Wednesday, December 15, 2010

Kerajaan Negeri dedah bukti kontraktor Melayu terima hampir 100% projek


Kerajaan negeri Pulau Pinang mengeluarkan statistik hari ini untuk menunjukkan bahawa kontraktor-kontraktor Melayu memperoleh lebih banyak projek di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sepanjang dua tahun lalu.

Tender yang telah diluluskan oleh jawatankuasa tender Jabatan Pengairan dan Saliran bagi tahun 2008 hingga 2010 menunjukkan kontraktor Bumiputera menerima kesemua 18 projek bernilai RM40,944,933.80.

Dalam pada itu, daripada 17 projek diluluskan oleh jawatankuasa tender Jabatan Kerja Raya antara 1 Januari 2008 dan 30 November 2010, 16 daripada yang bernilai RM20,407,640.94 diberikan kepada kontraktor Melayu.

Kontraktor Melayu hanya menerima satu projek bernilai RM407,000.

“Ini dengan sekali gus mematahkan fitnah jahat pemimpin Umno dan juga sekutu Umno seperti Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan. Datuk Mohamad Fadzil telah mendakwa kenyataan saya bahawa 70 peratus bidaan kontrak kerajaan negeri dimenangi kontraktor Bumiputera tidak benar dan tidak mencerminkan realiti sebenar pengagihan projek secara adil.

“Datuk Mohamad Fadzill telah mencabar saya mendedahkan secara nilai tender yang dianugerahkan kepada kontraktor Bumiputera kerana nilainya mungkin jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan habuan kontrak yang diterima kontraktor bukan Bumiputera,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut Lim, angka sedemikian dengan sendirinya membuktikan bahawa kontraktor Umno seperti Datuk Mohamad Fadzil hasad dengki dan marah terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat semata-mata kerana mereka tidak memenangi kontrak seperti yang dulu,” katanya.

Lim juga berkata atas kepentingan politik sempit Umno dan Barisan Nasional (BN), mereka sedia menabur fitnah kerana tidak dapat kontrak dulu sebagai kroni Umno.

“Kalau Datuk Mohamad Fadzil seorang beriman, maka lebih baik beliau meminta maaf dan menarik balik fitnah kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Menurut Lim, urus tadbir “CAT” yang cekap, bertanggungjawab dan telus telah berjaya memartabatkan kontraktor Melayu dengan sistem tender terbuka.

“Urus tadbir CAT dan sistem tender terbuka telah membuktikan bahawa kontraktor Melayu memang berdaya saing secara terbuka.

“Yang tak mampu saing hanya kontraktor Umno yang lembik, dayus dan bodoh sehingga terpaksa bergantung kepada kabel politik Umno dan hidup sebagai kontraktor kroni.

“Ini telah menyebabkan banyak projek kerajaan bermasalah sebelum ini,” katanya lagi.

Jelas beliau, demi mengelakkan projek kerajaan negeri bermasalah kerana terbabit dengan kontraktor kroni Umno, maka arahan telah dikeluarkan kepada semua jabatan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memantau dengan teliti dan rapi sekiranya kontraktor Umno ini membida projek.

“Saya ingin menasihatkan Datuk Mohamad Fadzil supaya janganlah berpura-pura sebagai kontraktor kalau lebih berminat jadi orang politik yang sentiasa serang kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Adalah lebih baik beliau letak jawatan sebagai Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang dan bertanding dalam pilihan raya besar kalau nak jadi orang politik,” katanya.

Kata Lim, jika Mohamad Fadzil tidak mahu letak jawatan, beliau harus mengakui salah dan meminta maaf kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang kerana menabur fitnah yang tidak berasas.

“Macam mana kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan persatuan sedemikian yang dipimpin oleh seorang kroni Umno yang begitu tebal sekali yang menabur fitnah melulu?

“Sebelum ini saya telah menyatakan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus yang menjadi amalan kerajaan negeri terbukti apabila kira 70 peratus bidaan kontrak di Pulau Pinang berjaya dimenangi oleh kontraktor Melayu.

“Utusan Malaysia dan pemimpin rasis BN sering menggambarkan beliau sebagai anti-Melayu sedangkan kerajaan negeri pimpinannya memartabatkan usahawan bumiputera yang berkebolehan dengan tawaran tender secara terbuka menerusi e-Perolehan,” katanya.

Lim juga berkata sudah sampai masanya jangan lihat daripada sudut perkauman tetapi profesionalisme dan kemampuan yang boleh “martabatkan kita semua.”


