan pula doa mereka yang teraniaya itu tiada hijab di antaranya, maka dengan Khudrat dan IradatNya akan membantu gerakan mereka.

Pemimpin negara harus melihat akan sampai masanya giliran mereka pula setelah Indonesia, Filipina dan Thailand berganti pemerintahan.

Perjuangan bangsa sebenarnya tidak akan bertahan lama kecuali perjuangan membela Islam itu diberi keutamaan kerana Allah akan membantu mereka yang membantuNya. Ini satu jaminan Allah S.W.T yang jelas di dalam Al-Quran, surah Muhammad : 7

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
Tidak salah membela bangsa, tetapi bimbinglah mereka ke jalan yang diredhai Allah. Janganlah apabila kepercayaan diberi untuk mentadbir, kelak pemimpin itu menggadai amanah rakyat dengan melakukan jenayah dan maksiat.

Wallahuaklam.


Hj. Maktar bin Hj. Shapee
ADUN Sungai Bakap

Friday, February 11, 2011

Pulau Pinang anjur perarakan Maulidur Rasul

Seperti biasa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan Majlis Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1432H/2011M bertempat di Padang Kota Lama pada 15 Februari ini bermula jam 7.00 pagi.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata, sebagaimana tahun lalu temanya tetap sama iaitu 'Wasattiyah Tunggak Kecemerlangan Ummah' yang menjurus kepada maksud melahirkan kesederhanaan dalam Islam.

Menurutnya, memandangkan program ini merupakan kesinambungan kepada program tahun lepas kebanyakan pengisianya tidak berubah, cuma individu yang terbabit sahaja yang berganti contohnya ceramah Maulidur Rasul akan disampaikan oleh Sheikh Faisol Omar dari Jabatan Agama Islam Kedah dan persembahan nasyid dari Jabatan Penjara Pulau Pinang iaitu johan Festival Nasyid Peringkat Negeri Pulau Pinang 2010.

Katanya lagi, bacaan kitab Bidayat As-Sul Fi Tafdil Rasul selama dua hari berturut-turut di Masjid Negeri tetap disampaikan oleh Ahli Majlis Fatwa dan Ahli Majlis Syura Negeri Pulau Pinang, Rosli Othman bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang pada 12 dan 13 Februari.

Ia, tambahnya akan diikuti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil pada 14 Februari di Masjid Negeri bermula jam 7.00 malam yang diketuai oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, seramai 4,000 peserta pembarisan dijangka akan mengambil bahagian pada perarakan tahun ini yang melibatkan Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, badan berkanun, badan bukan kerajaan serta lain-lain.

Pada hari yang sama juga, katanya diadakan Perhimpunan Ummah di Dewan Sri Pinang di mana antara pengisiannya ialah anugerah khas Maulidur Rasul kepada personaliti yang mencipta nama peringkat negara dan antarabangsa, pelancaran Dana Wakaf oleh Yang Dipertua Negeri, ceramah Maulidur Rasul serta persembahan nasyid.

Katanya, kali ini juga Radio Pulau Pinang (Mutiara FM) telah mengadakan jalinan kerjasama untuk menyiarkan ceramah agama dari tokoh agama dari negeri atau kebangsaan selama 10 siri yang bertemakan Maulidur Rasul bermula dari 10 hingga 20 Februari di samping memperkenalkan Pameran Tamadun Islam pada 15 Februari di tempat yang sama.

"Dengan pemberitahuan ini tiada lagi mana-mana pihak mengambil peluang menghentam kerajaan negeri kononnya tidak menganjurkan perarakan Maulidur Rasul sepertimana kekecuhan di tahun lepas," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung.


Saturday, February 5, 2011

Gong Xi Fa Cai

Thursday, February 3, 2011

Kerajaan Negeri tetap bongkar isu tanah Pulau Jerejak


Skandal penyerahan tanah di Pulau Jerejak oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu sebelum peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat (PR) akan tetap dibongkar bagi memberi pendedahan sebenar kepada rakyat.

Mengulas mengenainya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerugian yang mencecah RM30 juta adalah satu skandal yang melibatkan kerugian kepada rakyat dan juga kerajaan negeri.

"Rakyat mengalami kerugian bersama-sama dengan kerajaan negeri. Wang premium tanah yang sepatutnya bernilai RM10.6 juta untuk 32 hektar tidak dibayar. Pulau Jerejak tidak kita perolehi. Pulangan pun tiada. Ia kerugian semata-mata.

"Kini sudah tiba masanya bagi kita mendapatkan semula Pulau Jerejak dan jumlah wang yang begitu banyak telah diberikan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang kepada mereka," ujarnya lagi.

Isu skandal penyerahan tanah Pulau Jerejak kepada Perbadanan Pembangunan Bandar atau UDA dan operasi perjalanannya kepada Tropical Island Resort telah berlaku semasa zaman pemerintahan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Ekoran dari kerugian tersebut, kerajaan negeri telah membuat keputusan akan mengedarkan sebanyak 300 ribu risalah mengenai penyelewengan tersebut semasa zaman BN dahulu bagi menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat negeri ini.

Risalah yang diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan juga Mandarin itu telah mula diedarkan.

Ia juga bagi memberi peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian mengenai pentadbiran yang berlaku dizaman BN dengan kerajaan negeri sedia ada dari PR.