Thursday, December 31, 2009

JPS akan bertindak

Sungai Bakap, 29 Disember 2009 - Sehari selepas aduan penduduk Kg. Makau Suah kepada YB Ustaz Maktar, pagi tadi pegawai JPS meninjau kawasan yang terbabit dan berjanji untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

Parit tersebut sebenarnya tidak di'gezet'kan, malah tiada pihak yang ingin bertanggungjawab untuk mengendalikannya. Inilah masalah yang dihadapi oleh penduduk kerana apabila diajukan kepada pihak yang berkaitan masing-masing menunding ke arah pihak yang lain.

Setelah meneliti, rombongan JPS yang diketuai oleh En. Mohd Hafizul memaklumkan bahawa parit tersebut akan diletakkan di bawah tanggungjawab JPS. Langkah pertama yang akan diambil ialah membersih dan mendalamkan parit tersebut.

Wednesday, December 30, 2009

Pak Njang Man kemalangan


Penasihat KeADILan Cabang Nibong Tebal, Hj. Othman Jusoh terlibat dalam kemalangan jalanraya malam tadi.

Kejadian itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang dari kedainya, apabila kenderaan yang dipandu beliau bertembung dengan sebuah lori yang keluar dari sebuah kilang secara tiba-tiba.

Walaubagaimanapun Pak Njang yang juga Pengerusi JKKK Sg. Duri, dan isterinya hanya mengalami cedera ringan.

Tuesday, December 29, 2009

Lawat kawasan

Sungai Bakap, 28 Disember 2009 - Selepas pulang dari Taman Layang-layang, singgah di Kg. Datuk Haron, Jalan Aman untuk meninjau parit yang diluaskan bagi mengelak banjir kilat.

Beberapa buah rumah di kampung tersebut dinaiki air apabila parit kecil sebelum ini tidak dapat menampung air hujan yang lebat. Setelah mendapat laporan dari penduduk, YB Ustaz Maktar mengarahkan supaya parit tersebut diluaskan supaya kejadian banjir kilat tidak berulang. Segala kos tersebut ditanggung oleh YB Ustaz Maktar.

YB Ustaz bersama Hj. Mohd Kamil dan Sdr. Amir, Setiausaha JKKK Sg. Bakap (S)

Seterusnya ke Kg. Makau Suah, meninjau kawasan yang sering dilanda banjir kilat.

Keadaan jalan kampung selepas sejam hujan tanpa henti

Parit yang telah dipenuhi semak samun

Mendengar masalah yang dibangkitkan penduduk

Penyerahan cek kepada mangsa kebakaran


Taman Layang-layang, 28 Disember 2009 - Anuar bin Salleh, 49 yang berniaga kuih-muih telah hilang sumber pendapatan seisi keluarga apabila beliau dan isterinya, Selasiah binti Arshad, 48 ditimpa musibah.

Kejadian berlaku pada pukul 4 pagi sewaktu isterinya sedang memasak kuih untuk dijual, secara tiba-tiba gas memasak meletup dan mengakibatkan Selasiah melecur di muka dan badan, manakala Anuar cedera di kaki akibat terkena minyak panas.

Selasiah kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Di atas keperihatinan, YB Ustaz Maktar telah menyerahkan sumbangan peribadi dan bantuan mangsa bencana daripada Tabung TYT kepada keluarga mangsa.

Turut hadir Penghulu mukim; En. Hafizi, Ahli Majlis MPSP; Hj. Mohd Kamil, Pengerusi JKKK Tasek; En. Mohd Said, Pengerusi JKKK Padang Lalang; En. Abu Bakar dan ahli JKKK kedua-dua kawasan berhampiran.

Sunday, December 27, 2009

Menziarahi pesakit kencing manis


Som binti Mat Hussain, 68 menderita sakit kencing manis sejak beberapa tahun yang lalu dan kakinya terpaksa dipotong pada awal Disember.