Pemaju diarah jangan roboh rumah penduduk


Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi amaran kepada Pemaju KL Metro Development agar tidak merobohkan rumah 15 penduduk Pekan Teluk Kumbar sehingga satu perbincangan dibuat untuk memastikan kedua-dua belah pihak mendapat keuntungan.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Dr Mansor Othman semasa sidang media di pejabatnya di aras 52 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) semalam berharap ia diselesaikan dengan baik dan tidak timbul pertelingkahan yang berpanjangan.

"Kerajaan Negeri memberi amaran kepada pemaju supaya tidak meroboh rumah di Pekan Teluk Kumbar kerana ia begitu hampir dengan Sambutan Tahun Baru Cina. Dulu kita sempat campurtangan kerana terlalu dekat dengan Hari Raya Aidil Adha, " tegasnya.

Katanya, KL Metro haruslah bertimbang rasa dan tidak bersikap rakus kerana penduduk yang ada bukan menolak pembangunan sebaliknya sekadar mahukan keadilan pampasan.

Pemaju jangan mengambil sebarang tindakan perobohan kerana Keraaan Negeri cuba berusaha mendapatkan jalan terbaik, tambah beliau.

Walaupun pemaju ada hak melaksanakan pembangunan di situ tetapi Kerajaan Negeri juga mempunyai hak menentukan mahu atau tidak pembangunan di situ.

Pada 20 Disember ini pemaju KL Metro sekali akan bertindak meroboh kediaman penduduk dengan alasan tanah tersebut sudah menjadi miliknya dan boleh melaksanakan apa pun projek di situ tanpa sebarang sekatan.

Berapa minggu lalu KL Metro telah dihalang daripada bertindak demikian oleh ramai pihak termasuk penduduk, campur tangan kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Ahli Majlis Perbandaran, Penyelaras Dun Bayan Lepas dan sebagainya.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Penyelaras Dun Bayan Lepas, Asnah Hashim, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dan Pembantu Khas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Martin Lim Huat Poh.

Selesai segera isu Tanjung Tokong

Sementara itu, Mansor memberi jaminan menyelesaikan permasalahan di Tanjung Tokong dengan segera setelah beberapa pertemuan dengan Pembadanan Kemajuan Bandar (UDA) dan persatuan penduduk dibuat agar isu ini tidak lagi menjadi bualan hangat golongan tertentu yang acapkali mengambil kesempatan.

Padahal isu Tanjong Tokong timbul pada tahun 2000 apabila pihak UDA membanci untuk tujuan pembangunan di situ.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat hanya bertindak sebagai penyambung usaha pertemuan dengan harapan menyelesaikan isu yang telah berlarutan.

"Kita cuba selesaikan secepat mungkin isu ini agar semua penduduk berpuas hati manakala UDA dapat meneruskan pembinaan projek yang bermanafaat kepada rakyat keseluruhanya," jelas beliau ketika sidang media di pejabatnya semalam.

Kerajaan Negeri akan wujudkan Jawatankuasa bersama antara UDA, Kerajaan Negeri dan Persatuan Penduduk sebagai langkah proaktif ke arah jalan penyelesaian.

Baru-baru ini UDA telah pun memperjelaskan tujuan pembangunan di situ dan kenapa rumah penduduk harus digantikan dengan plan pendudukan yang lebih tersusun.

Manakala pertemuan dengan penduduk telah pun dibuat untuk mendengar sendiri rintihan mereka sebagai penduduk terawal dan cadangan mereka membina perkampungan warisan.

Kerajaan mahukan isu ini selesai penghujung Februari 2011 sebelum proses pakej terbaru perumahan dilancarkan kepada penduduk.

"Kita pun mahu isu ini cepat diselesaikan. Tertubuhnya satu jawatankuasa mudah-mudahan selepas Februari 2011 ia dicapai dengan baik, " tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti.


Pulau Pinang bayar guru Kafa RM100 sempena Maal Hijrah

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bayaran khas Maal Hijrah RM100 kepada kesemua 1,376 guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) di negeri itu, yang akan dibayar minggu ini sempena perayaan Maal Hijrah.

Bayaran itu diumumkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, lapor The Malaysian Insider.

Dalam kenyataan itu, Lim juga menjelaskan bahawa bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang datangnya daripada sumber kerajaan negeri Pulau Pinang dan tidak satu sen pun datang daripada kerajaan pusat.