Beliau menerima sumbangan daripada YB Ustaz Maktar sejurus menziarahinya bersama Ketua Wanita KeADILan Ranting Sungai Bakap, Pn. Jamaliah Awang di rumah anaknya di Taman Seruling Emas.

Di peringkat KADUN Sungai Bakap, YB Ustaz Maktar telah melancarkan program Jejak Sihat iaitu mengenalpasti pesakit-pesakit yang memerlukan untuk diberi bantuan.

Friday, December 18, 2009

3,538 kakitangan awam P.Pinang terima bonus tambahan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil inisiatif dengan memberi bonus tambahan kepada 3,538 kakitangan awamnya sebagai tanda menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh mereka bagi membantu kearah pembangunan negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, pemberian bonus pada peringkat awal sebanyak RM500 setiap orang dan tambahan sebanyak RM250 menjadikan keseluruhan peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri dibawah Dana Bantuan Khas Kewangan 2009 adalah sebanyak RM2,653,500.

"Pemberian dibawah Dana Bantuan Khas Kewangan 2009 melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM824,750 bagi kumpulan perkhidmatan sokongan manakala RM59,750 adalah bagi kumpulan pengurusan dan profesional gred 41 hingga 54.

"Kerajaan Negeri tidak akan melupakan kakitangannya yang memberi perkhidmatan bersungguh-sungguh bagi memastikan negeri ini mencapai pembangunan yang diharapkan.

"Sejajar dengan itu sumbangan yang telah diberikan oleh mereka ini juga dihargai bagi meringankan beban mereka terutamanya dalam musim perayaan dan juga sesi persekolahan yang akan datang," katanya.

Menurut Lim lagi sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), maka sudah pasti kakitangan yang memberi khidmat dengan penuh komitmen dan komited dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan akan diberi ganjaran dan penghargaan diatas sumbangan yang telah mereka berikan.

Wednesday, December 16, 2009

Sambutan Maal Hijrah 1431H / 2009M Peringkat Negeri Pulau Pinang

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan Majlis Kesyukuran & Perhimpunan Ummah sempena Sambutan Maal Hijrah 1431H / 2009M Peringkat Negeri Pulau Pinang pada hari Khamis (30 Zulhijjah 1430H) bersamaan 17 Disember 2009M di Masjid Negeri Pulau Pinang bermula dari jam 6.00 petang hingga 11.00 malam. Majlis ini akan turut diserikan dengan kehadiran TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Y.A.Bhg. Toh Puan.

Saya secara peribadi ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Maal Hijrah 1431H kepada para pengunjung blog ini, semoga beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Amin...


Penyampaian Pakaian Seragam Sekolah

Program anjuran JKKK Sg. Bakap Selatan diadakan di Dewan Kebajikan JKKK, Permatang Ara. Seramai 75 orang murid dari pelbagai kaum menerima sumbangan tersebut.

JKKK yang menerima anugerah JKKK Berkebajikan KADUN Sungai Bakap pada Karnival Masyarakat Madani baru-baru ini, di atas keperihatinan yang ditunjukkan dengan mengeluarkan sejumlah RM4,500 dari tabung JKKK untuk dipulangkan kepada masyarakat.

Para pelajar yang menerima sumbangan ini terdiri dari kalangan keluarga miskin, ibu tunggal dan anak yatim.

Tuesday, December 15, 2009

Pulau Pinang terima anugerah hab halal

Usaha berterusan Kerajaan Pulau Pinang yang dimulakan pada 2008 untuk menjadikan negeri ini Hab Halal Antarabangsa mendapat pengiktirafan Malaysian Halal Excellence Awards 2009.

Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata, kejayaan Penang International Halal Hub(PIHH) dianugerahkan Malaysian Halal Excellence Awards 2009 dalam kategori ‘Best Halal Facility Provider’ merupakan hasil kesungguhan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan impian menjadikan negeri ini Halal Hab Antarabangsa.