“Pembayaran RM800 setiap orang melibatkan RM6.25 juta, yang telah pun dibayar kepada 7,812 juta pada 1 Disember lalu,” kata beliau lagi.

Menurut Lim, penerimaan RM800 oleh kakitangan awam negeri Pulau Pinang adalah melebihi RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam persekutuan.

“Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini.

“Inilah yang saya maksudkan dengan memperkayakan warga pentadbiran awam.

“Dan, saya yakin kalau kita meningkatkan prestasi kerja kita, kita akan pastikan bahawa warga perkhidmatan kerajaan negeri Pulau Pinang akan sentiasa dapat lebih daripada apa yang anggota perkhidmatan awam persekutuan ataupun kerajaan negeri lain dapat perolehi,” kata Lim lagi.

Lim menambah, penghargaan RM1,300 tahun ini kepada semua pekerja kerajaan negeri Pulau Pinang ini adalah satu pengiktirafan kerajaan negeri kepada komitmen penuh mereka dalam menjayakan agenda kerajaan negeri.

Sumbangan yang diberikan itu melibatkan 20 jabatan negeri dan turut dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP); Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPPI); dan George Town World Heritage Incorporated.

“Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM800 ini melibatkan sejumlah 3,153 pegawai dan kakitangan jabatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.5 juta.

“Sekiranya kita mengambil kira semua termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri dan agensi negeri, ia melibatkan 7,812 anggota dengan RM6.25 juta.

“Bantuan khas ini diberikan kepada semua pegawai perkhidmatan awam dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku Jawatan Utama atau Gred Khas.

“Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa pemberian RM500 diberikan kepada mereka yang memegang jawatan D54 ke bawah, tetapi negeri Pulau Pinang berikan semua.

“Tidak ada seorang pun dipinggirkan daripada mendapat insentif galakan ini,” katanya.

Tuesday, December 7, 2010

Salam Maal Hijrah


“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”
( Surah Ar-Ra’ad, ayat 11 )

Pengajaran yang dapat kita pelajari dan dimanfaatkan daripada ayat di atas ialah hijrah iaitu sebagai hamba kita perlu berusaha meninggalkan sebarang unsur keburukan yang ada dalam diri kepada nilai-nilai kebaikan seperti yang dituntut oleh Islam melalui konsep “amal ma’aruf nahi munkar’, yakni melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Maksudnya Hijrah seharusnya dihayati dalam konteks merubah sifat – sifat negatif dalam diri kepada sifat – sifat positif. Jelasnya ia perlu disuburkan menjadi budaya yang mengakar dalam sendi kehidupan setiap muslim.

Selain itu, hijrah juga membawa erti meninggalkan suasana kesempitan dan kegelapan kepada satu keadaan keluasan dan cahaya yang terang. Hal ini boleh dikaitkan dengan usaha menambah ilmu pengetahuan dan mempelajari perkara-perkara baru yang bermanfaat bukan sahaja untuk diri sendiri malahan, agama dan negara. Faedah atau manfaat bagi hijrah ini amat besar. Dengan berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan, kita dapat mengubah hidup kepada yang lebih baik dan selesa dan seterusnya menjadi umat Islam yang kuat dan khalifah Allah yang tahu peranannya setiap masa.

Akhir sekali, Islam amat menuntut umatnya berhijrah dari kelemahan kepada kekuatan terutama aspek keimanan, kerana keimanan kepada Allah s.w.t akan melahirkan masyarakat Islam yang kukuh dari aspek ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan sebagainya. Hijrah yang sebegini harus dilakukan dengan sempurna dan sepenuh hati kerana ia menjanjikan kehidupan yang sempurna dan bahagia di dunia dan akhirat.

Salam Maal Hijrah 1432H


HJ MAKTAR BIN HJ SHAPEE
ADUN Sungai Bakap

Sunday, December 5, 2010

Kempen kesedaran COMBI




Merasmikan Program COMBI (aedes) di Kg Baru 2, Sg. Kechil.

Gotong royong dan ceramah tentang Aedes dan Denggi. Turut serta menjayakan program ini hampir 200 penduduk kampung dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah.

Thursday, December 2, 2010

Ziarah


Menziarahi warga emas, Samsudin bin Rejab yang terlantar sakit di Kg. Kepala Gajah. Sumbangan di bawah Program Jejak Sihat turut disampaikan.

Peruntukan Khemah kepada JKKK


Setiap JKKK dalam Kadun Sungai Bakap telah menerima khemah untuk kegunaan bersama masyarakat setempat.