Menurutnya, penubuhan ‘Task Force Halal Hub’ pada akhir tahun 2008, diikuti penubuhan PIHH membantu Kerajaan Negeri mengenengahkan Pulau Pinang sebagai negeri utama dalam mempromosi konsep secara holistik inisiatif halal.

“Kejayaan ini merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri yang dimulakan pada 2008 dan ia juga melambangkan kesungguhan Kerajaan Negeri merealisasikan impian menjadikan negeri ini Hab Halal Antarabangsa.

“Kerajaan Negeri juga turut yakin lebih banyak kejayaan yang akan dicapai dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai Hab Halal Antarabangsa memandangkan negeri ini mempunyai banyak kelebihan untuk dijadikan negara pengeksport produk halal yang berkualiti,”katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Anugerah Malaysian Halal Excellence Awards 2009 diadakan sempena ‘International Islamic Tourism And Halal Week 2009 (IISTHAL)’ yang berlangsung di Sunway Piramid Convention Centre, Selangor pada 8 dan 9 Disember lalu.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga sedang berusaha untuk membuat penjenamaan semula Pulau Pinang supaya mengamalkan konsep pembangunan berasaskan industri halal berdasarkan potensi besar yang dimiliki oleh negeri ini.

Malik berkata, antara bukti pencapaian yang menunjukkan Pulau Pinang kini sedang menuju ke arah industri berasaskan halal ialah melalui perjanjian MOU yang bakal dimeterai di antara Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Rotterdam di mana perjanjian itu memastikan barangan halal Malaysia dapat dieksport daripada Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Rotterdam.

Menurutnya, proses mengeksport produk Malaysia ke Pelabuhan Rotterdam bakal akan dijamin terjamin halal memandangkan kedua-dua pelabuhan kini diberi pengiktirafan sebagai pelabuhan halal.

Sunday, December 6, 2009

Persembahan Teater


"MENUNGGU KATA DARI TUHAN"

Kumpulan Teater; Dinsman, Sabri Yunus, Sani Sudin

Tempat : Dewan Serbaguna Jawi
Tarikh : 6 Disember 2009
Masa : 9 malam

Tetamu Jemputan :
YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

Anjuran bersama Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sg. Bakap dan JKKK Sg. Kechil

*Tiket boleh didapati di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sg. Bakap @ hubungi Md. Arof (012-4414491)

Tuesday, December 1, 2009

Kerajaan Negeri peruntuk RM2.769 juta bangunkan bidang pertanian

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukan sejumlah RM2.769 juta pada tahun 2009 untuk mempertingkatkan bidang pertanian serta menyediakan beberapa bantuan bagi kegunaan petani.

Exco Pertanian, Insdustri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tembatan Bandar, Law Choo Kiang memberitahu ianya usaha kerajaan bagi memberi tambahan pendapatan kepada golongan petani.

Ianya termasuk peruntukan terhadap program penanaman padi, sayuran, tanaman ladang seperti jagung, memprosesan makanan, tanaman ekonomi seperti cendawan, tebu serta bunga-bungaan.

Program insentif galakan teknologi pula merangkumi penyediaan infrastruktur ladang, sistem pengairan, baja, peralatan ladang seperti pam air, cultivator dan lainya.

Program pembangunan projek industri asas tani pula merangkumi penyediaan bengkel, menaik taraf bengkel, peminjaman alatan, kawalan produk dan kawalan mutu termasuk promosi dan demontrasi.

Terakhir bantuan kerajaan ialah merangkumi program perkhidmatan pengembangan perladangan kelompok iaitu khidmat nasihat taknikal dan pengurusan projek selain lawatan sambil belajar, membimbing dan memasarkan hasi pertanian, pameran dan pameran.

"Kerajaan Negeri memperuntuan berbagai bantuan untuk rakyat. Kami lakukan untuk memastikan rakyat terbela dan dapat berdiri atas kaki sendiri, " ujarnya.

Beliau memberitahu perkara tersebut sewaktu menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man pada persidangan dewan negeri hari ini.